Olimpiad Matematik Sekolah Berasrama Penuh (SBPMO) 2020 di UKM

Oleh : Muhammad Aidel
Ardent Educational Consultants

Olimpiad Matematik Sekolah Berasrama Penuh (SBPMO) merupakan sebuah pertandingan tahunan terbuka untuk sekolah-sekolah berasrama penuh seluruh Malaysia. Pertandingan yang diasaskan pada tahun 2019 ini merupakan hasil usaha kerjasama antara Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ardent Educational Consultants Sdn Bhd (ArdentEdu) serta disokong sepenuhnya oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pertandingan ini merupakan salah satu platform terbaik untuk mencungkil bakat pelajar SBP yang berpotensi dalam bidang matematik dan memberi pendedahan kepada mereka yang akan mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan matematik di dalam dan luar negara. SBPMO juga memberi peluang kepada pelajar SBP seluruh negara untuk menambah kenalan dan bertukar pendapat mengenai pendidikan matematik di Malaysia. Pemenang pertandingan ini juga berpeluang merebut tempat dalam pasukan kebangsaan ke pertandingan International Mathematical Olympiad atau IMO pada setiap tahun.

BERITA BERKAITANKejayaan Pasukan Kebangsaan Dalam Pertandingan International Junior Science Olympiad (IJSO) 2019
BERITA BERKAITANKejayaan Pasukan Malaysia di Pertandingan International Earth Science Olympiad (IESO) 2019 di Daegu, Korea Selatan

Edisi kedua SBPMO telah diadakan pada 3 hingga 5 Februari 2020 di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia. Penganjuran bagi edisi kali ini mencipta sejarah yang tersendiri apabila mencatatkan peningkatan penyertaan dari segi bilangan sekolah dan peserta. SBPMO 2020 telah menerima penyertaan seramai 203 orang peserta daripada 31 buah SBP dari seluruh Malaysia berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan penyertaan seramai 163 orang peserta.

Para peserta diperkenalkan dengan bentuk-bentuk soalan olimpiad matematik terlebih dahulu melalui bengkel pada dua hari yang pertama sebelum mereka menduduki pertandingan sebenar pada hari terakhir. Bengkel ini dikendalikan sepenuhnya oleh pihak ArdentEdu yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang olimpiad matematik. Mereka telah membariskan tiga jurulatih kebangsaan yang turut terlibat dalam pemilihan pasukan kebangsaan ke IMO serta dibantu oleh beberapa fasilitator.

 

Untuk mencapai objektif pertandingan, soalan SBPMO telah digubal setaraf dengan soalan-soalan pertandingan Olimpiad Matematik Kebangsaan. Soalan-soalan ini digubal oleh jurulatih kebangsaan sendiri dan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi yang diterapkan menjadikan soalan tersebut lebih mencabar serta menyeronokkan.

Sekolah Menengah Sains Alam Shah dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman muncul sebagai antara sekolah yang paling menyerlah pada edisi kali ini apabila pelajar-pelajar mereka berjaya mencatatkan skor tertinggi bagi kategori menengah rendah dan menengah atas sekaligus menggondol pingat emas dalam anugerah berkumpulan dan individu untuk kategori masing-masing.

Selain itu, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Sekolah Menengah Sains Selangor juga antara kontinjen yang memberikan saingan sengit apabila pelajar-pelajar mereka turut menggondol pingat emas dalam kategori masing-masing. Hadiah disampaikan oleh Professor Datuk Dr Rokiah Omar, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Kebangsaan Malaysia dan En. Aidie bin Jantan, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pertandingan SBPMO ini dijangka menarik penyertaan daripada lebih banyak SBP pada tahun-tahun akan datang sekaligus menjadikannya pertandingan tahunan yang cukup berprestij. Dengan komitmen dan sokongan yang berterusan daripada semua pihak, SBPMO pasti akan berjaya melahirkan lebih ramai tokoh-tokoh matematik kebangsaan pada masa akan datang.

Gambar-gambar Pertandingan

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*