OnePlus 7T Pro McLaren Edition Turut Diperkenalkan – 12GB RAM, Rekaan Lebih Unik, Harga Melebihi RM4K

Dua hari lepas, OnePlus mula mengacah kehadiran peranti OnePlus baharu dalam edisi McLaren. Hari ini bersama-sama dengan pelancaran OnePlus 7T Pro, OnePlus turut melancarkan OnePlus 7T Pro McLaren Edition. Dari segi cip pemprosesan, kamera dan storan semuanya sama sahaja dengan OnePlus 7T Pro – cuma edisi McLaren hadir dengan RAM 12GB.

Selain daripada cip Snapdragon 855+, skrin 6.67-inci QHD+ Fluid AMOLED, tri-kamera 48MP + 8MP + 16MP, kamera swafoto pop-naik 16MP dan 12GB RAM – OnePlus 7T Pro McLaren Edition turut hadir dengan rekaan serba baharu. Akan tetapi, bagi mengekalkan identiti OnePlus McLaren Edition warna Papaya Orange masih digunakan. Cuma pada bahagian kamera kini tidak lagi menggunakan rekaan gentian karbon, akan tetapi rekaan baharu yang lebih unik dan cantik seakan corak kayu.

Bateri semestinya sama, 4085mAh dengan sokongan pengecasan pantas Warp Charge 30T. OnePlus turut menambah gambar latar hidup baharu dan juga rekaan Always-On Display baharu dengan Horizon Light berwarna jingga seakan bayangan kereta McLaren sedang memecut.

Selain itu, kerangka baharu turut diperkenalkan dan ia adalah edisi khas dan hanya mereka yang membeli OnePlus 7T Pro McLaren Edition sahaja yang akan dapat menikmatinya. Kerangka ini menggunakan kemasan fabrik Alcantara yang digunakan dalam kereta McLaren (seperti yang ditemui pada papan kekunci Microsoft Surface). Kemudian ia turut menggabungkan rekaan gentian karbon dan bahagian dalam adalah rekaan honeycomb bagi meresap hentakan dan menjadikan kerangka ini, kerangka tahan lasak.

Harga jualan bagi OnePlus 7T Pro McLaren Edition adalah harga peranti OnePlus paling mahal dan paling premium. Ia dijual pada harga £799, iaitu sekitar RM4,145.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.