Padi Baru Toleran Kemarau

Oleh : Dr Noraziyah Abd Aziz Shamsudin

Dr Noraziyah Abd Aziz Shamsudin

Pusat Sains Sekitaran & Sumber Alam, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia 

Nota: [Berikut merupakan ringkasan jurnal TUAN NUR AQLILI RIANA TUAN ALI, MOHD IKMAL ASMUNI, NABIHAH RAIHANAH TAJUL ANUAR, PUTERI DINIE ELLINA ZULKAFLI, AMIRA ISMAIL dan penulis sendiri berjudul Penilaian Sifat Fisio-kimia dan Analisis Hedonik bagi Titisan Piramid Padi Tahan Kemarau Terpilih yang diterbitkan dalam Jurnal Sains Malaysiana 47(8), 1757-1773 pada tahun 2018.

Padi (Oryza sativa L.) merupakan tanaman terpenting di Malaysia dengan keluasan bertanam mencecah 678,954 hektar (Jabatan Pertanian Malaysia 2015). Namun begitu, Malaysia hanya mampu membekalkan 70% keperluan padi negara manakala lebihan 30% lagi khususnya beras berkualiti tinggi terpaksa diimport dari negara pengeluar lain seperti Thailand, Vietnam dan Pakistan. Selari dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 100% sara diri beras menjelang 2020 seperti yang termaktub di dalam Rancangan Malaysia ke-11, pelbagai kajian telah dijalankan oleh institut penyelidikan seperti MARDI, UKM dan UPM untuk menghasilkan beras berkualiti dan berhasil tinggi bagi menyumbang kepada peningkatan pengeluaran beras negara. Pergantungan terhadap beras import boleh mendedahkan negara dengan ketidakstabilan harga dalam pasaran makanan global seperti krisis makanan yang berlaku pada tahun 2008

Perubahan gaya hidup dan faktor ekonomi seperti peningkatan pendapatan, perubahan cita rasa dan pilihan gaya hidup sihat telah menyebabkan pengguna kini lebih gemar untuk memilih beras yang berkualiti tinggi dan kurang kanji. Penghasilan kultivar padi yang berkualiti tinggi pada ciri fizikal dan fisio-kimia, berhasil tinggi, serta rintang terhadap tekanan biotik dan abiotik seperti kemarau dan penyakit adalah kritikal demi menjamin kestabilan industri padi dan keselamatan sumber makanan negara.

Penghasilan kultivar padi yang berkualiti tinggi pada ciri fizikal dan fisio-kimia, berhasil tinggi, serta rintang terhadap tekanan biotik dan abiotik seperti kemarau dan penyakit adalah kritikal demi menjamin kestabilan industri padi dan keselamatan sumber makanan negara.

Kandungan amilosa dilihat sebagai ciri utama yang mengawal ciri fisio-kimia kanji beras kerana pengaruhnya terhadap pengelatinan, retrodegradasi, pasting, sineresis dan juga ciri berfungi yang lain. Ciri AC (Kandungan Amilosa), GT (Suhu Pengelatinan) dan GC (Konsistensi Gel) merupakan tiga ciri utama fisio-kimia kanji yang bertanggungjawab menentukan kualiti pemakanan dan memasak beras. Selain itu, kualiti bijian dan nasi juga penting dalam menentukan harga beras serta pilihan pengguna. Menurut Badi (2013), permintaan terhadap bijian yang berkualiti tinggi semakin meningkat di negara yang sudah mencapai sara diri yang cukup. Bagi kualiti pasaran bijian, kebiasaannya ditentukan dengan melihat ciri fizikal di samping nama kultivar, manakala kualiti masakan serta makan ditentukan oleh ciri fisio-kimia.

Mutters (1998) menyatakan bahawa bentuk dan saiz bijian amat dititikberatkan oleh ahli biak baka dalam menghasilkan kultivar baru kerana kedua-dua kriteria ini berperanan dalam penentuan kualiti bijian. Mengikut Slaton et al. (2000), beras dikategorikan mengikut saiz bijian iaitu panjang, sederhana dan pendek. Bijian yang tidak memenuhi piawaian bagi ciri saiz, bentuk, berat dan keseragaman akan menjejaskan penerimaan pengguna terhadap sesuatu padi baru . Selain faktor fizikal, kualiti beras juga ditentukan oleh persekitaran dan pengurusan tanaman khususnya pengendalian hasil semasa penuaian, pemprosesan dan pengilangannya. Oleh itu, bagi menjamin penerimaan pengguna terhadap sesuatu padi baru, adalah penting bagi ahli biak baka untuk melakukan pemilihan berdasarkan bentuk dan saiz bijian sebelum dan selepas dimasak.

Ujian hedonik merupakan suatu komponen ujian afektif yang dijalankan bagi menentukan tahap kesukaan dan penerimaan pengguna terhadap sesuatu makanan . Analisis sensori pula merupakan disiplin saintifik yang digunakan untuk mengukur dan menganalisis serta mentafsir tindak balas ke atas ciri produk yang diterima oleh deria penglihatan, bau, sentuhan, rasa dan pendengaran. Menurut Gengler (2009), industri makanan merupakan industri utama yang menggunakan penilaian ini sebagai kayu pengukur kepada ciri deria rasa dan tekstur kerana ciri ini tidak dapat diukur dengan menggunakan instrumen. Analisis sensori biasanya dijalankan sebelum sesuatu produk dipasarkan bagi mengurangkan risiko ketidakterimaan pengguna selain menambah baik atribut produk agar dapat memenuhi permintaan pengguna. Penerimaan masyarakat dunia terhadap beras dan nasi adalah berbeza-beza berdasarkan beberapa faktor seperti status sosial, tahap kesihatan dan negara.

RUJUKAN

Badi, O. 2013. Rice postharvest technology training program on rice quality. https://www.jica.go.jp/project/english/sudan/001/materials/c8h0vm00007vrgs5-att/rice_quality_en.pdf. Diakses pada 20 Disember 2017.

Mutters, R.G. 1998. Concepts of rice quality. http//www.plantsciences.ucdavis.edu/uccerice/quality/concepts.htm. Diakses pada 12 Mac 2017.

Slaton, N., Moldenhauer, K., Gibbons, J., Blocker, M., Wilson, C., Dilday, R., Robinson, J. & Koen, B., 2000. Grain characteristics of rice varieties. University of Arkansas, Cooperative Extension Service, Rice Information Bulletin. p. 146.

Gengler, I. 2009. When people are the instrument: Sensory evaluation methods. ASQ Statistics Division Newsletter 27(4): 8-12

Kredit Foto : willemandrea

250total visits,168visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.