Panaskan Makanan Dalam Ketuhar Gelombang Mikro SELAMAT

Oleh :  Dr Fatimah Binti Salim
Pensyarah Kanan
Institut Atta-ur-Rahman UITM

Apakah yang berlaku semasa kita mula memanaskan makanan dalam microwave?

Radiasi gelombang mikro (microwave) akan diberikan kepada makanan. Harus diingat makanan yang kita lihat di depan mata kita itu adalah terdiri daripada pelbagai beribu molekul-molekul yang kebanyakkannya terikat dengan daya Van Der Waals iaitu ikatan hidrogen. Bayangkan setiap molekul ini ialah sekumpulan manusia yang berpegang tangan dan pegangan tangan itu ialah ikatan hidrogen. Jumlah tenaga yang dibawa oleh radiasi microwave ini tidak kuat (lihat perbandingan jenis tenaga elektromagnetik di bawah 👇🏻) dan hanya mampu ‘menggetarkan’ molekul-molekul yang membentuk struktur makanan yang dipanaskan. Maksudnya radiasi ini tidak mampu menukarkan sifat kimia (non-ionising) molekul-molekul ini. Maka, radiasi ini TIDAK akan mewujudkan molekul yang boleh menyebabkan kanser dalam proses pemanasan ini.

Ilustrasi Spektrum Elektromagnet

Bagaimana makanan menjadi panas dalam microwave?

Disebabkan saiz yang kecil jika dibandingkan dengan molekul-molekul lain yang membentuk struktur makanan kita, maka molekul yang paling terkesan dengan radiasi microwave ini ialah molekul-molekul air.

Molekul air ini akan menyerap radiasi microwave tadi dan menyebabkan tenaga kinetiknya meningkat (bergetar). Molekul-molekul air yang bergetar ini akan cuba kembali kepada kestabilan (tidak bergetar) dengan melepaskan tenaga yang berbentuk haba.

Tenaga haba ini akan dipindahkan kepada molekul-molekul lain dalam struktur makanan itu dan seterusnya menyebabkan makanan itu ‘panas’. Semasa proses ini berlaku, disebabkan getaran tadi, sebahagian ikatan hidrogen (analogi pegangan tangan) antara molekul-molekul air ini akan terputus menyebabkannya meruap keluar dari makanan. Inilah sebabnya kenapa makanan yang dipanaskan dengan microwave ini akan menjadi sedikit kering.

Animasi Prinsip Kerja Ketuhar Gelombang Mikro

Tips mengekalkan lembapan (air) dalam makanan yang dipanaskan dalam microwave:

– Renjiskan sedikit air pada makanan sebelum dipanaskan, atau

– Letakkan sekali bekas air terbuka bersama dengan makanan yang dipanaskan tadi.

Tambahan: teknik microwave juga boleh membantu merangupkan makanan seperti ikan bilis yang digoreng.

*Semoga bermanfaat 😊*

Kredit Foto & Video :
Shutterstock
Youtube

330total visits,59visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.