Pandang Pertama ASUS ROG Phone – Peranti Pintar Gaming Dengan Rekaan Dan Spesifikasi Agresif

Konsep peranti pintar yang dibina dengan konsep gaming bukanlah sesuatu yang baru. Daripada zaman awal 2000-an terdapat peranti-peranti seperti Nokia N-Gage, Sony Xperia Play, dan kini peranti-peranti seperti Razer Phone, Xiaomi BlackShark dan juga Nubia Red Magic yang hadir sebagai peranti yang dibina khusus untuk tujuan menggerakkan permainan mudah-alih.

Kini, sehari sebelum acara Computex Taipei berlangsung, syarikat pembuat peranti elektronik terkemuka mengumumkan bahawa mereka akan hadir dengan peranti pintar gaming mereka sendiri, dan ia dinamakan

Spesifikasi Ala Komputer Bangsawan

ASUS ROG Phone
Skrin 6.0″ FHD+ AMOLED HDR (402 PPI)
Pemproses 2.96 x 4 + 1.7 x 4 GHz Snapdragon 845
Cip Grafik Adreno 630
RAM 8 Gigabyte
Storan 128/512 Gigabyte UFS 2.1
Kamera Utama 12+8 Megapixel, f/1.7+f/2.0,EIS, PDAF
Kamera Depan 8 Megapixel, f/2.0
Bateri 4000 mAh (Hyper Charge)
Tiada sokongan tanpa wayar
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Sistem Imbasan Cap Jari
Kalis Air Tiada
Harga Jualan Belum Diumumkan

Spesifikasi peranti pintar gaming sebelum ini boleh dikatakan seperti komputer ataupun laptop kelas pertengahan yang hadir dengan kuasa yang cukup untuk menggerakkan permua-permua yang hadir di pasaran, tetapi dengan peranti ASUS ROG Phone, komponen-komponen yang dimuatkan di dalamnya boleh dikatakan seperti sebuah komputer desktop bangsawan yang tidak mempunyai sebarang masalah untuk menggerakkan apa sahaja permainan komputer yang hadir di pasaran sekarang.

Pertama sekali, ia hadir dengan paparan skrin AMOLED bersaiz enam inci yang hadir dengan kadar segar semula 90Hz dan sela-masa input 1ms sahaja. Ia tidak setinggi kadar segar semula 120Hz yang hadir pada peranti Razer Phone, tetapi ASUS menyatakan bahawa 90Hz sudah cukup baik untuk kebanyakan permua yang ada di luar sana. dan berkata bahawa untuk paparan, kebolehan paparan ini untuk menunjukkan gamut warna 108.6 peratus gamut warna DCI-P3 yang digunakan oleh industri perfileman di Amerika.

Beralih kepada spesifikasi dalaman ROG Phone ini, ASUS bekerjasama dengan pihak Qualcomm untuk memilih cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 845 yang mampu digerakkan selaju 2.96GHz, iaitu peningkatan sebanyak hampir 200MHz daripada CPU Snapdragon 845 yang lain.

Pilihan cip ini dilakukan supaya setiap peranti ROG Phone ini hadir dengan prestasi lain daripada yang lain, walaupun apabila ia dibandingkan dengan peranti kelas atasan dan premium yang lain.

Cip pemprosesan grafik Adreno 630 juga dilihat hadir bersama-sama dengan CPU Snapdragon 845 tersebut, dan apa yang menarik di sini ialah Qualcomm sendiri menyatakan bahawa cip grafik ini bukan sahaja 30 peratus lebih berkuasa daripada cip grafik Adreno sebelum ini, malah ia juga 30 peratus lebih jimat tenaga.

Dengan ini, bukan sahaja dapat pengguna bermain permua kegemaran mereka pada tahap grafik yang tertinggi, mereka juga boleh menggunakan peranti ini dengan lebih lama.

Dari segi memori dan storan, peranti ROG Phone ini dilengkapi dengan memori LPDDR4 sebanyak 8GB, dan juga storan UFS 2.1 sebesar 128GB ataupun 512GB. Sayang sekali, untuk peranti yang hadir dengan spesifikasi yang cukup berkuasa ini, ia tidak mempunyai pilihan untuk melanjutkan lagi storan dalaman melalui kad mikroSD.

Rekaan Agresif

Jika kita lihat kembali kepada asas rekaan Republic of Gamers, komputer desktop dan komputer riba berjenama ASUS ROG ini biasanya hadir dengan rekaan yang cukup agresif sekali, dan falsafah rekaan tersebut boleh dilihat pada peranti pintar ROG Phone ini.

Rangka dalaman peranti ini diperbuat daripada logam aluminium untuk memastikan ianya kukuh tetapi ringan. Bahagian luaran peranti ini pula dilihat merupakan gabungan kaca dan logam, dengan warna hitam dan gangsa dilihat menjadi tema untuk laptop ini, hampir serupa dengan laptop gaming ASUS seperti ASUS Zephyrus.

Hampir kesemua peranti ini dilihat dilitupi kaca, kecuali untuk bahagian tepi dimana butang-butang pengawal audio dan juga butang kuasa dilihat, dan juga sedikit di bahagian belakang dimana terdapat lubang-lubang kecil yang bertujuan untuk mengalirkan haba daripada cip pemproses ke luar peranti.

Jenama ASUS ROG juga terkenal dengan sistem nyalaan RGB mereka, dan dengan ROG Phone ini, mereka tidak mengecewakan kerana logo ROG di bahagian belakang peranti ini hadir dengan lampu RGBnya sendiri yang boleh diubahsuai melalui 16.8 juta warna dan beberapa corak nyalaan yang cukup menarik.

Menyejukkan komponen peranti ini ialah sebuah penyejuk vapor-chamber 3D yang dinamakan GameCool yang menggunakan wap cecair untuk mengalirkan haba daripada komponen-komponen didalam peranti ini.

Kami berpendapat bahawa penyejuk ini di antara sebab peranti ROG Phone ini hadir dengan rekaan rangka yang sedikit lebih tebal daripada rekaan peranti pintar lain baru-baru ini yang sangat nipis.

Ini bukanlah sesuatu yang negatif kerana syarikat tersebut tidak perlu berkompromi mengenai ciri-ciri yang perlu mereka buang. Malah, peranti ini hadir dengan bukan satu, tetapi dua port USB 3.1 Type-C yang hadir di bahagian bawah dan juga sisi peranti ini.

Penggunaan dua palam USB Type-C ini hadir dengan beberapa sebab. Pertama ialah palam di bahagian tepi boleh digunakan untuk mengecas peranti sewaktu anda sedang bermain permua kegemaran anda. Bukan itu sahaja, ASUS juga telahpun hadir dengan beberapa aksesori yang boleh menggunakan palam USB di bahagian tepi ini untuk tujuan-tujuan khusus.

Lebih menarik lagi, ASUS juga mengekalkan bicu audio 3.5mm supaya pengguna boleh menggunakan fon telinga berwayar mereka tanpa perlu risau mengenai keperluan untuk membeli fon telinga Bluetooth yang mahal.

Bercakap tentang pengecasan, ROG Phone ini dilengkapi dengan bateri bersaiz 4000mAH, dan bateri besar ini boleh dicas melalui palam-palam USB Type-C yang hadir pada peranti ini melalui pengecasan pantas QuickCharge 3.0 dan QC 4.0 yang disokong oleh bicu-bicu ini.

Bagi mereka yang tertanya-tanya mengenai kamera ROG Phone ini, ia hadir dengan sistem kamera sama yang digunakan pada peranti ASUS Zenfone 5, termasuklah kamera dwi-lensa 12+8 Megapixel f/1.8+f/2.0 di bahagian belakang, dan kamera bersaiz 8-Megapixel f/2.0 di bahagian hadapan. Tiada sokongan sistem OIS pada kamera utama hanya sekadar sistem EIS yang dipadankan dengan sistem pemfokusan PDAF. Sistem dwi-kamera yang digunakan ini hanya sekadar kamera sekunder yang mengesan kedalaman tanpa zoom optikal. Mungkin pada pendapat Asus, sebuah telefon pintar untuk peminat permua tidak memerlukan zoom optikal yang kini menjadi fungsi standard pada kebanyakan peranti utama di pasaran sekarang.

Kemampuan merakam video pula hanya terhad kepada 4K 3oFPS. Ini pastinya mengecewakan kerana peranti ini cukup berkuasa untuk merakam pada tetapan lebih tinggi 4K 60FPS.  Dari segi perisian pula, kamera ini dilengkapi dengan perisian PixelMaster yang dapat membantu pengguna mengambil gambar-gambar yang cukup menarik sekali.

Bertentangan daripada modul kamera ialah pengimbas cap jari, yang pada mulanya kami ingatkan hanya sekadar hiasan tetapi sebenarnya berfungsi. Rekaannya juga agak canggung kerana berbentuk trapezium dan sedikit ke kanan tubuh peranti.

Satu-satunya aduan saya mengenai rekaan peranti ini ialah gabungan rekaan kaca yang licin dan ketebalan peranti ini membuatkannya mudah untuk tergelincir dari tangan anda, terutamanya jika anda sedang asyik bermain permua kegemaran anda untuk jangka-masa yang panjang.

Ini boleh dielak dengan menggunakan kerangka peranti tahan lasak tetapi ini juga satu kerugian kerana rekaan telefon ini terlalu cantik untuk ditutup oleh aksesori tersebut.

Ciri-Ciri Menarik

Selain daripada rekaan dan spesifikasi yang mengancam, peranti ASUS ROG Phone ini juga hadir dengan kebolehan lewah masa yang hadir melalui sebuah ciri yang dipanggil X Mode.

Ciri X Mode ini boleh dipasang dan ditutup melalui menu tatalan ataupun aplikasi Game Center yang direka khusus untuk peranti ini. Apabila dipasang, X Mode ini akan mengosongkan memori RAM, dan akan meningkatkan prestasi CPU Snapdragon 845 peranti ini untuk memastikan anda mendapat prestasi gaming berkuasa secara lebih konsisten.

Satu lagi perkara yang agak menarik buat saya sewaktu saya sempat membelek peranti ini buat seketika ialah latar belakang lalai akan berubah untuk menunjukkan bahawa peranti anda sedang berada di dalam X Mode, seperti Gundam Unicorn yang berubah daripada mod “Unicorn” ke mod “Destroy” apabila sistem NT-D diaktifkan.

Seperti yang dijangka, apabila X Mode diaktifkan, prestasi peranti ini dipertingkatkan, tetapi ia juga menjadikan peranti ini agak panas. ASUS sedar akan kekurangan ini, dan telah hadir dengan penyelesaiannya, yang akan kita bincangkan selepas ini.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, ROG Phone ini juga hadir dengan sistem nyalaan RGBnya sendiri, dan ini dapat dilihat daripada logo Repbulic of Gamers di belakang peranti ini, ASUS juga menyatakan bahawa peranti ini akan hadir dengan ciri Aura Sync di masa akan datang. dimana pengguna boleh menyelarikan nyalaan RGB dari peranti ini kepada komputer mereka dan juga aksesori-aksesori lain yang menyokong sistem nyalaan Aura Sync tersebut.

Aplikasi Game Center merupakan aplikasi yang paling penting di dalam peranti ROG Phone ini, kerana aplikasi ini mengandungi akses kepada semua ciri-ciri penting pada peranti pintar ini.

Aplikasi Game Center ini ialah aplikasi sama yang digunakan oleh ASUS untuk komputer-komputer mereka dimana pengguna boleh melihat suhu CPU dan GPU di samping mengawal kelajuan kipas, dan sebagainya.

Aplikasi ini dibina khusus untuk membolehkan anda melihat suhu cip pemprosesan, di samping mengaktifkan X Mode dan juga mengubahsuai warna dan corak nyalaan lampu RGB peranti ini.

Satu ciri yang sudah lama tidak dilihat tetapi hadir pada peranti ini ialah ciri WiGig. Pendek kata, ciri ini membenarkan peranti-peranti untuk menghantar data ke peranti lain secara nirwayar pada kadar penghantaran data yang diukur didalam Gigabit/saat.

Menurut ASUS, mereka juga sedang membina sebuah aksesori WiGig yang menggunakan piawaian 80211ad yang membenarkan peranti ini bersambung kepada televisyen tanpa sebarang masalah sela-masa, bagi mereka yang melanjutkan skrin mereka ke paparan yang lebih besar.

Pilihan Aksesori

Sewaktu pelancaran peranti ASUS ROG Phone ini, syarikat tersebut juga telah mengumumkan bahawa peranti ini akan hadir dengan beberapa aksesori tambahan seperti AeroActive Cooler, TwinView Dock dan Mobile Desktop Dock.

Salah satu daripada aksesori ini, iaitu AeroActive Cooler akan hadir dengan setiap pembelian peranti ASUS ROG Phone. Berkisar semula daripada ciri X Mode sebelum ini, yang kami nyatakan membuatkan peranti ini agak panas apabila digunakan untuk jangkamasa yang panjang, aksesori AeroActive Cooler ini boleh dipasang pada palam USB 3.1 Type-C di bahagian sisi peranti ini untuk mengalirkan haba daripada rangka telefon ini ke udara. Ia tidak memerlukan sebarang bateri kerana kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan kipas ini hadir melalui palam USB Type-C tersebut.

Aksesori TwinView Dock pula membolehkan pengguna menggunakan dua aplikasi pada masa yang sama melalui paparan kedua yang hadir di bahagian bawah dok ini. Buat masa ini, dok ini hanya mampu melanjutkan sebuah aplikasi kepada skrin kedua tersebut, tetapi pihak ASUS berkata bahawa mereka sedang bekerjasama dengan beberapa pembina permua untuk membolehkan paparan dok ini digunakan sebagai lanjutan permua-permua tersebut.

Mobile Desktop Dock pula berfungsi sebagai aksesori yang membolehkan anda menggunakan peranti ROG Phone ini sebagai sebuah komputer desktop, lengkap dengan palam USB dan HDMI untuk anda memasang tetikus, papan kekunci dan juga storan flash tanpa sebarang masalah.

Kedua-dua dok tersebut dikatakan akan hadir tidak lama selepas peranti ROG Phone hadir di pasaran. ASUS juga dilihat terbuka untuk bekerjasama dengan parti ketiga untuk membina dok-dok untuk peranti ROG Phone ini, dan sedang bekerjasama dengan Gamevice untuk membina aksesori pengawal permainan komputer khusus untuk ROG Phone.

Ketersediaan

Di acara pengumuman ASUS Republic of Gamers semalam, jurucakap ASUS berkata bahawa peranti pintar ASUS ROG Phone ini akan hadir di pasaran antarabangsa pada bulan Julai ataupun Ogos 2018 kelak.

Untuk pasaran Malaysia, jurucakap ASUS Malaysia juga telah mengesahkan bahawa terdapat kebarangkalian besar bahawa ASUS ROG Phone ini akan memasuki pasaran tempatan pada bulan-bulan tersebut.

Sayang sekali tanda harga untuk peranti ini masih belum diumumkan lagi untuk pasaran tempatan, mahupun antarabangsa.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.