Pandang Pertama EMUI 10 Yang Berasaskan Android Q

Huawei dihalang dari berurusniaga dengan Google selepas syarikat mereka dimasukkan ke dalam Entity List. Menurut Amerika Syarikat, Huawei terlibat dalam pengintipan bagi pihak kerajaan China sekaligus mendatangkan risiko keselamatan kepada negara mereka.

Sungguhpun begitu halangan ini telah diangkat dan Huawei telah memulakan ujian Android 10 Q Beta menerusi kemas kini antaramuka pelancar EMUI 10 mereka hari ini. Kami telah menerima kemas kini EMUI 10 sebesar hampir 5GB pada telefon pintar P30 Pro semalam dan berikut adalah pandang pertama kami mengenai pelancar terkini Huawei.

Rekaan Ikon Dikemaskini

Beberapa ikon aplikasi telah dikemaskini pada EMUI 10. Ia tidak lagi menggunakan konsep rata sepenuhnya. Ikon untuk Video, Settings, Optimiser dan Gallery misalnya kini kelihatan lebih timbul dengan penggunaan elemen tiga dimensi. Konsensus di kalangan ahli sidang redaksi Amanz mengenai rekaan semula ikon-ikon ini adalah agak bercampur-campur.

Saya secara peribadi merasakan rekaan semula ikon ini adalah baik tetapi terdapat juga editor lain yang merasakan ia langkah ke belakang kerana Android sejak tiga tahun kebelakangan ini mempopularkan rekaan ikon rata Material Design. Dalam hal ini hanya jauhari mengenal manikam dan cantik atau tidak rekaan semula ikon amat bergantung kepada pilihan peribadi individu.

Elemen Antaramuka Yang Lebih Dibulatkan

Rekaan peranti Huawei sebelum ini adalah amat berkotak sehingga antaramuka EMUI juga amat bersegi. Dengan EMUI 10 bucu-bucu tajam mula digantikan dengan bucu yang dibulatkan. Ini dapat dilihat pada kotak carian aplikasi, skrin tetapan dan talam notifikasi. Dengan rekaan yang lebih bulat ini, EMUI 10 pada hemat kami mempunyai rekaan yang lebih menyamai Android Asli. Trend mengikut rekaan Android Asli ini akhirnya merebak ke Huawei selepas dapat dilihat pada Samsung One UI dan HTC Sense.

Tema Gelap Baharu Pada Talam Notifikasi

Pada EMUI 10 tema gelap diberikan beberapa pembaharuan. Pada talam notifikasi misalnya latar belakang bukan lagi berwarna hitam legap. Sebaliknya ia kini berwarna kelabu gelap. Jika tema gelap tidak dipilih, latar belakang talam notifikasi berubah ke warna kelabu yang lebih cerah. Dalam kedua-dua tema, warna hitam dan putih sepenuhnya tidak lagi digunakan pada elemen antaramuka.

Pada waktu yang sama talam notifikasi tidak lagi menutup keseluruhan skrin apabila ditarik ke bawah. Terdapat sedikit ruang kecil pada sisi kanan dan kiri. Apabila tema gelap digunakan, kesemua elemen talam notifikasi dan kad notifikasi kini berwarna gelap. Pada EMUI 9.1, kad notifikasi masih lagi berwarna putih dan menyakitkan mata sekiranya peranti digunakan di dalam gelap.

Penggunaan Ikon Dan Teks Lebih Besar Dalam Aplikasi Huawei

Kesemua aplikasi natif Huawei seperti Files, Video, Gallery, dan skrin tetapan diberikan nafas baru. Ikon-ikon yang lebih besar digunakan bersama dengan saiz teks dalam aplikasi yang lebih besar. Ini adalah pembaharuan yang lebih mesra pengguna kerana grafik pada ikon kelihatan lebih jelas tanpa peranti perlu diletakkan hampir pada muka. Sebagai insan yang rabun dekat (kerana sudah berusia), penggunaan ikon lebih besar ini banyak membantu menyelesaikan masalah sukar membezakan ikon pada EMUI 9.1 sebelum ini.

Ia juga antara sebab mengapa antaramuka EMUI kerap dikritik oleh pengguna di luar China kerana rekaan yang kurang ergonomik. Menerusi EMUI 10, keluhan kami sejak tiga tahun yang lalu akhirnya didengari. Dengan EMUI 10, pelancar Huawei ini akhirnya hampir setaraf dengan Samsung One UI yang pada hemat kami ialah pelancar pihak ketiga terbaik untuk peranti Android berskrin besar pada waktu ini.

Sokongan tatalan ke atas untuk membuka talam aplikasi

Pada EMUI 10 akhirnya talam aplikasi boleh dilancarkan dengan menatal ke atas dari muka hadapan peranti. Sebelum ini pengguna perlu menekan butang khas talam aplikasi berbentuk bulat (seperti era Android Lollipop) yang diletakkan pada bahagian tengah skrin. EMUI 10 akhirnya memberikan fungsi membuka talam aplikasi yang sama dengan yang diperkenalkan sejak Android 7 Nougat. Bagi mereka yang tidak menggemari talam aplikasi, anda masih diberikan pilihan untuk memaparkan kesemua aplikasi pada muka hadapan.

Masih tiada sokongan gesture seakan Android Asli

Ramai berharap dengan penggunaan Android 10 Q, EMUI 10 akan menyokong navigasi gesture seakan pelancar Android asli (Google Pixel). Tetapi malang sekali secara default EMUI 10 masih menggunakan sistem navigasi tri-butang. Sistem gesture yang disokong hanyalah yang dibangunkan oleh Huawei dan sama seperti yang ditemui pada EMUI 9.1 Selain itu terdapat juga sistem navigasi Navigation Dock.

Kamera –  Antaramuka yang lebih mesra pengguna

Tiada fungsi tambahan diberikan tetapi antaramuka kini lebih kemas. Sebuah bintik berwarna merah akan dapat dilihat di bawah mod kamera yang dipilih menggantikan rekaan cincin berputar skeuomorfik seperti tombol kamera fizil yang berwarna oren pada EMUI 9.1 Setiap kali mod berubah, teks besar akan dipaparkan pada viewfinder untuk menunjukkan mod apa yang dipilih. Ini dilakukan kerana pada EMUI 9.1, mod yang dipilih sukar dilihat kerana terlindung di bawah jari ketika tatalan menukar mod dilakukan.

Kamera – Zum boleh dilakukan pada tetapan 40MP.

Apabila menggunakan kamera pada tetapan 40MP, pengguna akhirnya boleh melakukan zum keluar masuk tanpa perlu menukar kepada tetapan 10MP terlebih dahulu secara manual. Kami telah memberikan maklum balas mengenai masalah ini kepada Huawei sejak hari pertama Mate 20 Pro dilancarkan tahun lalu. Dengan penukaran ke tetapan 10MP secara automatik untuk melakukan zum, empat langkah tambahan yang membuang masa pengguna telah diselesaikan.

Tetapi sistem ini masih lagi belum sempurna. Sekiranya pengguna ingin kembali menggunakan tetapan 40MP, ia perlu diubah secara manual menerusi skrin tetapan. Alangkah baiknya jika  terdapat butang 40MP pada viewfinder aplikasi kamera yang memudahkan proses untuk mengambil gambar pada tetapan tertinggi kamera P30 Pro.

Kamera – Paparan kiraan masa apabila menggunakan mod malam.

Mod malam pada P30 Pro ialah yang terbaik di dalam kelasnya pada waktu artikel ini ditulis. Apabila butang kamera ditekan, pengguna perlu menanti dan mengekalkan kedudukan peranti selama beberapa saat bagi membolehkan gambar yang terang diambil. Pada EMUI 9.1 penantian adalah satu penyeksaan kerana hanya sebuah bulatan menjadi petunjuk berapa lama peranti perlu dipegang tanpa bergerak. Dengan EMUI 10 terdapat paparan nombor yang mengira ke belakang selama 5 saat,

Seperkara lagi mod rakaman mod malam untuk kamera swafoto nampaknya tidak disertakan pada EMUI 10 pada P30 Pro kami. Jadi buat masa ini hanya pengguna P30 dan P30 Pro di China dengan EMUI 9.1 sahaja diberikan fungsi ini.


Ini adalah senarai beberapa pembaharuan yang dilakukan pada EMUI 10, pelancar terkini yang akan diberikan bersama kemas kini Android 10 Q kelak. Kami difahamkan kemas kini sistem operasi akan diberikan selepas pelancaran Huawei Mate 30 yang akan menjadi peranti pertama dilancarkan dengan EMUI 10 sekitar bulan September. Kami menyukai beberapa penambahbaikan yang dilakukan oleh Huawei. Harus diingatkan perisian yang digunakan pada waktu ini masih lagi di peringkat Beta dan mungkin akan berubah pada versi akhir kelak.

Kepada pembaca Amanz yang menggunakan peranti Huawei, apakah pendapat anda tentang EMUI 10. Apakah fungsi yang anda rasakan perlu ditambah pada versi akhir?

Secara peribadi kami berharap sistem kawalan bateri yang terlalu agresif sehingga tiada notifikasi diterima sekiranya peranti diletakkan diam di atas meja akan dapat diselesaikan. Penjimatan bateri adalah kami alu-alukan tetapi jika notifikasi penting tidak diterima, ia sedikit sebanyak membuatkan peranti tidak seronok untuk digunakan.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.