Pandang Pertama: Honor 8X

Honor 8X
Skrin 6.5” IPS LCD, FHD+
Nisbah 19.5:9, 396 ppi
Chipset HiSilicon Kirin 710
CPU 4 x Cortex-A73 2.2 GHz
4 x Cortex-A53 1.7 GHz
GPU Mali-G51 MP4
Memori 4GB RAM
Storan 64GB eMMC 5.1
Kamera Utama 20MP f/1.8 + 2MP
Kamera Hadapan 16MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 4.2
A-GPS, GLONASS
mikroUSB
Sistem EMUI 8.2
Android 8.1 Oreo
Bateri 3750 mAh, Pengecasan 10W
Dimensi 160.4 x 76.6 x 7.8 mm
Berat & Ketebalan 175g, 7.8mm
Jangkaan Harga ~RM999 (4GB RAM + 64GB)

Honor sebelum ini pernah hadir dengan Honor 7X, iaitu peranti kelas pertengahan dengan harga berpatutan. Ia menawarkan spesifikasi yang cukup bernilai untuk harganya, seperti kehadiran skrin bingkai nipis pada saiz 5.93-inci FHD+, cip Kirin 659, sokongan dwi-kamera 16MP + 2MP, bersama kapasiti bateri 3340. Apa yang membuatkannya berbaloi, ia dijual pada harga yang kompetitif sewaktu ia mula dijual, iaitu pada harga RM1099. Pada waktu itu, model ini bersaing dengan Xiaomi Mi A1 yang turut dijual pada harga yang sama.

Pada tahun ini, peranti penerus untuk Honor 7X ini telah menerima penambahbaikan yang besar melalui model Honor 8X. Peranti ini dilihat membawa sejumlah perubahan, seperti kehadiran skrin lebih besar, penggunaan cip yang hampir dua kali ganda lebih pantas, dan menawarkan kapasiti bateri yang dipertingkatkan. Honor 8X juga telah digarap dengan trend peranti terkini, seperti kehadiran takuk pada skrin selain membawakan sokongan AI pada fungsi kamera. Harganya masih tidak diketahui sewaktu artikel ini ditulis, namun penawarannya agak menarik untuk dilihat dengan lebih dekat.

Rekaan

Honor 8X telah membawakan spesifikasi kelas pertengahan seumpama Huawei Nova 3i, seperti kehadiran skrin 6.5-inci IPS LCD Full HD+ dengan nisbah 19:5.9, cip HiSilicon Kirin 710, memori 4GB RAM, dan storan 64GB dengan sokongan penambahan kad mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan asas seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 4.2, selain menyertakan bateri berkapasiti 3750 mAh.

Dari segi binaannya, ia menampilkan rekaan kaca yang menawan di bahagian belakang, bersama tampilan aluminium pada bahagian sisi. Apa yang menjadi perhatian untuk rekaan kaca ini, Honor telah meletakkan satu jalur pada bahagian sisi, membuatkan peranti ini kelihatan lebih menarik apabila seseorang pengguna memegangnya secara melintang. Ia cukup menawan, apatah lagi dengan perletakkan teks “AI Camera” dan penjenamaan “honor” yang turut menyerikan pada bahagian ini. Namun seperti biasa, rekaan kaca sangat licin dan mudah memerangkap kesan cap jari, yang mana boleh diatasi dengan aksesori perlindungan tambahan.

Rekaan kamera pada bahagian belakang Honor 8X masih mengikuti rekaan kamera Honor 7X. Ia hadir dalam bentuk bulat – tidak seperti Huawei nova 3i yang mengikuti rekaan dwi-kamera seumpama iPhone X. Ia membawakan sistem dwi-kamera 20MP f/1.8 + 2MP selain menempatkan lampu LED pada bahagian bawah kamera ini. Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang kuasa dan butang pembesar suara pada bahagian kanan, sementara slot dwi-sim dan mikroSD berasingan ditempatkan pada bahagian kiri.

Pada bahagian atas peranti, tiada fungsi IR blaster disertakan untuk kebolehan menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh. Perkara ini berbeza dengan pesaingnya seperti Xiaomi Redmi Note 5 dan Mi A2, yang mana kedua-duanya masih mengekalkan fungsi ini. Pada bahagian bawanhnya pula, ia menempatkan sambungan standard seperti bicu audio 3.5mm dan pembesar suara mono, namun Honor masih mengekalkannya dengan sambungan mikroUSB. Ia agak sedikit mengecewakan kerana pesaingnya seperti Xiaomi Mi A2 dan Nokia 5.1 Plus telah sedia menggunakan sambungan terkini berasaskan USB-C.

Dari segi fungsi pengesahan biometrik, Honor 8X masih dilengkapi dengan pengimbas cap jari yang ditempatkan pada bahagian belakang peranti. Kedudukannya sangat mudah dicapai selain memberi tindak balas yang lancar untuk menyahkunci peranti. Sekiranya anda lebih gemar menggunakan wajah, peranti ini turut hadir dengan fungsi Face Unlock untuk sokongan membuka peranti melalui imbasan muka. Seperti pengimbas cap jari, proses imbasan mukanya juga dilihat responsif tanpa perlu menunggu lama.

Pada bahagian hadapan, ia menampilkan skrin IPS LCD sebesar 6.5-inci, dengan resolusi Full HD+ pada nisbah 19:5.9. Bagi mengikuti trend masa kini, ia menampilkan rekaan bertakuk, bagi perletakkan sensor, kamera hadapan, dan saluran pendengaran. Sekiranya anda kurang menyukai dengan binaan ini, ia masih boleh disorokkan dengan peletakkan bar berwarna hitam. Untuk kualiti skrinnya, ia dilihat sangat baik dengan perwarnaan yang menyerlah untuk kegunaan harian.

Dari segi variasi, unit di tangan kami ini hadir dengan variasi 4GB RAM bersama storan dalaman 64GB. Namun kami menjangkakan ia hadir dengan satu lagi variasi yang lebih tinggi, iaitu dengan memori 6GB RAM bersama storan dalaman 128GB. Dengan pilihan variasi ini, ia mengikuti jejak langkah ASUS ZenFone Max Pro M1 dengan Xiaomi Mi A2, yang mana kedua-duanya turut menawarkan variasi sehingga 6GB RAM.

Sistem

Honor 8X dijana dengan EMUI 8.2 (berasaskan Android 8.1 Oreo) iaitu antaramuka yang sama digunakan pada Huawei nova 3i. Antaramuka ini menyajikan dua pilihan paparan skrin utama, iaitu dengan talam aplikasi atau perletakkan kesemua aplikasi pada skrin utama ini. Seperti iterasi EMUI sebelumnya, ia turut membolehkan pengguna menukar ke tema lain, dengan 4 pilihan tema yang boleh dipilih oleh pengguna. Untuk tampilannya, ia masih menyajikan antaramuka yang ceria disamping membawakan elemen moden pada sejumlah sudut antaramukanya.

EMUI 8.2 masih menggarapkan sejumlah pengoptimasian dari segi prestasi, yang mana dibantu oleh teknologi pembelajaran mesin. Ia membolehkan peranti ini memberi kelancaran yang konsisten, walaupun ia digunakan mencapai 18 bulan penggunaan. Selain prestasi, EMUI juga mampu memanjangkan lagi ketahanan bateri, dengan mempelajari aplikasi yang sering dibuka pengguna dan mengawalnya secara pintar di belakang tabir.

Prestasi

Honor 8X dijana dengan cip pemprosesan kelas pertengahan yang sama seperti Huawei nova 3i, menerusi penggunaan cip HiSilicon Kirin 710. Ia membawakan cip lapan teras dengan dua kluster berbeza, menerusi 4 x Cortex-A73 2.2 GHz untuk kegunaan berkuasa, dan 4 x Cortex-A53 1.7 GHz untuk kegunaan biasa secara efisien. Ia juga menampilkan GPU empat-teras Mali-G51 MP4, yang dilihat mampu memberi kelancaran yang konsisten untuk permainan melalui tetapan grafik sederhana.

Dari segi penanda aras, unit di tangan kami tidak dapat memasang AnTuTu Benchmark dan Geekbench, yang mungkin berikutan daripada unit untuk ujian. Hanya Androbench sahaja yang berjaya dipasang bagi membolehkan ia mengenal pasti kelajuan storan di dalam peranti ini.

Dengan janaan memori 4GB RAM, peranti ini mampu membuka aplikasi dengan pantas, walaupun terdapat banyak aplikasi yang berjalan di belakang tabir. Dengan sokongan tambahan seperti GPU Turbo, permainan seperti PUBG Mobile dapat dimainkan secara lancar, melalui bacaan kadar bingkai (frame rate) yang konsisten. Pengeluaran haba daripada peranti ini juga terasa minima, walaupun digunakan pada sesi permainan yang lama.

Kamera

Untuk sokongan kameranya pula, Honor 8X didatangkan dengan sistem dwi-kamera, melalui padanan sensor utama 20MP f/1.8, bersama sensor kedua 2MP untuk kebolehan mod Portrait. Keupayaan kamera peranti ini turut dilengkapi dengan sokongan PDAF, sokongan AI, dan HDR.

Pada percubaan awal saya, gambarnya mempunyai penambahbaikan berbanding Honor 7X, yang kini menghasilkan gambar yang lebih terang melalui aperture yang lebih besar. Warnanya kelihatan agak sedikit tepu saturated, namun ia masih kelihatan baik untuk dikongsikan di media sosial. Cuma permasalahan pada Honor 7X masih ada, iaitu hasilnya kelihatan “dilembutkan” untuk mengurangkan kesan hingar (noise) pada gambar.

Kameranya hadapannya juga telah dipertingkatkan kepada sensor 16MP f/2.0 berbanding Honor 7X yang hanya menampilkan sensor 8MP f/2.0. Untuk hasilnya, saya dapati ia menawarkan hasil yang lebih baik untuk sokongan Portrait Mode, dengan memberi kemasan kabur yang lebih kemas pada wajah. Namun apabila berdepan dengan pencahayaan malap, gambarnya mudah memberi kesan hingar yang jelas – sama seperti yang dialami pada Honor 7X sebelum ini.

Dari segi fungsi rakaman, agak sedikit mengecewakan kerana Honor 8X masih tidak didatangkan dengan rakaman 4K dan hanya menyajikan rakaman setinggi 1080p. Namun apabila dibandingkan dengan Honor 7X, ia kini telah disertakan dengan sokongan EIS dan rakaman gerak perlahan sehingga 480 fps. Beberapa fungsi terkini juga telah ditambah pada peranti ini, seperti sokongan Night Shot untuk penggambaran malam tanpa tripod, Backlight Lighting untuk simulasi penggambaran dalam studio, dan AR Stickers untuk perletakkan animasi yang menarik pada gambar.

Bateri

Kapasiti bateri Honor 8X telah dipertingkatkan kepada 3750 mAh, berbanding 3340 mAh pada Honor 7X. Kapasiti bateri ini lebih besar berbanding Huawei nova 3i, yang hanya mendatangkan 3340 mAh. Dengan kapasiti bateri yang besar ini, kami menjangkakan ia dapat memberi bacaan Screen-on-Time sekitar 6 jam untuk penggunaan peranti sepanjang hari.

Dari segi pengecasan, Honor 8X masih lagi bergantung kepada pengecasan 10W yang mana pengecasnya turut dibekalkan pada kotak pembelian peranti. Pengecas 10W yang disediakan bukanlah standard pengecasan pantas, namun ia adalah lebih baik berbanding pengecas 5W yang dibekalkan pada iPhone generasi terkini. Dengan pengecasan 10W ini, ia dijangka dapat mengecas bateri peranti ini di bawah 3 jam dari 0 hingga 100%.

Rumusan

Honor 8X menyajikan peranti yang seimbang untuk harganya, melalui spesifikasi yang menarik, rekaan skrin yang besar, bersama tampilan peranti yang elegan. Ia membawakan cip Kirin 710 yang cukup pantas, bagi membolehkan ia menggalas sejumlah tugasan harian dan permainan terkini. Skrinnya juga telah dipertingkatkan kepada 6.5-inci, bagi membolehkan anda menonton kandungan media dan paparan web dengan lebih lebih luas. Tetapi apa yang cukup menjadikannya menarik adalah rekaannya, melalui binaan kaca yang elegan di bahagian belakang peranti.

Keupayaan kameranya juga telah dipertingkatkan dengan aperture f/1.8, untuk memberi hasilan yang lebih terang pada kebanyakan situasi harian. Dengan penyertaan Night Shot, pengguna kini dapat menikmati kebolehan seumpama Huawei P20, untuk mendapatkan gambar malam yang sangat terang dan tajam tanpa memerlukan sebarang tripod tambahan. Ia juga hadir dengan fungsi Backlight Portrait iaitu fungsi penggambaran dapat memberi kesan potret seperti di dalam studio. Selain itu, pengguna juga boleh bermain dengan AR Stickers pada fungsi kamera, yang dapat menceriakan lagi sesuatu gambar dengan pelekat animasi yang menarik.

Honor 8X masih belum dilancarkan sewaktu artikel ini ditulis, namun ia akan dilancarkan di Malaysia pada 9 Oktober ini. Kami menjangkakan harganya di bawah Huawei nova 3i (RM1299) dan mungkin akan berada pada harga jualan di bawah RM1000. Sekiranya dijual pada harga sekitar ini, Honor 8X mempunyai penawaran yang berbaloi untuk harganya apabila dinilai dari segi fungsi dan spesifikasi yang ditawarkan.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.