TechSemut Malaysia

Pandang Pertama Nokia 3 – Peranti Premium Kecil Molek

Pandang Pertama Nokia 3 – Peranti Premium Kecil Molek

Pandang Pertama Nokia 3 – Peranti Premium Kecil Molek
Mei 31
17:00 2017

Empat peranti Nokia keluaran HMD Global dilancarkan di Malaysia semalam. Nokia 3 ialah peranti Android paling mampu milik yang dilancarkan mereka dengan harga jualan RM599. Persoalan yang kami terima dari akaun media sosial ialah adalah ia berbaloi untuk dimiliki? Berikut ialah pandang pertama kami untuk Nokia 3.

Spesifikasi

Nokia 3
Skrin 5.0″ IPS LCD HD (294 PPI)
Pemproses MediaTek MT6737
Cip Grafik Mali-T720MP2
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 16 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 8 Megapixel, f/2.0
Kamera Depan 8 Megapixel, f/2.0
Bateri 2650 mAh
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
Jalur LTE  1/3/5/7/8/20/28/38/40
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tidak
Harga Jualan RM 599

Seperti Nokia 6 dan Nokia 5, Nokia 3 bukanlah peranti yang akan memenangi pingat di dalam acara spesifikasi tertinggi. Ia hanya dilengkapi skrin 5″ IPS LCD dengan resolusi HD, pemproses MediaTek MT6737, memori sebesar 2 GB RAM dan storan 16 GB. Saiz storan ini diakui agak kecil dan terdapat sokongan untuk kad MikroSD sehingga 128 GB. Jelas sekali Nokia 3 ialah peranti kelas permulaan yang paling asas.

Berita baik di sini ialah slot untuk dwi-SIM Dan kad MikroSD adalah berasingan. Pengguna dapat menikmati storan tambahan berserta dua SIM bersaiz nano secara serentak.

Kamera hadapan adalah sebesar 8-Megapixel f/2.0 manakala kamera hadapan juga sebesar 8 Megapixel f/2.0 Kemampuan merakam video pada kedua-dua kamera terhad kepada 720P sahaja pada tetapan paling tinggi. Sedikit menarik ialah kamera selfie dilengkapi sistem autofokus.

Sebuah bateri sebesar 2650 mAh dibekalkan sebagai sumber kuasa. Kami tidak dapat memastikan sama ada terdapat sokongan pengecasan kerana tidak disenaraikan pada laman rasmi. Pemproses MT6737 yang digunakan menyokong pengecasan PumpExpress 2.0. Tetapi kadang kala ia tidak diaktifkan oleh pengeluar.

Ini mungkin peranti kelas permulaan tetapi Nokia ada menyertakan sokongan NFC. Tetapi tidak seperti Nokia 6 dan Nokia 5, hanya sebuah pembesar suara mono diletakkan pada bahagian bawah bersebelahan port pengecasan MikroUSB.

Rekabentuk

Nokia kembali ke pasaran peranti pintar dengan misi mengekalkan tradisi mereka menghasilkan peranti yang tahan lasak. Pada Nokia 3, kerangka aluminium digunakan dan dipadankan dengan panel belakang yang diperbuat daripada aluminium. Hasilnya ialah peranti yang terasa premium walaupun tidak mempunyai spesifikasi yang menakjubkan.

Binaan tahan lasak digunakan oleh Nokia kerana mereka menyedari pelanggan yang menggunakan peranti mereka mungkin tidak berasal dari negara maju. Sebuah peranti yang tahan lasak dapat beroperasi lebih lama tanpa mereka perlu risau ia akan mengalami kerosakan.

Kecantikan rekaan peranti tidak dikorbankan demi ketahanan. Sisi peranti kesemuanya dibulatkan dan amat selesa dipegang di dalam tapak tangan. Kualiti binaan Nokia 3 memang cukup baik dengan kemasan yang cukup terperinci. Dengan kata lain ia sebuah peranti yang sedap mata memandang.

Tidak seperti Nokia 6 dan Nokia 5, Nokia 3 tidak mempunyai pengimbas cap jari. Tiga butang navigasi kapasitif terletak pada bahagian dagu dengan butang home pada bahagian tengah dihimpit butang multitasking pada sebelah kanan dan back pada sebelah kiri. Tiada pilihan untuk mengubah posisi butang pada peranti ini. Tiada sokongan lampu pada butang navigasi dan ini sedikit mengecewakan kerana bakal membuatkan peranti sukar digunakan dalam gelap.

Butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam terletak pada sisi kanan. Pada sisi kiri terdapat slot untuk dwi-SIM dan kad MikroSD. Bicu audio masih wujud pada peranti ini dan diletakkan pada bahagian atas. Akhir sekali pada bahagian bawah terdapat pembesar suara dan port MikroUSB.

Panel belakang polikarbonat mempunyai kemasan matte. Ini mengurangkan masalah ia memerangkap cap jari dan kotoran dengan mudah. Pada masa yang sama peranti tidak terlalu licin dan terdedah kepada bahaya terlepas dari genggaman.

Satu perkara negatif yang kami sedari ialah bonjol kamera yang terkeluar dari panel belakang. Kami secara peribadi tidak menggemari peranti dengan bonjol kamera. Sukar untuk meletakkan peranti rata di atas meja tanpa menggunakan kerangka dengan bonjolan ini.

Rekaan peranti adalah amat baik bagi sebuah peranti kelas permulaan dan dijual pada harga RM 599. Nokia kini membuktikan peranti kelas permulaan tidak semestinya kelihatan murah.

Antaramuka

Android 7.0 digunakan dengan pelancar Google Pixel. Nokia menggunakan Android Stock supaya tiada masalah sela masa yang sinonim dengan pelancar pihak ketiga. Langsung tiada aplikasi gendut dan aplikasi Google sahaja disertakan untuk pengguna.

Pengoptimasian yang dilakukan menggunakan Android Stock memastikan peranti berfungsi dengan lancar walaupun tidak mempunyai spesifikasi yang tinggi. Seperti kami laporkan sebelum ini, Nokia 3 akan menerima sokongan kemaskini dari Nokia sehingga 24 bulan. Kemaskini akan hadir dalam bentuk versi sistem operasi baru dan keselamatan bagi menampak sebarang kerentanan.

Satu kekurangan Android Stock ialah tidak terdapat banyak fungsi tambahan. Tiada kustomasi tema dan animasi. Yang ada hanyalah antaramuka minimalis yang kemas. Berikut ialah beberapa fungsi yang disertakan.

Multi Window – Melancarkan dua aplikasi serentak dengan menekan butang multitasking selama beberapa saat.

Google Assistant – Pembantu maya dengan kecerdasan buatan. Dilancarkan dengan menekan butang home selama beberapa saat.

Motion – Peranti berhenti berdering apabila diterbalikkan atau diangkat dari permukaan meja.

Gesture – Melancarkan kamera dengan pantas apabila butang kuasa ditekan sebanyak dua kali.

Kesimpulan

Pertaruhan Nokia di sini ialah rekaan peranti yang berkualiti tinggi. Kerangka aluminium dipadankan dengan panel polikarbonat pada bahagian belakang. Sisi bulat yang digunakan pada tubuh peranti membuatkannya selesa di dalam telapak tangan. Skrin yang kecil pula memudahkan peranti digunakan sebelah tangan.

Sistem operasi Android Stock tanpa sebarang penambahan memudahkan proses kemaskini di masa akan datang. Pada masa yang sama tiada aplikasi gendut dan pelancar pihak ketiga yang mendatangkan masalah sela masa.

Dengan harga jualan RM599, Nokia 3 ialah peranti Android Stock paling mampu milik di pasaran sekarang. Harga yang ditawarkan adalah kompetitif apabila dibandingkan dengan HTC Desire 650 Dual Sim (RM 619), Exmobile Ola Johor DT Special Edition(RM 599)dan Oukitel U20 PLus (639) yang turut menggunakan pemproses MediaTek 6737. Untuk maklumat terkini mengenai Nokia 3 teruskan bersama Amanz.

Sumber : amanz.my

Related Articles

0 Comments

No Comments Yet!

There are no comments at the moment, do you want to add one?

Write a comment

Write a Comment

Your email address will not be published.
Required fields are marked *

CAPTCHA

*

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com