Pandang Pertama Redmi Note 9s – Dari Catatan Nota Ke Kamera

Nama Note pada sesebuah telefon pintar dipopularkan oleh Samsung. Ini kerana ia kena dengan temanya, iaitu nota. Peranti Samsung mempunyai S-Pen untuk mencatat nota atau juga melukis. Bagi pengeluar lain, mereka terjemah peranti siri note ini sebagai sebuah telefon pintar dengan saiz skrin yang besar, bateri besar dan produktiviti. Tetapi zaman sekarang, peranti bersaiz lebih 6-inci sudah tidak dikira besar dan mudah sahaja digunakan dengan satu tangan. Kenapa? Rekaan bertakuk, kamera pop-naik, skrin berlubang atau juga skrin air terjun yang melengkung pada sudut yang amat dalam. Secara tidak langsung, ia memperlihatkan rekaan yang tiada bezel tebal dan skrin besar boleh dimuatkan dalam bingkai peranti yang kecil.

Xiaomi ada banyak siri Note tersendiri. Mi Note dan Redmi Note. Mi Note sudah lama tidak kedengaran. Xiaomi Redmi Note pula kini jatuh di bawah jenama Redmi dan adalah peranti siri Note yang paling berbaloi untuk dimiliki. Malah peranti pertama Redmi adalah Redmi Note 7. Kini tahun 2020, peranti Redmi Note 9 telah diperkenalkan. Untuk pasaran Malaysia, ia diberi nama Redmi Note 9s – iaitu sebuah Redmi Note 9 Pro Max untuk pasaran luar India. Ini adalah artikel pandang pertama kami terhadap peranti ini.

Spesifikasi

Skrin peranti ini menggunakan saiz 6.67-inci FHD+ 60Hz sahaja. Ia menyokong paparan HDR dan dilindungi dengan kaca Gorilla Glass 5. Rekaan skrin yang digunakan adalah DotDisplay, iaitu rekaan skrin berlubang. Cip pemproses yang digunakan adalah Snapdragon 720G dan dipadankan dengan pilihan memori sehingga 6GB RAM dan storan dalaman sehingga 128GB. Bateri yang dimuatkan adalah 5020mAh dengan sokongan pengecasan pantas 18W melalui port USB-C. Untuk sekuriti, peranti ini menggunakan pengimbas cap jari di sisi.

Untuk kamera, ini adalah peranti Redmi pertama yang menggunakan modul kamera segi empat. Secara tidak langsung mengikut trend rekaan peranti mercu dan peranti kelas pertengahan premium. Kamera utama adalah tetapan catur-kamera yang menggabungkan lensa 48MP f/1.79 + 8MP f/2.2 sudut ultra lebar + 5MP f/2.4 lensa makro + 2MP f/2.4 sensor kedalaman. Kamera utama turut menyokong kawalan manual, bokeh dengan kawalan kabur manual, sistem kecerdasan buatan, rakaman video 4K 30FPS sinematik dan juga rakaman video sudut ultra lebar. Kamera swafoto pula adalah 16MP f/2.48 dengan kemampuan rakaman panorama dan juga video gerak perlahan 120FPS.

Pengalaman Penggunaan

Skrinnya walaupun melebihi 6.67-inci, seperti yang kami katakan tadi ia tidak begitu besar dan selesa sahaja di dalam tangan. Bezel pada atas dan kedua-dua sisi adalah sekata, namun dagu adalah tebal dan sedikit menjengkelkan. Ini mungkin kerana, banyak peranti dalam kelas yang sama sudah pun menggunakan rekaan yang lebih moden dan lebih menyeluruh. Jadi, dagu tebal ini adalah sedikit aneh. Jika Redmi jadikan sahaja sekeliling bezel yang sekata, mungkin mata lagi sedap memandang. Kualiti skrin pula adalah baik sekali. Kecerahan boleh diterima jika berada di bawah cahaya yang terang. Tetapi nilai HDR pada skrin ini adalah tidak bagus walaupun ia menyokong paparan ini. Di YouTube video-video HDR kelihatan amat kabur dan tidak terang.

Prestasi adalah sedikit mengecewakan. Ia tidak terasa begitu lancar. Unit yang kami terima ini adalah variasi 4GB RAM sahaja. Untuk tahun 2020, peranti dengan memori sebesar ini pada hemat kami adalah kurang memuaskan. Banyak aplikasi-aplikasi sekarang menggunakan banyak memori, lebih-lebih lagi aplikasi yang kerap berjalan di latar. Jadi, ia terasa sedikit lengah masa dan perlahan. Untuk menyembunyikan masalah lengah masa ini, Redmi sepatutnya gunakan sahaja skrin 90Hz seperti Redmi K30 4G. Bertukar-tukar antara aplikasi ke aplikasi mengambil masa agak lama. Setiap aplikasi yang baru dibuka mengambil masa beberapa saat untuk memuat. Manakala, jika aplikasi yang sudah dibuka, apabila dibuka kembali turut akan memuat semula.

Pembesar suara adalah mono. Namun, ia mempunyai kualiti yang agak baik dalam kelasnya. Cukup kuat dan lantang. Jika peranti terdedah kepada debu yang banyak seperti habuk atau pasir-pasir halus, peranti ini akan menggunakan pembesar suara untuk tembak segala debu keluar melalui ciri yang dinamakan sebagai Clear speaker.

Skor tanda aras pula, apabila diuji pada AnTuTu menerima skor sebanyak 246,679. Pada aplikasi Geekbench 5 pula memperlihatkan skor sebanyak 570 untuk satu teras dan skor sebanyak 1790 untuk multi-teras.

Kamera

Redmi kali ini memfokuskan pada kamera untuk siri-Note mereka. Lensa utama 48MP seperti mana-mana peranti lain adalah pilihan secara manual dan tidak terbina pada mod auto. Mod auto akan menggunakan teknik pixel binning sahaja. Lensa 48MP akan mengambil gambar dengan cukup butiran. Ia sesuai untuk mengambil gambar dari jarak jauh dan kemudian crop pada bahagian yang diinginkan. Namun, kualiti hanya akan terbaik jika mempunyai cahaya yang mencukupi. Ujian ringkas yang kami lakukan untuk sampel setiap lensa pula, memperlihatkan hasil yang memuaskan. Ia adalah terbaik dalam kelasnya. Kami hanya dapat menguji gambar di dalam kawasan rumah sahaja, dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan tidak dapat kami uji gambar suasana di luar.

Warna adalah cukup terang dan tajam. Butiran juga jitu. Cuma setiap lensa apabila hasil imej dizum penuh dengan hingar. Lensa makro adalah paling menarik. Ia dapat mengambil gambar jarak dekat yang cukup cantik dan memuaskan. Seterusnya, gambar bokeh juga adalah antara yang terbaik antara semua peranti Redmi. Dengan kemampuan tahap kabur yang boleh dilaras ia akan menepati pelbagai cita rasa pengguna.

Gambar swafoto juga mempunyai hasil yang memuaskan. Penuh dengan butiran, wajah yang berminyak turut tidak ditapis dengan penuras kecantikan. Mod bokeh pada swafoto juga adalah menarik dan mempunyai kualiti yang kemas dan menggembirakan hati kami.

Antaramuka kamera adalah seperti mana-mana peranti MIUI. Tiada banyak perubahan. Semua mudah dikawal dan mesra pengguna. Segala mod-mod baru, boleh ditatal ke kiri atau ke kanan dengan mudah.

Rekaan

Pada bahagian hadapan ia kelihatan hampir seksi. Namun disebabkan ada dagu yang tebal, ia kelihatan seperti seseorang memakai seluar terlampau tinggi sehingga atas pinggang. Syukur, Redmi menggunakan rekaan yang moden dengan skrin berlubang dan bezel yang hampir sekata di sekeliling peranti.

Pada panel belakang, Redmi menggunakan panel kaca yang amat licin dan mudah menangkap kotoran cap jari dan minyak. Tetapi, di sisi adalah sedikit melengkung yang membuatkan peranti ini kelihatan premium. Warna unit ulasan kami ini adalah Interstellar Grey. Ini secara automatik menjadi warna kegemaran kami. Ia cantik, kelihatan mewah dan premium. Warnanya bukan statik warna kelabu, tetapi sedikit berwarna perak dan ada cerun kebiru-biruan mengikut sudut mana yang anda arahkan kepada cahaya.

Pada bahagian bawah peranti, terdapat port bicu audio 3.5mm, port UBS-C, lubang mikrofon dan juga kekisi pembesar suara. Pada bahagian atas terdapat satu lagi lubang mikrofon dan Redmi mengekalkan lagi sensor infra merah untuk menjadikan peranti ini sebagai alat kawalan jauh untuk mengawal penghawa dingin, kipas, televisyen dan sebagainya. Di sisi kanan terdapat butang aras suara dan juga butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Di sisi kiri pula adalah slot kad SIM yang turut mempunyai slot kad memori microSD.

Konklusi

Redmi Note 9s secara keseluruhan adalah sebuah Redmi Note 9 Pro Max yang dijenamakan semula untuk pasaran global. Ia mempunyai kemampuan kamera yang luar biasa untuk peranti dalam kelasnya. Sedikit mengecewakan yang variasi asas adalah 4GB RAM sahaja. Jika ia bermula dengan 6GB RAM itu pasti akan menggembirakan ramai orang. Storan dalaman mungkin tidak menjadi masalah, kerana boleh dikembangkan dengan kad microSD. Jika anda hanya ingin beli Redmi Note 9s untuk tujuan kamera sahaja variasi asas sudah mencukupi. Jika ingin beli untuk membuat banyak multi-tugasan dan permua, variasi 6GB RAM adalah digalakkan.

Dengan rekaan premium, skrin yang agak baik. Tidak dinafikan yang peranti ini berbaloi untuk dimiliki. Pengguna dengan bajet rendah yang ingin mengasah bakat fotografi dalam kategori peranti pintar, ini adalah peranti yang terbaik. Harga juga bermula dari RM799 sahaja untuk 4/64 GB dan RM899 sahaja untuk 6/128 GB. Ini adalah satu tawaran yang berbaloi. Kini dari sebuah nota yang mencatat memori, berubah menjadi imaginasi yang kreatif lagi indah.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*