Pandang Pertama Samsung Galaxy Z Flip – Lembaran Baru Peranti Mercu

Samsung Galaxy Fold adalah telefon pintar pertama Samsung yang paling berinovatif. Ia menawarkan skrin OLED yang boleh lipat, yang mana adalah reka bentuk baharu bagi sesebuah telefon pintar sejak sekian lama kebanyakan telefon pintar mempunyai rekaan yang lebih kurang sama. Ya, Galaxy Fold bukan peranti yang sempurna. Samsung terpaksa menangguhkan pelancaran, penjualan dan menarik semula unit-unit yang diberi kepada pengulas. Tetapi kemudian, Samsung hadir dengan versi yang telah diperbaiki yang memberi banyak impak positif.

Samsung tidak berhenti di situ sahaja. Tahun ini mereka hadir dengan peranti dengan skrin boleh lipat variasi baharu. Peranti ini adalah benar-benar telefon pintar yang skrinnya boleh lipat. Kerana apabila dibuka ia memanjang seakan sebuah telefon pintar dan apabila dilipat menjadi bentuk yang sangat kecil sebesar tapak tangan. Manakala, Galaxy Fold pula adalah sebuah tablet yang boleh dilipat menjadi telefon. Saya berpeluang, menghabiskan masa beberapa jam bersama dengan Galaxy Z Flip ini. Ini adalah pendapat saya.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Z Flip
Skrin Dalam – 6.7″
Dyanmic AMOLED boleh lipat, FHD+
Luar – 1.1″ 300 x 112 pixel,
Super AMOLED
Pemproses Snapdragon 855+
Cip 1 X 2.95 GHz Kryo 485
3 X 2.41 GHz Kryo 485
4x 1.78 GHz Kryo 485
Cip Grafik Adreno 640
RAM 8 Gigabyte
Muatan Dalaman 256GB
Kamera Utama 12+12 Megapixel.
f/1.8 OIS + f/2.2
Kamera Swafoto 10 Megapixel f/2.4
Bateri 3300mAh
(Pengecasan pantas 15W + Nirwayar Qi)
SIM/Telefoni Nano SIM
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Cap jari fizikal
Harga Jualan Import, mencecah RM8K

Samsung Galaxy Z Flip menggunakan skrin 6.7-inci Dynamic AMOLED yang boleh dilipat. Resolusi adalah FHD+ dengan pengiktirafan HDR10+ dan panelnya diperbuat daripada UTG (Ultra Thin Glass) – iaitu sejenis kaca yang sangat nipis. Tetapi ada sedikit gimik, kerana panel kaca ini dilindungi dengan pelindung plastik kekal yang hampir sama dengan Galaxy Fold. Tetapi apabila disentuh, ia terasa lebih keras dan mungkin lebih tahan lasak untuk penggunaan jangka masa panjang.

Peranti ini turut mempunyai skrin Super AMOLED bersaiz 1.1-inci di panel belakang bahagian atas. Skrin yang kecil ini adalah untuk memaparkan jam dan notifikasi. Sedikit menjengkelkan kerana ia kelihatan begitu kecil dan boleh saya katakan, ia kurang memuaskan.

Peranti ini bukanlah peranti mercu hebat untuk tahun 2020. Ia dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 855+ dan dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB UFS 3.0. Samsung tidak menyertakan sokongan kad microSD untuk mengembangkan lagi storan dan slot kad SIM hanya menyokong satu kad SIM bersaiz nano. Saiz peranti ini pula secara keseluruhan adalah 167.3 x 73.6 x 7.2 mm apabila dibuka dan 87.4 x 73.6 x 17.3 mm apabila dilipat.

Untuk kamera, Z Flip menggunakan tetapan dwi-kamera daripada lensa 12MP f/1.8 OIS dan 12MP f/2.2 sudut ultra lebar. Kamera swafoto pula adalah 10MP yang diletakkan pada lubang di skrin utama di bahagian tengah atas. Peranti ini pula, masih memuatkan pelbagai fungsi dan ciri daripada Samsung seperti – NFC untuk Samsung Pay, sokongan pengecasan nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik. Bercakap mengenai pengecasan, bateri peranti ini mempunyai kapasiti bateri 3300mAh dwi-sel. Satu sel bateri berada di setiap satu bahagian peranti. Lebih mengecewakan, tiada sokongan pengecasan pantas moden dan terhad kepada pengecas Adaptive Fast Charging 15W.

Galaxy Z Flip turut mempunyai engsel yang lebih baik dan lebih tahan lasak untuk jangka masa penggunaan yang lebih lama. Menurut Samsung ia boleh dibuka dan dilipat sebanyak 200,000 kali. Engselnya direka dengan memastikan setiap bahagian peranti adalah stabil dan sekata, dan tidak longgar di sebelah sahaja.

Rekaan

Z Flip seperti yang saya katakan tadi adalah peranti yang benar-benar adalah telefon dengan skrin yang boleh dilipat. Semasa dalam keadaan terbuka, ia kelihatan hanya seperti sebuah telefon pintar biasa dengan skrin yang panjang. Nisbah skrin-ke-badan adalah lebih panjang dari Sony Xperia 1, iaitu 21.9:9. Memegang peranti ini memang terasa seperti alat kawalan jauh. Menariknya, peranti ini juga amat nipis dan ringan. Panel belakang diperbuat daripada kaca Gorilla Glass 6 dengan kemasan yang amat mudah menangkap kesan kotoran cap jari.

Rekaannya sangat minimalis dan tiada logo kelihatan apabila peranti dibuka. Logo Samsung hanya boleh dilihat apabila peranti ditutup, kerana logonya terletak pada bahagian engsel. Panel bahagian atas adalah di mana lokasi dwi-kamera berada. Ia terletak dalam modul yang bujur dan tidak begitu besar. Di sebelahnya adalah skrin Super AMOLED 1.1-inci yang direka kelihatan tenggelam dengan warna peranti. Di sisi kanan peranti, bahagian atas adalah lokasi butang aras suara dan juga butang kuasa yang turut mempunyai pengimbas cap jari. Bertentangan dengannya adalah slot kad SIM nano.

Bahagian bawah adalah di mana kekisi pembesar suara mula kelihatan, bersama-sama dengan mikrofon dan port USB-C. Di bahagian atas peranti tiada apa-apa kecuali mikrofon. Bahagian hadapan peranti adalah yang paling indah. Skrin boleh lipat tertera dengan jelas. Ia mempunyai bezel yang diperbuat daripada plastik yang amat tebal. Rekaan begini akan memastikan apabila peranti dilipat, is akan menjadi bezel bertemu bezel dan bukannya skrin – bagi melindungi skrin. Skrin pula terasa lebih keras dan tidak lembut seakan Galaxy Fold. Kesan lipatannya jelas kelihatan jika saya dengan sengaja mencarinya. Jarak dekat, ia hampir lutsinar – tetapi dari jarak jauh ia kelihatan dengan jelas. Kesan lipatannya juga terasa ‘dalam’ apabila menatal skrin dari atas ke bawah atau bawah ke atas.

Pengalaman Penggunaan

Dahsyat! Seronok! Menarik! Saya hanya berpeluang menghabiskan masa selama beberapa jam sahaja dengan peranti ini. Saya sudah mula jatuh cinta dan ingin jadikan peranti ini sebagai peranti harian saya. Skrinnya amat cantik dan seperti mana-mana peranti OLED Samsung, ia adalah antara yang terbaik dalam kelasnya. Menonton video akan memberikan pengalaman yang baik dan memuaskan. Warnanya jitu dan hidup, butiran kelihatan realistik dan kecerahan amat terang. Paparan yang sinematik adalah 21:9, tetapi Z Flip mempunyai nisbah yang lebih lebar – 21.9:9. Ia adalah lebih memanjang dan mengejutkan saya selesa dengannya.

Skrin OLED kecil di panel belakang adalah yang paling menjengkelkan. Ia adalah skrin sesentuh yang boleh diaktifkan melalui tap, diaktifkan dari dalam aplikasi kamera atau dikawal dengan menatal skrin kiri ke kanan. Apabila dijadikan sebagai skrin untuk mengambil gambar swafoto, ia adalah seakan satu jenaka – kerana amat sukar. Jika kegunaan hanya untuk notifikasi, saya boleh terima. Tetapi untuk viewfinder kamera – mungkin tidak.

Menyentuh skrin adalah baik sahaja. Tidak terasa begitu lembut seperti (saya ulang sekali lagi) Galaxy Fold. Ia terasa seperti peranti dengan panel kaca biasa. Kesan lipatan jelas terasa apabila menatal skrin. Yang mana penyelesaiannya adalah dengan menatal dari bahagian bawah skrin sahaja.

Antaramuka One UI pada peranti ini adalah seperti antaramuka peranti Samsung yang lain. Ia akan memberikan pengalaman penggunaan yang sama sahaja. Cuma pada Z Flip, terdapat mod baharu yang digelar Flex Mode. Saya dapat gunakan sebentar mod ini untuk penggunaan kamera. Peranti perlu dilipat separuh, yang mana bahagian atas akan menjadi tegak 90°. Viewfinder akan terpapar pada bahagian atas dan kawalan adalah di bahagian bawah. Selain itu, panggilan video Google Duo turut mempunyai mod yang sama. Video di bahagian atas dan kawalan di bahagian bawah. Ia seakan alat solek wanita.

Dari segi perisian, lain-lain adalah baik-baik sahaja. Prestasi terasa pantas dan lancar. Ia akan mempunyai prestasi seakan Galaxy S10 tetapi sedikit lebih baik. Mengambil rakaman skrin adalah sedikit aneh, kerana begitu memanjang.

Kualiti kamera, agak sukar untuk beri penilaian. Ia adalah kamera Samsung. Gambar swafoto yang pudar dan mempunyai warna yang kurang menyerlah. Mod Live Focus yang tidak begitu konsisten. Kamera belakang pula baik-baik sahaja, kualiti dalam kafe ini kelihatan cantik. Mempunyai nilai HDR yang puas. Mengambil gambar dengan peranti ini juga mudah. Apabila peranti dilipat, skrin kecil boleh digunakan untuk dijadikan viewfinder kamera swafoto. Atau apabila terbuka, boleh hidupkan skrin kecil untuk subjek melihat diri mereka. Ini adalah beberapa sampel gambar yang sempat saya ambil. Mungkin ujian lebih lanjut akan diuji dalam ulasan akan datang. Setakat ini, bagi saya ia adalah memuaskan sahaja.

Melipat dan menutup peranti ini adalah yang paling memuaskan. Ia rasa premium dan amat seronok untuk buka dan tutup dan buka dan tutup. Ada bunyi yang keluar, tetapi ia mempunyai bunyi yang puas didengari dan bukannya menjengkelkan. Apabila peranti dibuka hampir penuh, ia akan terus terbuka sehingga habis dengan sendiri. Apabila peranti dilipat, akan ada bunyi yang mengimbau kembali kenangan peranti flip zaman dahulu.

Selepas dilipat, peranti amat kecik – sekecil dalam tapak tangan. Simpan di dalam kocek adalah lebih mudah. Cuma, peranti ini amat licin yang mana – tangan saya yang kerap berpeluh akan membahayakan peranti. Malah, ia begitu licin sehingga letak di atas permukaan rata turut boleh bergerak dengan sendiri.

Konklusi

Galaxy Z Flip adalah sebuah Galaxy S10e yang lebih berkuasa. Janaan Snapdragon 855+ masih lagi hebat. Tetapan dwi-kamera juga adalah tidak cukup baik untuk bersaing dengan peranti-peranti mercu lain. Tetapi syukur, kamera yang dimuatkan adalah lensa kegemaran – sudut ultra lebar. Peranti ini memang terasa premium dan akan memberikan pengalaman yang memuaskan. Sudah sekian lama, kita menggunakan telefon pintar dengan rekaan tradisional – iaitu segi empat. Jadi persoalannya adalah telefon pintar dengan rekaan sebegini akan mengubah gaya hidup kita?

Tidakkah anda pernah berfikir, rekaan-rekaan telefon sekarang sudah lapuk? Tiada yang benar-benar mengubah persepsi pengguna. Jika saya sendiri mempunyai perasaan suka dan gembira dengan kewujudan peranti ini, saya yakin anda akan menggemarinya.

Z Flip bukanlah Galaxy Fold yang kedua. Tetapi lebih kepada pilihan lain untuk peranti boleh lipat. Adakah ianya berbaloi untuk dimiliki? Sama seperti Galaxy Fold, ia akan berikan satu pengalaman baharu – tetapi bukan untuk semua. Ini kerana harga jualannya adalah amat mahal. Set yang saya uji ini adalah set Samsung Singapura yang dijual pada tanda harga SG$ 1,998, iaitu sekitar RM6030.

Setakat ini pasaran Asia seperti Singapura dan Korea, ia masih mengikut pasaran Amerika Syarikat – Z Flip lebih murah dari S20 Ultra. Tetapi di India, Z Flip lebih mahal dari S20 Ultra. Harapnya, harga jualan Malaysia Z Flip akan lebih murah. Jika S20 Ultra RM4,999 – Z Flip mungkin boleh jadi RM4,599? Beberapa penjual tempatan sudah mula menjual Z Flip dengan harga mencecah lebih RM8000. Anda akan tunggu atau beli sahaja set import?

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*