Pandang Pertama: Vivo V11i

Vivo V11i
Skrin 6.3” LTPS LCD, FHD+
Nisbah 19:9, 400 ppi
Chipset MediaTek Helio P60
CPU 4 x Cortex-A73 2.0 GHz
4 x Cortex-A53 2.0 GHz
GPU Mali-G72 MP3
Memori 4GB RAM
Storan 128GB eMMC 5.1
Kamera Utama 16MP f/2.0 + 5MP f/2.4
Kamera Hadapan 25MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
mikroUSB
Sistem Funtouch OS 4.5
Android 8.1 Oreo
Bateri 3315 mAh, Pengecasan 18W
Dimensi 155.9 x 75.6 x 8.1 mm
Berat & Ketebalan 163g, 8.1mm
Harga RM1299 (4GB RAM + 64GB)

Vivo pada tahun ini telah menawarkan dua model untuk siri Vivo V mereka iaitu Vivo V11 dan Vivo V11i. Vivo V11 membawakan spesifikasi tertinggi, seperti kehadiran skrin 6.41-inci Super AMOLED, cip Snapdragon 660, bersama memori 6GB RAM. Selain itu, keupayaan kameranya juga membawakan sensor dengan aperture f/1.8, yang dilihat membantu untuk penggamabaran malam. Ia juga peranti pertama dalam siri ini yang menawarkan pengimbas cap jari di bawah skrin, yang mana sebelum ini hanya ditawarkan untuk siri Vivo X dan Vivo NEX.

Vivo V11i pula dilihat model yang membawakan spesifikasi standard untuk bersaing dengan peranti sekelasnya yang lain. Ia juga dilihat adalah model penambahbaikan paling terdekat untuk Vivo V9, melalui rekaan skrin penuh dengan takuk yang dikecilkan, penyertaan cip yang hampir dua kali ganda lebih pantas, bersama storan dalaman dua kali ganda lebih besar. Harganya juga masih ditempatkan pada harga yang berdekatan seperti Vivo V9, menerusi harga jualan RM1299.

Rekaan

Untuk spesifikasinya, Vivo V11i didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin 6.3-inci LTPS LCD Full HD+ dengan nisbah 19:9, cip MediaTek Helio P60, memori 4GB RAM, dan storan 128GB dengan sokongan kad mikroSD sehingga 256GB. Ia juga membawakan beberapa sambungan terkini seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 3315 mAh.

Vivo V11i membawakan rekaan baru berasaskan polikarbonat, berbanding rekaan logam pada Vivo V9. Rekaan ini dikemaskan dengan warna cerun, bagi memberi penampakan peranti yang lebih menarik. Walaupun didatangkan dengan rekaan polikarbonat, saya memuji cara Vivo memperkemaskan binaan ini yang kelihatan seolah-olah hadir dengan binaan kaca. Menarik tentang binaan ini, ia tidak begitu licin di tangan dan lebih lasak berbanding binaan kaca. Cuma ia masih memerangkan kesan cap jari, yang mana sangat disarankan untuk anda memakai aksesori tambahan untuk memelihara aspek kosmetik pada peranti ini.

Kedudukan kameranya masih serupa seperti Vivo V9, dengan menampilkan rekaan kamera secara menegak. Rekaan ini kelihatan menarik, selain memberi bayangan seolah-seolah anda menggunakan peranti iPhone X. Perletakkan kamera ini menampilkan sistem dwi-kamera 16MP f/2.0 + 5MP, selain dibantu dengan lampu LED yang ditempatkan pada bahagian bawah kamera ini. Dari segi rekaan sisi, ia menempatkan lokasi butang yang standard, seperti butang kuasa dan butang suara di bahagian kanan, dan slot dwi-sim + mikroSD di bahagian kiri.

Di bahagian atas peranti tidak membawakan sebarang sambungan, sekaligus memberi petunjuk ia tidak menawarkan sebarang IR blaster. Di bawahnya terdapat sambungan standard seperti bicu audio 3.5mm dan pembesar suara mono, namun masih mengekalkan sambungan mikroUSB. Dengan harga sekitarnya, ASUS ZenFone 5 dan Xiaomi Mi A2 telah sedia hadir dengan sambungan USB-C bagi memudahkan anda menyambung kabel ini pada mana-mana arah.

Tidak seperti Vivo V11, ia masih menawarkan pengimbas cap jari di bahagian belakang, dengan kepantasan yang lebih pantas berbanding pengimbas cap jari di bawah skrin. Ia tidak mempunyai sebarang isu seperti pengimbas cap jari Vivo V11, yang memerlukan anda menunggu seketika ketika imbasan sedang dilakukan. Sekiranya anda memerlukan imbasan biometrik yang lain, anda masih boleh menggunakan fungsi imbasan wajah yang disertakan pada peranti ini.

Dari segi binaan hadapan, ia hadir dengan saiz skrin LTPS LCD sebesar 6.3-inci, dengan resolusi Full HD+ pada nisbah 19:9. Seperti Vivo V11, ia membawakan rekaan bertakuk seumpama titisan air, bagi perletakkan kamera hadapan dan saluran pendengaran pada bahagian ini. Rekaan takuk walau bagaimanapun tidak boleh disorokkan – tidak seperti Vivo V9 yang membolehkan anda meletakkan bar berwarna hitam pada bahagian ini. Dengan penggunaan panel LTPS LCD, ia mampu memberi paparan yang lebih baik berbanding IPS LCD biasa, dengan konstras warna yang lebih terang seumpama melihat panel paparan dengan skrin AMOLED.

Dari segi variasi, Vivo V11i ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 4GB RAM dan storan dalaman 128GB. Sekiranya storan ini tidak mencukup, anda boleh membuat penambahan storan sehingga 256GB, melalui penambahan kad mikroSD pada ruang slot dwi-sim berasingan. Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna, menerusi Starry Night dan Nebula, yang mana boleh dipilih sewaktu membuat pembelian peranti.

Sistem

Seperti Vivo V11, Vivo V11i turut dijana dengan Funtouch OS 4.5 iaitu antaramuka yang dibina berasaskan Android 8.1 Oreo. Antaramuka ini tidak menyajikan talam aplikasi, dengan meletakkan kesemua aplikasi yang dipasang pada paparan utama. Namun pengguna boleh membuat perubahan tema, dengan sejumlah pilihan yang boleh dimuat-turun. Ia juga menyajikan paparan Control Center seumpama iOS, dengan memerlukan anda meleret (swipe) dari bawah ke atas skrin.

Funtouch OS 4.5 telah sejumlah penambahbaikan, seperti kehadiran fungsi AI pada kamera, yang membolehkan kamera mengenal pasti sesuatu subjek ketika proses penggambaran. Seperti contoh, sekiranya anda menghalakan kamera ke arah makanan, ia akan mengaktifkan Food Mode untuk meningkatkan warna dan konstras pada gambar. Tidak seperti Vivo V11, fungsi Jovi iaitu fungsi pembantu maya berasaskan paparan pintar dilihat tidak hadir pada Vivo V11i ini.

Prestasi

Vivo V11i dijana dengan cip pemprosesan kelas pertengahan yang sama seperti OPPO F9, menerusi penggunaan cip MediaTek Helio P60. Cip ini membawakan cip lapan-teras dengan dua kluster berbeza, menerusi 4 x Cortex-A73 2.0 GHz untuk kegunaan berkuasa, dan 4 x Cortex-A53 2.0 GHz untuk kegunaan biasa. Ia juga menampilkan GPU Mali-G72 MP3, bagi membolehkan ia memainkan permainan yang intensif pada tetapan grafik sederhana.

Melalui penanda aras yang dipersembahkan, prestasi cip ini menyerupai cip sekelasnya iaitu cip Qualcomm Snapdragon 660 (Vivo V11) dan HiSilicon Kirin 710 (Huawei nova 3i). Dengan penggunaan memori 4GB RAM, peranti ini dapat memberi prestasi harian yang lancar, terutama ketika menggalas sejumlah aplikasi di belakang tabir. Untuk kegunaan permainan, permainan seperti PUBG Mobile, dapat dimainkan pada tetapan grafik sederhana, melalui prestasi grafik yang konsisten.

Kamera

Untuk keupayaan kameranya pula, Vivo V11i masih mendatangkan sistem dwi-kamera, melalui padanan sensor 16MP f/2.0 bersama sensor kedua 5MP f/2.4 untuk penggambaran Portrait Mode. Ia turut dilengkapi dengan sokongan AI, dan HDR, namun tidak dinyatakan ia hadir sebarang penstabilan imej seperti OIS dan EIS.

Untuk hasil percubaan awal saya, gambarnya memberi keperincian imej yang lebih baik berbanding Vivo V9, melalui keperincian imej yang tajam. Warnanya juga kelihatan naik, membuatkannya kelihatan sangat menarik untuk tujuan perkongsian di media sosial. Cuma hasilnya saya dapati mudah gelap, berikutan penggunaan aperture f/2.0 yang sama seperti Vivo V9. Ia tidak seperti Vivo V11 yang sering memberi hasilan yang cukup terang – melalui penggunaan aperture f/1.8.

Kamera hadapannya adalah sama seperti Vivo V11, melalui penggunaan sensor 25MP f/2.0. Hasil penggambarannya dilihat sangat menawan, dengan memberi hasilan yang jelas apabila diteliti pada bahagian kulit wajah. Hasilan kabur di belakang subjek juga kelihatan baik, melalui hasilan yang hampir ke arah sempurna.

Dari segi fungsi rakaman, Vivo V11i hanya menawarkan rakaman 1080p tanpa sebarang sokongan penstabilan imej EIS untuk mengurangkan kesan gegaran sewaktu rakaman video. Dari segi fungsi tambahan, Vivo V11i telah menyertakan sejumlah fungsi baru seperti AI Face Beauty untuk simulasi pencantikkan wajah dan AR Stickers untuk perletakkan animasi menarik pada gambar.

Bateri

Dari segi bateri, Vivo V11i hanya membawa peningkatan yang kecil iaitu 3315 mAh berbanding 3260 mAh pada Vivo V9. Kapasiti bateri ini turut berdekatan dengan pesaingnya seperti ASUS ZenFone 5 (3300 mAh) dan Huawei nova 3i (3340 mAh). Dengan saiz skrin 6.3-inci dan kapasiti bateri ini, kami menjangka peranti ini dapat memberi bacaan Screen-on-Time sekitar 5-6 jam untuk menggalas keperluan harian anda.

Tidak seperti Vivo V9, Vivo V11i telah membawa fungsi pengecasan pantas, melalui pengecas 18W yang dibekalkan bersama pembelian peranti ini. Ia dijangka dapat mengecas peranti ini dalam masa sekitar 2 jam berbanding 2 jam 30 minit ke atas pada model sebelumnya. Cuma agak sedikit mengecewakan, ia masih menggunakan sambungan mikroUSB berbanding USB-C, sekaligus tidak membenarkan anda menyambung kabel ini pada mana-mana arah.

Rumusan

Vivo V11i hadir dengan sebuah pakej peranti yang menarik, melalui rekaan yang menawan bersama skrin dengan takuk yang dikecilkan. Rekaan takuk ini membuatkan paparan peranti ini kelihatan lebih luas, selain menyajikan tampilan peranti yang lebih elegan. Selain itu, ia juga hadir dengan cip pemprosesan yang pantas untuk harganya – melalui cip MediaTek Helio P60 – untuk menggalas sejumlah keperluan dan permainan hari ini. Apa yang menarik lagi, storan dalamannya telah dipertingkatkan sehingga dua kali ganda pada harga yang berdekatan seperti Vivo V9 sebelum ini.

Aspek kameranya juga telah dipertingkatkan dengan sejumlah fungsi baru, seperti AI Face Beauty yang dapat mencantikkan wajah anda ketika mengambil swafoto melalui peranti ini. Anda juga boleh bermain dengan AR Stickers, dengan melekatkkan sejumlah animasi menarik pada wajah anda. Selain daripada keupayaan kamera, fungsi pengecasannya kini telah ditambahbaik, melalui sokongan pengecasan 18W untuk menyingkatkan masa pengecasan peranti.

Vivo V11i telah disenaraikan pada harga RM1299 untuk variasi 4GB RAM bersama storan 128GB. Ia merupakan pesaing terdekat Huawei nova 3i, yang mana turut menawarkan konfigurasi memori dan storan yang sama pada harga RM1299. Namun dengan kelebihan seperti rekaan takuk lebih kecil, skrin LTPS LCD yang lebih terang, dan sokongan pengecasan pantas 18W, Vivo V11i dilihat memberi penawaran yang lebih hebat apabila dibandingkan dengan pesaingnya.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.