PELANCARAN KEMPEN GALAKAN IMUNISASI UNTUK JEMAAH HAJI DAN UMRAH

PELANCARAN KEMPEN GALAKAN IMUNISASI UNTUK JEMAAH HAJI DAN UMRAH
7 NOVEMBER 2018

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Dewan Serbaguna, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 7 November 2018 bagi menggalakkan pengambilan imunisasi yang komprehensif (vaksin meningokokus, vaksin pneumokokus dan vaksin influenza) oleh bakal jemaah Haji dan Umrah.

Jemaah Haji dan Umrah terutama sekali mereka yang lanjut usia dan mempunyai penyakit kronik, berisiko tinggi untuk mendapat penyakit berjangkit yang boleh membawa maut seperti penyakit meningokokus, pneumokokus, dan influenza. Kempen Imunisasi Haji dan Umrah di bawah program Immunise4Life ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para jemaah tentang kepentingan mengambil ketiga-tiga vaksin ini bagi memberikan perlindungan sebaiknya kepada jemaah dan orang di sekeliling mereka.

Kerajaan Arab Saudi telah mewajibkan Jemaah Haji dan Umrah untuk mengambil vaksin meningokokus bagi mengekang wabak penyakit meningokokus yang pernah berlaku selepas musim Haji tahun 2001 dan 2002. Kerajaan Malaysia sehubungan itu telah meluluskan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi perolehan vaksin meningokokus kepada Jemaah Haji Malaysia yang akan mengerjakan fardu haji ke Tanah Suci bermula pada tahun 2002.

Selain daripada penyakit meninggokokus, para jemaah Haji & Umrah juga terdedah kepada penyakit pneumokokus, dan influenza yang boleh mengakibatkan radang paru-paru dan merupakan penyebab utama kemasukan ke hospital dan kematian di kalangan para jemaah Haji. Oleh itu, jemaah Haji dan Umrah amat digalakkan untuk mengambil vaksin pneumokokus dan vaksin influenza bagi mencegah penyakit tersebut. Vaksin ini boleh diperolehi di klinik dan hospital swasta.

Menyedari akan kepentingan pengambilan vaksin pneumokokus dan vaksin influenza, Dr Dzulkefly Ahmad amat mengalu-alukan kempen menggalakkan imunisasi oleh Immunise4Life ini, selari dengan usaha kerajaan yang menekankan aspek pencegahan penyakit.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise4Life, Professor Datuk Dr. Zulkifli Ismail, keadaan yang sesak semasa musim Haji dan Umrah yang boleh mencecah jutaan manusia boleh menyebabkan jangkitan senang merebak.

“Ramai di kalangan para jemaah Haji dan Umrah telah lanjut usia atau mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit pernafasan kronik yang mendedahkan mereka kepada komplikasi serius dan kematian jika mendapat jangkitan meningokokus, pneumokokus dan influenza,” katanya.

Bagi memenuhi matlamat kempen ini, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan. Kursus untuk pegawai-pegawai perubatan telah diadakan pada bulan April dan Mei tahun ini, manakala edaran buku panduan imunisasi kecil di klinik-klinik, serta bahan-bahan pendidikan berbentuk video dan artikel di laman sesawang dan media sosial akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Bahan-bahan pendidikan yang dihasilkan oleh kempen ini boleh didapati di laman web immunise4Life, ifl.my/haji-umrah/ dan akan di promosi melalui Facebook Immunise4Life.

Kempen ini dilaksanakan di bawah Program Immunise4Life yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dan Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia (MSIDC). Inisiatif ini dijayakan dengan usahasama Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dengan sokongan pihak industri iaitu GlaxoSmithKline (GSK), Merck Sharp & Dohme (MSD) dan Sanofi Pasteur.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi wakil sekretariat kempen (Maryam – 011 11 300 291)

29634total visits,1185visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.