TechSemut Malaysia

Pembangunan Cyberjaya City Centre akan dimulakan pertengahan 2015

Pembangunan Cyberjaya City Centre akan dimulakan pertengahan 2015

Pembangunan Cyberjaya City Centre akan dimulakan pertengahan 2015
Oktober 10
13:34 2014

396278_331163430250583_560873414_nCYBERJAYA: Cyberjaya City Centre (CCC) yang disasar mengubah sepenuhnya landskap bandar raya pintar Cyberjaya, dijangka mula dibangunkan pada separuh pertama tahun depan.

CCC yang merangkumi tujuh fasa, akan dibangunkan dalam tempoh kira-kira 15 tahun bakal melengkapi transformasi Cyberjaya daripada sebuah pusat teknologi maklumat (ICT) nasional kepada hab teknologi global.

Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, Faris Yahaya, berkata syarikat sudah menghantar permohonan kebenaran merancang kepada pihak berkuasa tempatan dan setakat ini memperoleh kelulusan bersyarat untuk membangunkan CCC.

 

Pembangunan CCC yang terletak berhadapan Universiti Limkokwing adalah berdasarkan pelan induk yang disemak semula tahun ini.

“Kami sedang berunding dengan beberapa pemaju hartanah dan syarikat pembinaan bagi pembangunan fasa pertama yang membabitkan kawasan seluas 9.3 hektar.

“Sebaik persetujuan dicapai dengan mana-mana rakan pelaksana, kerja pembangunan akan dimulakan berkemungkinan pada separuh pertama tahun depan,” katanya dalam satu pertemuan dengan BH di sini.

Cyberview, yang diberikan mandat untuk membangunkan Cyberjaya ketika ini giat untuk menarik firma multinasional untuk menubuhkan operasi masing-masing di bandar raya pintar itu.

Pembangunan CCC yang diumumkan setahun lalu, dianggap sebagai pemangkin untuk melengkapkan ekosistem yang sempurna kepada Cyberjaya sebagai sebuah bandar yang bukan saja berfungsi sebagai satu lokasi pelaburan hebat, malah sesuai didiami.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan fasa pertama CCC, Faris berkata antara kemudahan yang akan dibangunkan ialah laluan pejalan kaki yang bakal menghubungkan Cyberjaya dengan Putrajaya Sentral.

“Idea kami ialah memastikan terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dijalankan di CCC,” katanya.

Fasa pertama bakal membabitkan pembangunan bercampur termasuklah rancangan membina pusat konvensyen pertama di Cyberjaya selain pangsapuri khidmat, ruang peruncitan serta unit pejabat.

Dalam pada itu, Cyberview sudah mengenal pasti hingga 90 syarikat teknologi global ke Cyberjaya bagi membantu meningkatkan ekosistem bandar raya pintar itu melalui sembilan bidang tumpuan.

Lima daripada bidang berkenaan masih berkaitan ICT iaitu keselamatan maklumat, kandungan kreatif, internet mudah alih, perkomputeran awan dan analisis data besar manakala empat bidang lain di bawah kluster teknologi ialah teknologi hijau, bioteknologi, teknologi boleh diguna pakai dan grid pintar.

Sesetengah syarikat yang dikenal pasti sudah mempunyai operasi di Malaysia namun disasar membuka pusat operasi tambahan di Cyberjaya, manakala terdapat syarikat yang belum pernah bertapak di negara ini.

Antara syarikat terkemuka yang dikenal pasti ialah Google, Cloudera dan Ubisoft.

 

SUMBER : BERITA HARIAN

Share

About Author

hasnan

hasnan

Diploma dalam Sains Komputer (IT) dari UTM Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (IT) dari UKM

Related Articles

0 Comments

No Comments Yet!

There are no comments at the moment, do you want to add one?

Write a comment

Write a Comment

Your email address will not be published.
Required fields are marked *

CAPTCHA

*

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com