terpakai malaysia ucanlah system restorant malaysia

Pembinaan Penanda Molekul bagi Kultur Tisu Kelapa Sawit Prolifik

Oleh : Siti Khadijah A. Karim

Pengarang Koresponden

Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, 26400 Bandar Tun Razak, Jengka, Pahang Darul Makmur

Nota : [Berikut merupakan ringkasan jurnal Nik Marzuki Sidik & Penulis sendiri berjudul “Pembinaan Penanda Molekul bagi Tisu Kelapa Sawit Prolifik” yang diterbitkan dalam Jurnal Sains Malaysiana 47(8) 1701-1708 pada tahun 2018.

Kelapa sawit (Elaeis guineensis Jacq.) adalah tumbuhan yang mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia adalah sumber minyak masak kedua terbesar dunia selepas kacang soya. Kelapa sawit banyak ditanam di kawasan tropika Asia, Amerika Latin dan Afrika. Dianggarkan pada tahun 2020, 26% sumber minyak dan lemak dunia akan disumbangkan oleh hasil sawit dan dengan itu minyak sawit akan mendominasi 50% daripada dagangan minyak dan lemak pada peringkat global. Jumlah pengeluaran purata sebuah negara pengeluar minyak sawit adalah dianggarkan antara 10-11 tan minyak sehektar dalam setahun. Peningkatan daripada segi biak baka dan hasil yang diperoleh daripada sawit giat dijalankan untuk menghasilkan kultivar yang mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki. Contohnya kerintangan terhadap penyakit, kadar pertumbuhan yang tinggi dan hasil minyak sawit yang berkualiti dengan jumlah yang banyak.

Antara masalah yang paling biasa ditemui dalam penanaman sawit adalah seperti kandungan minyak yang rendah dan kadar pembiakan yang perlahan

Pelbagai kaedah dan kajian telah dijalankan untuk meningkatkan kecekapan penghasilan minyak sawit disebabkan keperluan minyak sawit yang semakin meningkat seiring dengan pertambahan populasi dunia. Secara konvensional, pokok sawit biasanya ditanam menggunakan teknik pembiakan melalui biji benih. Pembiakan melalui biji benih adalah pembiakan tanaman melalui persenyawaan tumbuhan. Meskipun terdapat beberapa kemajuan yang menghasilkan biak baka yang baik melalui pemilihan biji benih bermutu, namun proses ini mengambil masa yang lama untuk memperoleh hasilnya. Selain itu, terdapat banyak masalah yang dihadapi oleh pembiak baka dalam mendapatkan hasil sawit bermutu. Antara masalah yang paling biasa ditemui dalam penanaman sawit adalah seperti kandungan minyak yang rendah dan kadar pembiakan yang perlahan. Ini menyebabkan kadar penghasilan dan kualiti minyak sawit menjadi tidak seragam. Masalah lain yang biasanya dihadapi dalam penanaman melalui biji benih ini adalah terdapatnya variasi genetik antara satu pokok dengan pokok yang lain. Oleh kerana setiap kitar pemilihan tanaman memerlukan masa kira-kira 10 tahun, ini membuatkan perkembangan genetik menjadi sangat perlahan serta penggunaan tenaga kerja dan masa yang lama. Ia adalah akibat daripada proses pencirian biologi kelapa sawit (kitar hidup yang panjang dan tiada pembiakan vegetatif semula jadi) dan juga variasi genetik yang tinggi antara hibrid.

Rajah menunjukkan keratan filem autoradiograf bagi 42 cebisan DNA polimorfik yang dikenal pasti. Analisis AFLP dijalankan dengan menggunakan 20 DNA genom kelapa sawit yang diuji dengan 13 kombinasi pencetus yang berbeza. Kehadiran cebisan DNA polimorfik adalah seperti yang ditunjukkan. Telaga 1-10, klon tidak prolifik; 11-16, klon normal; 17-20 klon prolifik

Teknik kultur tisu membenarkan penambahan bilangan suatu tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki dengan banyak dalam jangka masa yang singkat. Walaupun teknik kultur tisu berupaya menghasilkan planlet yang bersifat serupa dengan induk, sebahagian daripada klon gagal untuk memberikan hasil yang dijangkakan akibat perubahan dalam corak pengekspresan gen. Ini adalah kerana proses embriogenesis somatik menyebabkan berlakunya perubahan biokimia dan morfologi sepanjang perkembangan tisu kalus. Dalam teknik kultur tisu, tidak semua kalus yang dikulturkan akan menghasilkan pucuk disebabkan regenerasi tumbuhan tidak berlaku semasa proses mikroperambatan dijalankan. Hipotesis pertama mencadangkan bahawa terdapat variasi genetik dalam populasi sel. Hipotesis kedua mencadangkan bahawa terdapat sejenis bahan semula jadi yang merangsang proses morfogenesis pada eksplan yang baru dipencilkan yang akan merosot dalam keadaan in vitro. Ini bermakna terdapat peningkatan dalam bahan perencat morfogenesis yang berkadar langsung dengan masa. Hipotesis ketiga pula mencadangkan terdapat perubahan genetik ke atas sel-sel yang dikulturkan dan mekanisme regulasi yang berperanan untuk mengekspreskan ciri morfogenesis telah dinyahaktifkan atau hilang ketika pensubkulturan berterusan dijalankan

Teknik kultur tisu membenarkan penambahan bilangan suatu tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki dengan banyak dalam jangka masa yang singkat

Penanda molekul telah memainkan peranan yang besar dalam pencirian genetik dan peningkatan bagi spesies tanaman. Ia juga telah menyumbang dan meningkatkan keupayaan saintis untuk mengkaji kepelbagaian biologi, membina semula perhubungan filogenetik yang lebih tepat dan memahami strukturnya, evolusi dan interaksi tumbuhan dan populasi mikrob. Sistem penanda molekul telah mendedahkan variasi yang terdapat dalam jujukan DNA genom.

Kredit Foto :  UtusanOnline

20total visits,12visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*