TechSemut Malaysia

Pemenang Abel Prize 2018 Dermakan Wang Kemenangan

Pemenang Abel Prize 2018 Dermakan Wang Kemenangan

Pemenang Abel Prize 2018 Dermakan Wang Kemenangan
Jun 05
15:31 2018

Diterjemah oleh panel penterjemah MajalahSains

Ahli matematik Kanada, yang juga penerima Hadiah Abel 2018 Robert P. Langlands merancang untuk mendermakan NOK 6 juta (kira-kira USD750,000) yang diterima oleh beliau. Hadiah Abel merupakan inisiatif tahunan kerajaan Norway bagi mengiktiraf kerja-kerja dan penyelidikan yang menonjol dalam bidang matematik.

Langlands, seorang profesor di Universiti Princeton di Amerika Syarikat, memenangi hadiah untuk “penyelidikan terkehadapan beliau yang menghubungkan teori perwakilan kepada teori nombor” dalam matematik

Raja Harald V memberi tepukan kepada pemenang Hadiah Abel dalam Matematik tahun ini, Profesor Robert P Langlands. Kredit: Thomas Brun / Abel Prize

Langlands yang lahir di British Columbia pada 1936, membuat keputusan untuk mendermakan wang kemenangannya untuk tujuan kebajikan serta menyokong pengajaran matematik kepada beberapa institusi dan orang asal di tanah kelahirannya iaitu Kanada.

Beliau menerima Hadiah Abel 2018 pada 22 Mei daripada King Harald V di dewan istiadat Universiti Oslo di pusat Bandar. Dewan yang dikenali sebagai Aula ini turut menampilkan beberapa mural besar yang dihasilkan oleh seniman Norway, Edvard Munch. Langlands juga merupakan tetamu kehormat dalam jamuan di Dewan Bandaraya Oslo, yang menampilkan ucapan oleh seorang lagi ahli matematik terkemuka iaitu Caroline Series, seorang profesor di Universiti Warwick, serta Iselin Nybø, menteri kerajaan Norway yang bertanggungjawab terhadap pendidikan tinggi dan penyelidikan.

Ini bukan kali pertama Langlands menerima anugerah. Beliau yang mengajar di Universiti British Columbia dan Universiti Yale pernah memenangi beberapa hadiah, yang digelar “pengiktirafan kepada wawasan dan sumbangan cemerlang dalam matematik” oleh rakan-rakan sepakarannya. Menurut penganjur Hadiah Abel, “Program Langlands” nya sering digambarkan sebagai “teori kesatuan besar matematik.”

Selaras dengan tradisi Hadiah Abel, Langlands turut menyampaikan kuliah sempena penerimaan hadiah di Universiti Oslo. Beliau digelar “salah seorang ahli matematik paling terkenal yang masih hidup hari ini dan seorang tokoh yang mengagumkan dalam sejarah matematik moden” oleh Kenneth A. Ribet dari Universiti California di Berkeley, merangkap peneraju Persatuan Matematik Amerika.

Hadiah Abel diperkenalkan oleh kerajaan Norway pada 2002 dan dianugerahkan oleh Akademi Sains dan Persuratan Norway pada bulan Mei setiap tahun sebagai penghormatan kepada ahli matematik Norway iaitu Niels Henrik Abel. Hadiah ini bertujuan mengiktiraf sumbangan kepada bidang matematik yang “mendalam dan berpengaruh luar biasa.”


Sumber-Youtube

Berita asal- http://www.newsinenglish.no/2018/05/24/abel-prize-winner-donates-the-proceeds/

Related Articles

0 Comments

No Comments Yet!

There are no comments at the moment, do you want to add one?

Write a comment

Write a Comment

<

*

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com