Pendermaan Darah & Prosedur Bloodletting

Oleh : Dr Onn Azli Puade

Sejak 3,000 tahun yang lalu, terdapat satu amalan yang digunapakai di dalam bidang perubatan, dan amalan ini dinamakan sebagai bloodletting. Pada abad ke 19 hingga kini, amalan membuang darah ini masih diteruskan, cuma amalan ini telah berkurangan daripada segi popularitinya memandangkan kebanyakkan perkara yang diperkatakan oleh pengamal bloodletting ini tidak berjaya dibuktikan keberkesanannya dalam merawat beberapa penyakit.

Hal ini adalah kerana sikap pengamal bloodletting ini yang sering terlalu meninggikan dan membuat kenyataan bahawa prosedur ini boleh mengubati banyak jenis penyakit seperti angin ahmar, masalah jerawat, sawan, kencing manis, kolesterol tinggi, alahan makanan, histeria, kemurungan dan lain-lain (overclaim). Daripada kesemua penyakit yang disenaraikan, hanya 2 penyakit sahaja yang mempunyai bukti bahawa bahawa amalan bloodletting ini yang digunakan sebagai rawatan mempunyai kesan yang signifikan kepada pesakit, iaitu penyakit polycythaemia dan juga haemochromatosis.

Prosedur bloodletting pada tahun 1860 – The Burns Archive

Sebenarnya, prosedur ini adalah lebih kepada langkah pencegahan dan bukannya satu langkah rawatan kecuali untuk dua penyakit yang disebutkan di atas. Konsep bloodletting ini, pada awalnya dibuat dengan menggunakan lintah. Lintah ini akan diletakkan kepada kulit pesakit, dan setiap seekor daripada lintah ini mempunyai kebolehan untuk menghisap kandungan darah diantara 5 hingga 10 mililiter, dan haiwan ini boleh mencapai sehingga 10 kali ganda berat badannnya selepas menghisap darah.

Carta lokasi bloodletting untuk beberapa jenis penyakit yang menjadi tidak relevan dalam perubatan moden – National Library of Wales

Pada zaman seterusnya pula, mereka mula mengelar bahagian kulit pesakit pada bahagian yang tertentu untuk mengeluarkan darah. Selalunya, bahagian vena di tangan merupakan bahagian yang paling popular untuk dikelar. Darah akan dikeluarkan melalui torehan tersebut dan dibuang begitu sahaja. Untuk mana-mana pesakit yang perlu menjalani pembedahan pula, jumlah darah akan dikeluarkan sama banyak dengan berat anggota yang bakal dibuang melalui pembedahan yang tersebut.

Seperti yang diperkatakan di atas, prosedur bloodletting ini pada awalnya dilakukan oleh doktor. Namun, selepas kajian klinikal dan evidence-based medicine mula diperkenalkan, prosedur ini tidak lagi dilaksanakan kerana para doktor sudah mulai mengetahui bahawa kajian yang dilakukan sebelum ini mendapati bahawa prosedur ini tidak mengubah apa-apa pun untuk pesakit. Daripada hal ini, maka muncul pula pengamal bloodletting ini kerana ada yang tidak bersetuju dengan keputusan kajian yang dilaksanakan.

Hal ini kemudiannya menjadi hilang kawalan kerana pihak pengamal bloodletting ini mula merawat pesakit yang mengalami pendarahan hidung, pendarahan akibat haid yang berlebihan dan juga pendarahan daripada luka. Mereka menganggap sekiranya banyak darah yang dibuang melalui bloodletting, maka, pendarahan tersebut akan berhenti dan berkurang.

Teori tersebut pada awalnya bolehlah kita katakan agak relevan, namun, apa yang mereka tidak tahu adalah sekiranya seseorang itu mengalami pendarahan, dan kita membuang lagi darah mereka, para pesakit mempunyai risiko yang amat tinggi untuk kekurangan darah di dalam badan mereka, dan akan menyebabkan keadaan yang kita panggil sebagai hypovolaemic shock.

Kesan Hypovolemic Shock – The Medical Dictionary

Hypovolaemic shock ini akan menyebabkan kegagalan pelbagai jenis organ, iaitu hati, buah pinggang dan yang paling terakhir dan berbahaya adalah kegagalan jantung. Hal ini adalah kerana rata-rata pengamal bloodletting ini tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai perubatan, dan prosedur juga dilakukan tanpa meletakkan alat-alat bagi memeriksa tekanan darah pesakit, kadar denyutan nadi pesakit dan lain-lain.

Untuk penyakit yang dirawat menerusi prosedur bloodletting pada zaman moden ini, terma yang kita gunakan adalah therapeutic phelobotomy. Hal ini seringkali dilakukan untuk 2 jenis penyakit iaitu polycythaemia dan haemochromatosis. Para doktor akan memasukkan jarum ke dalam saluran vena mereka untuk mengeluarkan darah. Prosedur ini dilakukan serentak dengan pemerhatian kepada nadi dan tekanan darah pesakit untuk mengelakkan daripada pengeluaran darah yang boleh membahayakan nyawa pesakit.

Untuk polycythaemia contohnya, penyakit ini adalah penyakit di mana kadar haemoglobin darah seseorang pesakit itu terlalu tinggi. Hal ini menyebabkan darah mereka terlalu pekat dan likat. Daripada situ, pesakit berisiko untuk terkena serangan jantung atau angin ahmar akibat darah yang pekat ini membeku.

Bagi pesakit haemochromatosis pula, penyakit ini adalah disebabkan oleh bahagian hati kita tidak mampu untuk memproses zat besi. Disebabkan oleh badan kita ini tidak mempunyai cara yang semulajadi untuk membuang zat besi yang terlalu tinggi di dalam darah, maka, satu-satunya cara adalah dengan mengeluarkan darah mereka, dan secara tidak langsung menyebabkan zat besi juga keluar.

Carta Infografik daripada AHA menunjukkan kadar serangan jantung untuk lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita – American Heart Association

Sekarang kita lihat pula statistik mengenai penyakit jantung dan angin ahmar. Kajian dan statistik yang dikeluarkan oleh American Heart Association (AHA) mendapati bahawa untuk kes akibat angin ahmar dan sakit jantung, jantina lelaki lebih tinggi jumlahnya berbanding dengan perempuan. Akan tetapi, statistik ini juga menunjukkan bahawa perbezaan daripada segi jantina ini menjadi hampir sama iaitu peningkatan kes serangan jantung kepada wanita meningkat dengan tinggi pada perbandingan di antara lelaki dengan perempuan yang telahpun mengalami menopause.

Jadi, para doktor mula melihat semula, mengapakah setelah wanita menopause, risiko untuk mereka mendapat serangan jantung dan angin ahmar menjadi sama? Apakah yang berlaku sebenarnya dan apakah perkara yang melindungi kaum wanita sebelum mereka mengalami menopause? Terdapat dua jawapan untuk persoalan ini.

Yang pertama adalah disebabkan oleh hormon tinggi yang berada di dalam tubuh badan wanita yang belum mencapai menopause. Hormon yang diperkatakan ini adalah hormon estrogen. Mengikut satu kajian yang dijalankan oleh University of Cincinnati Medical Center dalam jurnal bertajuk “Mechanism of Cardioprotection by Estrogen“, mereka mengesahkan bahawa sememangnya hormon estrogen ini mempunyai kesan perlindungan kepada jantung.

Tangkap layar mengenai kesan pelindungan jantung oleh hormon estrogen – Pubmed

Sebab yang kedua adalah kitaran haid itu sendiri. Wanita yang belum menopause mengalami kitaran haid setiap bulan, dan lelaki pula tidak. Untuk setiap bulan, kaum wanita akan kehilangan darah semasa haid. Kehilangan darah pada kekerapan sebegini sebenarnya mempunyai satu kesan yang signifikan terhadap risiko mereka untuk mendapat serangan jantung mahupun angin ahmar.

Kitaran haid ini ibarat konsep bloodletting di mana bukan sahaja darah yang akan keluar semasa haid, malah, segala zat besi juga keluar. Mengikut kepada dua journal yang terkemuka, iaitu AHA dan British Medical Journal (BMJ), mereka mendapati terdapat perkaitan yang signifikan diantara kandungan zat besi dalam darah dengan risiko seseorang itu untuk menghidapi angin ahmar.

Lelaki tidak mempunyai kitaran haid dan tiada cara untuk mereka membuang zat besi secara semulajadi. Jadi, pada zaman dahulu, rata-rata lelaki ini akan melakukan prosedur bloodletting ini. Namun, teknologi sains perubatan semakin berkembang dengan pesat dan membolehkan seseorang itu sama ada ingin melakukan bloodletting di mana darah mereka dibuang begitu sahaja ataupun pilihan yang kedua, iaitu pendermaan darah.

Sebenarnya, semasa kajian ini dikeluarkan, iaitu khususnya mengenai perkaitan zat besi dan pendermaan darah sahaja (tidak berkaitan dengan venous/capillary stasis), rata-rata pengamal bloodletting ini mula mengeluarkan satu kenyataan bahawa darah yang keluar melalui torehan ataupun melalui prosedur phlebotomi (jarum dan picagari ni) adalah merupakan darah kotor yang tidak sesuai untuk didermakan kepada orang lain.

Walaubagaimanapun, beberapa kajian klinikal gagal membuktikan bahawa darah yang keluar daripada prosedur bloodletting ini tidak mempunyai apa-apa perbezaan dengan darah yang terletak di dalam badan seseorang itu. Jika kita fikirkan secara logik akal pun, jika seseorang itu terluka akibat terkena torehan pisau, darah yang keluar itu hanyalah darah kita yang berada di dalam salur darah dan kapilari kita, bukannya darah kotor atau apa-apa pun yang dinyatakan oleh pengamal bloodletting daripada seluruh dunia termasuk yang berada di Amerika Syarikat dan Eropah.

Mana mungkin badan kita mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan darah yang kotor sahaja melalui luka torehan tersebut. Setakat ini, tiada satu pun kajian yang menunjukkan terdapat perbezaan diantara darah yang keluar menerusi prosedur bloodletting itu berbeza dengan darah yang berada di dalam badan seseorang itu. Perbezaan yang ada hanyalah daripada segi pembekuan memandangkan terdapat sel yang rosak (damaged surface) dan darah yang terdedah kepada persekitaran sekeliling kerana berada di luar badan seseorang dan terdedah kepada udara akan mengaktifkan sistem pembekuan (coagulation cascade).

Coagulation Cascade yang diaktifkan apabila torehan pisau menyebabkan sel rosak – Researchgate

Daripada segi jumlah zat besi, kandungan inflammatory marker, hemoglobin, sel darah putih dan lain-lain adalah sama dengan yang berada di dalam badan kita. Akan tetapi, satu lagi persoalan muncul. Mengapakah darah yang keluar melalui prosedur bloodletting ini membeku dan darah yang keluar melalui pendermaan darah ini tidak beku?

Baik, seperti yang tertulis di atas, darah yang keluar daripada prosedur bloodletting ini, seperti torehan akan menyebabkannya terdedah kepada udara dan kulit seseorang pesakit, Akan tetapi, bukankah terdapat satu prosedur bloodletting yang menggunakan vakum? Tiada udara langsung di dalam vakum tersebut bukan?

Ya, darah ini masih lagi terkena pada kulit pesakit serta tersentuh kepada bahagian dalam struktur plastik yang digunakan. Hal ini akan mengaktifkan juga coagulation cascade, cuma pengaktifannya itu tidak serta-merta. Walaupun selepas coagulation cascade diaktifkan, masa yang diambil untuk darah terebut membeku sepenuhnya adalah diantara 8 hingga 15 minit.

Jenis bahan yang digunakan dalam beg darah – Sowmya Srinivas at Slideshare

Justeru, daripada sinilah terdapat perbezaan diantara bloodletting dan pendermaan darah. Untuk pendermaan darah, darah kita akan mengalir menerusi tiub dan terus ke dalam beg darah. Beg darah tersebut tidaklah kosong semata-mata, tetapi sebaliknya, beg tersebut diisi dengan satu bahan bagi mengelakkannya membeku dengan cara menyahaktifkan kembali coagulation cascade yang berlaku.

Sudah tentulah bekas yang digunakan untuk prosedur bloodletting ini tidak diletakkan dengan apa-apa bahan kimia memandangkan selepas prosedur tersebut dilakukan, darah tersebut akan dilupuskan dan bukannya akan diberikan kepada mana-mana pesakit yang memerlukannya.

Di Amerika Syarikat sebelum ini, para pengamal bloodletting ini tidak mempunyai apa-apa asas dalam bidang sains perubatan. Kebanyakkan daripada pengamal perubatan komplimetari ini sebenarnya perlu mengikuti kursus yang dilakukan tidak sampai seminggu. Di Malaysia ini pula, terdapat pengamal bloodletting yang sanggup melakukan penipuan dengan pemalsuan sijil diploma daripada universiti-universiti terkemukan di Malaysia kononnya terdapat jurusan berkaitan dengan apa yang mereka niagakan.

Maka, tanpa pengetahuan asas dalam perubatan, terdapat beberapa risiko yang mungkin akan berlaku, seperti mengeluarkan darah seseorang yang mengalami anaemia, iaitu kekurangan darah. Mengeluarkan darah untuk pesakit seperti ini meninggikan potensi untuk mereka mendapati kegagalan jantung atau anaemia-induced heart failure. Bukan itu sahaja, kekurangan jumlah darah dalam badan juga mendedahkan pesakit kepada hypovolaemic shock dan yang terakhir, sekiranya konsep steriliti tidak diambil serius untuk pesakit sebegini, terdapat peluang yang tinggi untuk mereka mendapat jangkitan kuman daripada tempat yang ditoreh menggunakan pisau itu.

Walaupun telah diberitahu bahawa therapeutic bloodletting ini hanya sesuai digunakan untuk penyakit polycythaemia dan haemochromatosis sahaja, masih ada yang berdegil untuk mendapatkan rawatan daripada penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain. Akhirnya, segala tujuan untuk bloodletting ini perlu kita ketahui bahawa prosedur ini selalunya bersifat mencegah, dan bukannya untuk merawat (kecuali pada 2 jenis penyakit yang disebutkan di atas).

Prosedur pendermaan darah sebenarnya melibatkan staf daripada tabung darah hospital mereka yang telah dilatih untuk melakukan prosedur dan screening untuk mana-mana penderma bagi mengelakkan komplikasi yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa seseorang pesakit. Juga, pada kebiasaannya, pendermaan darah ini akan ditemani oleh sekurang-kurangnya seorang pegawai perubatan yang bertauliah untuk mengambil apa-apa tindakan sekiranya penderma darah tersebut mengalami apa-apa komplikasi daripada pendermaan darah.

Antara screening yang dilakukan termasuklah pengambilan tekanan darah, pemeriksaan fizikal, ujian darah bagi menentukan tahap hemoglobin anda serta screening bagi penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis. Untuk mana-mana individu yang tidak sesuai untuk menderma darah akibat anda mempunyai penyakit berjangkit ataupun penyakit kronik, mungkin anda boleh periksa terlebih dahulu kandungan haemoglobin anda dan juga tekanan darah anda sebelum anda membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan dalam bentuk bloodletting.

Tangkap layar kajian yang dilakukan mengenai kesan yang baik kepada para penderma darah – NCBI

Kajian demi kajian dilakukan membuktikan bahawa penderma darah ini mempunyai kadar penurunan risiko serangan jantung dan angin ahmar berbanding dengan mereka yang tidak pernah menderma darah. Jadi, boleh saya katakan perbuatan menderma darah ini sebenarnya bersifat serampang dua mata kerana ianya menurunkan risiko seseorang untuk mendapat beberapa jenis penyakit dan pada masa yang sama, mampu membantu mana-mana insan yang memerlukan darah kesan daripada kemalangan mahupun penyakit yang mereka alami.

Untuk pengamal bloodletting pula, ada baiknya sekiranya terdapat screening yang anda boleh lakukan kepada pesakit anda serta membuat satu standard mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh pengamal yang diseragamkan untuk kesemua tempat yang melakukan prosedur ini. Hal ini adalah kerana pesakit perlu membayar untuk mereka menjalani prosedur ini.

Rujukan

  1. American Heart Association on Stroke and CVD – https://www.ahajournals.org/doi/10.1161/CIRCULATIONAHA.110.968792
  2. Cardioprotection by Estrogen https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/9421203
  3. AHA Journal on Sex Difference in Stroke Epidemiology https://www.ahajournals.org/doi/pdf/10.1161/strokeaha
  4. Healthy Donor Effect https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5648214/
  5. Kesan pendermaan darah kepada penderma https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/27089416

Kredit Foto : shutterstock

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.