TechSemut Malaysia

Penemuan Kajian Doktor Falsafah Rakyat Malaysia Mendapat Liputan Meluas Media Sweden

Penemuan Kajian Doktor Falsafah Rakyat Malaysia Mendapat Liputan Meluas Media Sweden

Penemuan Kajian Doktor Falsafah Rakyat Malaysia Mendapat Liputan Meluas Media Sweden
Oktober 25
03:00 2017

Mungkin ramai yang sudah membaca satu laporan akhbar tempatan berbahasa Inggeris tentang kejayaan Noor Lyana Yusoff yang mendapatan liputan meluas di akhbar Sweden tentang kejayaan kajian peringkat PhD beliau di sana.

MajalahSains mengambil kesempatan menemubual beliau untuk mengetahui lebih lanjut tentang kajian tersebut.

*************

Boleh berkongsi dengan kami latarbelakang dan pendidikan peringkat awal Dr. Liyana?

Nama saya Noor Liyana Yusof. Saya merupakan anak keempat dari 5 adik-beradik kepada pasangan guru bahasa Inggeris dan juruteknik yang menetap di Kuala Terengganu. Saya mendapat pendidikan awal di sekolah harian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kuala Pilah. Seterusnya menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Sains dan Teknologi Makanan di Universiti Putra Malaysia kerana berpendapat kursus ini mempunyai skop yang sangat luas dan unik.

Saya pasti ramai yang sukakan makanan, dengan itu makanan juga boleh dilihat sebagai sesuatu yang menyatukan masyarakat. Kursus ini merupakan pilihan pertama saya. Selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda, saya ditawarkan bekerja sebagai Pegawai Teknologi Makanan (kontrak) di bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di Jabatan Kesihatan Negeri (Terengganu). Selepas sembilan bulan, dekan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) waktu itu, Prof Dato’ Dr Yazid Manap telah menawarkan jawatan sebagai Tutor di Jabatan Teknologi Makanan, FSTM, UPM pada akhir tahun 2009.

Daripada situ, bermulalah episod kehidupan saya di luar negara.

Saya diberikan masa selama satu tahun untuk mencari tempat dan biasiswa bagi pengajian pascasiswazah saya. Saya telah ditawarkan program European Master Degree of Food Study (EMDFS), sebuah program Master yang unik kerana program ini melibatkan empat buah universiti yang terkemuka dunia dalam bidang teknologi makanan. Empat universiti terlibat adalah Wageningen University (The Netherlands), University College Cork (Ireland), Agro Paris Tech (France) dan Lund University (Sweden).

Tahun pertama dihabiskan dengan menyelesaikan kursus-kursus yang telah ditetapkan di empat buah negara ini dengan berpindah universiti pada setiap 2.5 bulan. Tahun kedua pula tertumpu kepada penyelidikan untuk menyempurnakan tesis di Unilever, syarikat pemakanan antarabangsa berprestij yang menjadi penaja bagi program ini. Saya berpeluang untuk menjalankan penyelidikan berkaitan pemanjangan jangka hayat makanan di makmal penyelidikan makanan Unilever di Vlaardingen, The Netherlands dan berganding dengan Wageningen University. Saya mendapat biasiswa Tabung Amanah daripada Universiti Putra Malaysia untuk pengajian peringkat master ini pada usia 23 tahun, dan menamatkan pengajian pada dua tahun berikutnya (2010-2012).

Tamat pengajian Master, saya pulang melapor diri di UPM kembali.


Sumber-Youtube LundUniversity

Apakah keunikan pada Lund University, Sweden, dan apa inspirasi Dr. Liyana untuk menyambung pengajian PhD di sini?

Terdapat beberapa faktor di dalam pemilihan universiti sebelum saya memulakan pengajian PhD. Pertama sekali, saya mencari tempat belajar yang lari daripada pilihan lazim, namun menyediakan infrastruktur penyelidikan diiktiraf dunia. ‘Lain daripada pilihan lazim’ di sini bermaksud, tempat-tempat yang jarang diketengahkan di dalam budaya Malaysia. Negara-negara Skandinavia terkenal dengan indeks kesihatan dan mempunyai kualiti hidup yang tinggi. Tentunya peluang pelajaran yang ditawarkan juga setanding dengan taraf hidup tersebut. Sweden salah sebuah negara paling aman, paling bersih dan paling bahagia untuk didiami, menjadikan saya lebih teruja untuk mendapat pengalaman tersebut.

Pada hemat saya, peluang mengenali budaya orang hanya datang sekali. Saya manfaatkan peluang ini dengan berasimiliasi bersama warga tempatan di Sweden. Menjadi tradisi bagi pelajar yang menuntut di luar negara untuk berada pada zon selesa dan hanya berkawan dengan warga Malaysia sahaja, tapi tidak bagi saya.

Lund University berada pada ranking 77 terbaik dunia, dan ini menguatkan justifikasi untuk saya menyambung pengajian di sini, ditambah pula dengan tidak ramai pensyarah di Malaysia lepasan universiti negara Skandinavia ini. Untuk bidang teknologi makanan, Lund University kekal sebagai universiti terulung dalam bidang ini.

Faktor kedua, Lund University pernah saya lawati sewaktu pengajian MSc dahulu dan suasana pembelajaran dan cara kehidupan di sini sangat menarik hati untuk saya bulatkan tekad menyambung pengajian di sini. Bermula daripada email pertama kepada penyelia Ph.D. saya, Assoc. Prof. Dr Federico Gómez Galindo, proses permohonan saya berjalan begitu lancar. Daripada maklumbalas email, naluri saya mengatakan beliau seorang yang sangat berdedikasi, cekap dan berhemah. Tempoh enam bulan diambil untuk saya membuat persiapan sebelum terbang semula ke Sweden bagi ijazah kedoktoran. Persiapan termasuk mendapat kelulusan biasiswa dari Kementerian Pengajian Tinggi, seterusnya ke Singapura bagi permohonan visa (dikenali sebagai Swedish residence permit) dan beberapa persiapan lain. Pada umur 26 tahun, saya memulakan pengajian dan selepas berhempas pulas, akhirnya saya berjaya mengenggam segulung ijazah PhD pada September, 2017 baru-baru ini. Syukur. Alhamdulillah.


MajalahSains dimaklumkan bahawa Dr Liyana baru-baru ini mendapat liputan meluas akhbar di Sweden. Boleh ceritakan lebih lanjut mengenai liputan tersebut dan apakah kaitannya dengan penyelidikan PhD?

Tesis PhD saya bertajuk Vacuum Impregnation of Spinach Tissue: Metabolic Consequences and their Potential Industrial Applications. Tesis ini tertumpu kepada impregnasi tisu tumbuhan/sayuran/buah dengan pelbagai bahan lain untuk meningkatkan kualiti makanan. Penyelidikan mengenai penambahbaikan kualiti makanan secara luaran, contoh tekstur dan struktur telah dilakukan secara meluas sepanjang 20 tahun yang lalu. Walaubagaimanapun, kesan daripada impregnasi ini terhadap metabolik tumbuhan itu sendiri tidak dapat difahami dengan baik. Pemahaman mengenai bahan manakah yang dapat meningkatkan aktiviti metabolik di dalam tisu tumbuhan adalah sangat penting kerana jangka hayat produk makanan bergantung kepada faktor ini. Kesan metabolik yang berlaku di dalam sayur bayam selepas impregnasi dengan bahan-bahan yang biasa digunakan di dalam industri makanan menjadi subjek utama bagi tesis saya.

Tujuan penyelidikan PhD saya ialah untuk mengurangkan kandungan nitrat di dalam sayur bayam dan hasil kajian telah mendapat liputan meluas di Sweden baru-baru ini kerana impaknya terhadap industri makanan. Kajian ini tertumpu kepada nitrat yang terkandung di dalam daun bayam yang boleh memudaratkan kesihatan manusia, terutamanya bagi bayi. Nitrat berlebihan dalam badan boleh menyebabkan kekurangan bekalan oksigen kepada manusia. Keputusan dari kajian ini menunjukkan bahawa kandungan nitrat telah berjaya dikurangkan sebanyak 70% hasil daripada penggunaan sukros dalam proses impregnasi vakum (Vacuum Impregnation; VI). Hasil kajian menunjukkan bahawa sukros telah digunakan sebagai substrat untuk kedua-dua aktiviti iaitu metabolisme nitrat dan respirasi ketika bayam disimpan di dalam keadaan sejuk. Justeru, impregnasi daun bayam dengan bahan yang mudah didapati seperti sukros, boleh digunakan dalam industri makanan bagi meningkatkan kualiti makanan, khusunya sayur-sayuran yang mengandungi nitrat yang tinggi.


Apakah pencapaian yang paling membanggakan sepanjang kerjaya sebagai pensyarah dan penyelidik?

Semestinya saya amat gembira apabila hasil kajian saya mendapat liputan meluas media di Sweden, termasuklah Lund University, Sweden dan beberapa media antarabangsa. Berikut merupakan beberapa pautan artikel dan video penuh mengenai penyelidikan saya.

  1. Artikel penuh di dalam akhbar tempatan, dikenali Sydsvenkan, dengan artikel bertajuk “Alla barn kan äta spenat-när forskaren tagit bort nitrat”
  2. Liputan media oleh Lund University: http://news.cision.com/se/lunds-universitet/r/spenat-utan-nitrat,c2357579
  3. Watch news and press release: New method reduces nitrate content in spinach at http://www.lunduniversity.lu.se/article/watch-new-method-reduces-nitrate-content-in-spinach
Sumber-facebook/Noor Liyana Yusoff

Pencapaian signifikan sebagai pensyarah kanan di UPM masih belum bermula oleh kerana saya baru sahaja melaporkan diri pada 10hb Oktober 2017 baru-baru ini. Saya berharap agar dapat meneruskan kecemerlangan di dalam kerjaya saya sebagai penyelidik pada masa terdekat.


Boleh berkongsi dengan pembaca mengenai budaya penyelidikan di Sweden?

Saya amat beruntung oleh kerana mempunyai seorang penyelia yang cekap dan berdedikasi dalam penyelidikan beliau. Rakan-rakan di makmal sangat baik dan tidak lokek dengan ilmu, manakala kakitangan makmal sangat cekap dalam melancarkan kerja penyelidikan di dalam suasana kerja yang fleksibel dan bebas tekanan.

Satu tradisi yang tidak boleh saya dilupakan adalah “fika” (coffee break) setiap jam 10 pagi dan 3 petang. Di sini, kami pelajar PhD dan pensyarah akan berkongsi segala perkara, dan ianya tidak terhad kepada penyelidikan semata-mata, seperti berkongsi mengenai perjalanan kehidupan masing-masing.

Prinsip yang saya amalkan sewaktu pengajian PhD ialah ‘jangan terlalu sibuk; jadilah lebih produktif’ (don’t be busy, be productive). Bekerja sepanjang hari tidak menjadikan output kita lebih banyak. Produktiviti kita bergantung kepada bagaimana kita menggunakan masa yang ada semaksima mungkin.

Kami juga mengamalkan budaya berbincang bersama penyelia sekurang-kurangnya seminggu sekali. Perbincangan digunakan untuk mengemaskini perkembangan terkini penyelidikan, hasil ujikaji makmal yang diperolehi dan diikuti oleh perbincangan lebih kritikal berkaitan ujikaji makmal. Perbincangan biasanya tidak mengambil waktu yang lama, cukup sekadar 20 minit dan kemudian saya akan meneruskan aktiviti di makmal.

Setiap hari saya akan bertemu penyelia untuk fika, dan beliau akan mengetuk pintu bilik saya untuk menjemput minum kopi bersama. Rutin harian ini merupakan detik yang sangat saya hargai sepanjang saya di sana.


Bagaimana penyelidikan Dr. Liyana boleh dimanfaatkan di Malaysia?

Sudah semestinya penyelidikan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin di Malaysia. Bagi saya, hasil penyelidikan harus kembali kepada masyarakat umum dan diaplikasikan sepenuhnya oleh industri makanan demi menghasilkan makanan yang terjamin dari segi kualitinya. Ilmu yang diperolehi lebih bermanfaat jika dikongsi bersama.

Akhir sekali, kami dari MajalahSains ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr. Liyana dalam memulakan penyelidikan di UPM. Semoga pencapaian yang membanggakan ini diteruskan pada masa akan datang!

Related Articles

0 Comments

No Comments Yet!

There are no comments at the moment, do you want to add one?

Write a comment

Write a Comment

Your email address will not be published.
Required fields are marked *

CAPTCHA

*

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com