Oleh: Ts. Dr. Eddie Tan Ti Tjih,
Universiti Teknologi MARA

Tinakumari Santhrakumaru
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)

Pengenalan

Sarang burung walit hanya mengandungi protein yang tinggi, oleh itu, bukankah lebih baik sekiranya kita makan telur ayam daripada sarang burung walit yang begitu mahal? Ini adalah salah satu stigma sebahagian masyarakat terhadap sarang burung walit. Sememangnya sarang burung walit merupakan makanan tambahan yang tidak murah harganya, tetapi khasiat sarang burung walit adalah unik dan sama sekali berbeza daripada telur.

Sepertimana yang sedia maklum, sarang burung walit yang boleh dimakan kebiasaanya diperolehi daripada spesies burung walit Aerodramus fuciphagus dan Aerodramus maximus. Burung walit ini membuat sarang dengan menggunakan air liurnya sendiri. Sarang burung walit amat terkenal di kalangan masyarakat Cina di serata dunia. Walaupun permintaan sarang burung walit yang paling besar adalah negara China, tetapi penghasilan sarang burung walit sebenarnya hanya boleh didapati di rantau Asia Tenggara sahaja.

Dengan penuh kesyukuran, Malaysia adalah negara pengeksport sarang burung walit kedua terbesar selepas Indonesia. Namun demikian, permintaan dan penerimaan sarang burung walit di kalangan masyarakat tempatan masih tidak begitu meluas. Malah, kuantiti eksport yang tinggi seakan-akan menyerahkan rahmat dan nikmat semulajadi ini kepada warga asing. Hal ini berlaku berkemungkinan besar disebabkan oleh ramai warga tempatan tidak jelas akan khasiat yang terkandung di dalam sarang burung walit. Oleh itu, tibalah masanya kita mengambil maklum khasiat dan zat yang terkandung di dalam sarang burung walit yang boleh dimakan supaya kita lebih menghargai warisan semulajadi yang berharga di bumi yang bertuah ini.

Khasiat Sarang Burung Walit Daripada Sudut Perubatan Tradisional

Penggunaan sarang burung walit dalam Perubatan Tradisional Cina (PTC) bukanlah sesuatu yang asing di kalangan masyarakat Cina. Rekod dan catatan PTC menunjukkan bahawa sarang burung walit kebiasaanya digunakan untuk mengubati batuk dan menguatkan fungsi peparu.  Masyarakat Cina juga mengamalkan pemakanan sup sarang burung walit untuk meningkatkan kesihatan tubuh badan dan kecekapan organ dalaman manusia. Selain itu, sarang burung walit kerap dijadikan sebagai buah tangan dan dihadiahkan kepada ibu yang sedang mengandung atau menyusukan anak. Hal ini demikian kerana kandungan sarang burung walit dipercayai boleh membantu meningkatkan tahap intelektual bayi. Di samping itu, wanita yang ingin kelihatan muda dan juga warga emas yang mementingkan penjagaan kesihatan turut kerap menjadikan sarang burung walit sebagai makanan tambahan mereka. Walaupun pelbagai testimoni berkaitan dengan keberkesanan sarang burung walit telah dikongsikan, namun demikian, disebabkan tiada kajian saintifik yang mendalam dan sistematik, kesahihan tuntutan kesihatan tersebut senantiasa dipersoalkan.

Khasiat Sarang Burung Walit Daripada Pelaporan Saintifik (1970 – 2009)

Oleh hal yang demikian, para saintis mula membuat kajian terhadap kandungan nutrisi dan kesan terapeutik sarang burung walit. Pencarian dalam pangkalan data Web of Science (WOS) mendapati 29 rekod kajian santifik berkenaan dengan sarang burung walit dari tahun 1970 sehingga 2009. Kajian menunjukkan sarang burung walit bukan sahaja mempunyai mineral (sodium, magnesium, kalium dan kalsium) yang penting, malah mengandungi glikoprotein yang tinggi. Di dalam glikoprotein terdapat sejenis asid yang istimewa, iaitu asid sialik. Otak manusia merupakan bahagian tubuh yang mempunyai kandungan asid sialik yang paling tinggi. Asid yang istimewa ini memainkan peranan yang penting dalam proses fisiologi dan patologi tubuh manusia, lebih-lebih lagi, kandungan asid sialik dalam otak ini memainkan peranan penting dalam penghantaran impuls saraf dalam otak. Selain daripada itu, sarang burung walit juga memiliki peranan sebagai antioksida, antivirus influenza, faktor pertumbuhan epidermis dan penggalak pembahagian sel. Walaupun penemuan saintifik sarang burung walit adalah mengujakan, namun demikian, bilangan kajian pada peringkat awal ini adalah terhad disebabkan tidak ramai penyelidik yang melibatkan diri dalam kajian sarang burung walit. Oleh itu, gambaran tentang khasiat sarang burung walit masih terbatas dalam tempoh awal penerokaan khasiat sarang burung walit.

Khasiat Sarang Burung Walit Daripada Pelaporan Saintifik Terkini (2010 – 2021)

Pada tahun 2011, berlakunya insiden sekatan eksport sarang burung walit ke Negara China disebabkan oleh kandungan nitrit yang terlalu tinggi. Bahan kimia yang tinggi ini adalah hasilan daripada proses pewarnaan sarang burung walit yang terlarang, tambahan pula, pengambilan nitrit dalam kuantiti yang tinggi akan memudaratkan kesihatan. Pada waktu yang sama, Kerajaan Malaysia telah menggariskan Dasar Agromakanan Negara (2011 – 2020) dan kerajaan telah mengenal pasti 15 industri agrikultur dan makanan yang akan dibangunkan. Salah satu industri yang dikenal pasti adalah industri sarang burung walit. Insiden sekatan eksport dan Dasar Agromakanan Negara telah menarik minat lebih ramai penyelidik, terutamnya penyelidik dari Malaysia dan Negara China menjurus ke arah penyelidikan sarang burung walit yang lebih meyakinkan. Dalam jangka masa 2010 sehingga 2020, sebanyak 129 pelaporan kajian sarang burung telah dilaporkan di dalam pangkalan data WOS. Berdasarkan laporan yang terdapat di dalam pangkalan data, bilangan kajian sarang burung walit yang dilaporkan telah meningkat dari 1 laporan setahun pada tahun 2010 menjadi 23 laporan setahun pada tahun 2020. Dalam tempoh ini, dapat dilihat peningkatan kajian yang lebih menjurus ke arah kajian pra-klinikal, dengan erti kata lain, kajian yang meninjau mekanisma dan kesan sarang burung walit terhadap sel dan haiwan.

Secara amnya, laporan kajian sarang burung walit boleh diklasifikasikan kepada tiga fungsi utama. Yang pertama adalah membantu perkembangan otak, yang kedua adalah memberi kesan kepada keadaan kulit dan yang ketiga adalah meningkatkan tahap kesihatan peparu.

Beberapa dapatan kajian telah membuktikan sarang burung walit boleh menambahbaik fungsi dan prestasi kognitif otak. Kemampuan pembelajaran dan ingatan boleh diipertingkatkan dengan peningkatan potensi dalam hippocampus. Di samping itu, sarang burung walit boleh mengurangkan inflamasi saraf dan memberi perlindungan kepada sistem saraf. Yang paling menarik adalah kajian ke atas anak tikus yang dilahir dan disusukan oleh ibu tikus yang mengambil sarang burung walit menunjukkan prestasi yang lebih baik.

Dari segi penemuan potensi manfaat sarang burung walit terhadap kulit, hasil kajian telah menunjukkan sarang burung walit boleh mencegah penuaan. Pengambilan sarang burung walit boleh mengurangi inflamasi dan mempercepatkan penyembuhan luka. Ujikaji ke atas lalat buah turut menunjukkan pengambil sarang burung walit oleh lalat buah mempunyai kadar kelangsungan hidup yang lebih tinggi dan jangka hidup yang lebih panjang.

Sementara itu, sarang burung walit dilaporkan mempunyai keberkesanan dan kecekapan yang setanding dengan agen antiviral komersial bagi menghalang kitaran hidup virus influenza A. Selain itu, sarang burung walit turut boleh meningkat imunomodulator dengan menggalakkan pertumbuhan Sel B dan beberapa jenis antibodi seperti Imunoglobulin E, A, M dan G.

Laporan kajian terikini yang diterangkan di atas telah memberi pencerahan dan keyakinan yang lebih tinggi kepada ibu yang sedang menyusu, wanita yang ingin kelihatan muda dan warga tua yang mementingkan penjagaan kesihatan supaya terus mengamalkan pemakanan sarang burung walit sebagai makanan tambahan.

Selain daripada tiga khasiat utama yang diterangkan di atas, data kajian turut menunjukkan sarang burung walit juga boleh menambah baik metabolisma kolesterol, antitekanan darah tinggi, antidiabetik dan menambahbaik kesuburan.

Lebih-lebih lagi, kebelakangan ini, turut dapat diperhatikan beberapa percubaan kajian pertama dalam manusia (First-in-human) telah dijalankan untuk mengetahui kesan sarang burung walit ke atas subjek manusia. Lanjutan daripada itu, kajian klinikal terhadap sarang burung walit berkemungkinan besar akan menjadi trend penyelidikan dalam masa yang akan datang bagi merungkai tuntutan kesihatan sarang burung walit terhadap manusia.

Kesimpulan

Kesimpulannya, walaupun masih terlalu awal bagi kita membuat tuntutan klinikal sarang burung walit pada peringkat ini, namun demikian, jika dilihat dari sudut lain, tuntutan khasiat dan kesihatan sarang burung walit bukan sahaja telah dilaporkan dalam catatan Perubatan Tradisional Cina sejak beberapa ratus tahun dahulu, malahan, tuntutan tersebut kini terbukti dan disokong oleh dapatan kajian saintifik yang semakin meningkat melalui kajian yang dijalankan ke atas kultur sel dan haiwan. Dengan itu, boleh dikatakan fungsi kesihatan sarang burung walit adalah jauh berbeza daripada telur dan wajarlah kita lebih menghargai kurniaan dari yang Maha Esa ini.

Kredit foto-realfood.co.id

Penulis:

Ts. Dr. Eddie Tan Ti Tjih
Pensyarah Kanan
Alliance of Research and Innovation for Food (ARIF)
Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan
Kampus Kuala Pilah
72000 Kuala Pilah
Negeri Sembilan

Tinakumari Santhrakumaru
Penolong Pengarah
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)
Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.