Penerima Anugerah 2020 Breakthrough Prize in Mathematics

Oleh: Lukhman Abdul Taib
Calon PhD dalam bidang Sains Perkomputeran & Teoritikal,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Ahli matematik Amerika, Alex Eskin dinobatkan sebagai penerima 2020 Breakthrough Prize in Mathematics, sementara Tim Austin, Emmy Murphy dan Xinwen Zhu menerima Hadiah Horizon Baru di dalam Matematik (New Horizons in Mathematics Prize).

Yayasan Breakthrough Prize in Mathematics yang bertanggungjawab di dalam pemilihan pemenang itu berkata, mereka mengiktiraf Eksin, profesor di Universiti Chicago, di atas penemuan-penemuan yang revolusioner berkenaan geometri dan dinamik ruang moduli pembeza Abelian, termasuk pembuktian “teorem tongkat sakti” (magic wand theorem) yang diusahakan bersama dengan Maryam Mirzakhani.

Dari kiri: Alex Eskin, Tim Austin, Xinwen Zhu dan Emmy Murphy. Kredit: laman sesawang Breakthrough Prize

Tim Austin, profesor di Universiti California, Los Angeles, dinamakan sebagai salah seorang penerima Hadiah Horizon Baru di atas sumbangan-sumbangannya kepada teori ergodik, terutamanya penyelesaian kepada konjektur lemah Pinsker. Xinwen Zhu, profesor di California Institute of Techonology (Caltech), pula diiktiraf di atas hasil kerjanya di dalam bidang geometri aritmetik beralgebra termasuk aplikasi teori keragaman Shimura dan masalah Riemann-Hilbert bagi keragaman p-adic. Sementara itu, Emmy Murphy, profesor madya di Universiti Northwestern, diberi penghargaan di atas sumbangannya kepada geometri sentuh dan simplektik, khususnya pengenalan kepada anggapan manifold longgar Legendrean dan struktur sentuh berlebih piuh yang ditemui bersama Matthew Strom Borman dan Yakov Eliashberg.


Sumber-Youtube

Yayasan Hadiah Penemuan Ulung bersama dengan penaja penaung, Sergey Brin, Priscilla Chan dan Mark Zuckerberg, Ma Huateng, Yuri dan Julia Milner, serta Anne Wojcicki, telah memperuntukkan sejumlah USD 21.6 juta untuk Hadiah Penemuan Ulung dan Hadiah Horizon baru bagi tahun 2020 untuk kesemua bidang, iaitu sains hayat, matematik, dan fizik asas. Para penerima Hadiah Penerima Ulung menerima wang sejumlah USD 3 juta bagi setiap hadiah, sementara penerima Hadiah Horizon Baru memperoleh hadiah wang sejumlah USD 100 ribu.

Pengasas Hadiah menyatakan tujuan anugerah ini diadakan ialah untuk mengangkat para saintis dilihat sebagai selebriti di kaca mata awam sesudah 50 tahun. Mereka berharap agar anugerah ini dapat membuat lebih ramai pelajar muda bercita-cita untuk menjadi saintis.

Majlis anugerah Hadiah Penemuan Ulung untuk tahun 2020 telah diadakan pada 3 November yang lalu. Bertempat di Pusat Penyelidikan NASA Ames di Mountain View, California, majlis tersebut disiar secara langsung oleh saluran National Geographic bertemakan “Seeing the Invisible” .


Sumber:

https://breakthroughprize.org/News/54

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.