Pengajaran Penting Kes Pencemaran Sisa Toksik: Pemerkasaan Peranan Media & Komunikasi

Dalam tahun 2019, Malaysia digemparkan dengan masalah pencemaran sisa toksik dalam Sungai Kim Kim yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan operasi sekolah, universiti dan sekolah di sekitar berkenaan menjadi tergendala dan lumpuh. Malah, lebih teruk lagi, warga penduduk sekitar khususnya kanak-kanak dan warga emas berdepan dengan risiko pendedahan sisa toksik yang membahayakan kesihatan dan nyawa.

Dalam media arus perdana, pelbagai kes yang melibatkan mangsa pencemaran sisa toksik khususnya dalam kalangan pelajar sekolah berdekatan kawasan berkenaan telah dilaporkan dan ianya sememangnya amat membimbangkan masyarakat pada ketika tersebut.

Label Bahan Kimia Berbahaya

Tidak kurang juga dengan komen-komen yang dibuat oleh netizen dalam laman media sosial yang menzahirkan rasa simpati dan prihatin terhadap mangsa. Ada juga dalam kalangan netizen yang menggesa tindakan undang-undang yang tegas yang perlu diambil segera oleh pihak berkuasa ke atas pesalah yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri.

Walaupun isu ini telah berlalu namun terdapat pengajaran penting yang dapat kita ambil iaitu tentang peri penting peranan ‘komunikasi’ khususnya dalam kalangan media dalam memberikan maklumat terkini dan berguna kepada masyarakat ketika waktu kecemasan seperti pencemaran toksik sebegini.

Media tradisional seperti akhbar, televisyen dan radio misalnya menjadi alat komunikasi penting dalam melaporkan tentang jumlah peningkatan dalam mangsa, punca dan lokasi sebenar kejadian, keperluan sumbangan seperti penutup hidung, mulut R95, simptom-simptom terkena pencemaran bahan kimia dan pelbagai perkara penting lainnya.

Tidak boleh dinafikan, semua maklumat ini amat penting untuk diketahui oleh masyarakat. Malah, semua maklumat ini juga menjadi alat yang penting dalam mendidik dan memberikan kesedaran kepada masyarakat umum akan bahaya pencemaran sisa toksik ke atas kesihatan manusia yang mungkin kurang diketahui sebelum ini. Tambahan pula, isu pencemaran toksik sebegini jarang berlaku di negara ini yang menyebabkan lebih banyak maklumat diperlukan oleh masyarakat umum bagi membolehkan mereka bertindak.

Lebih dari sekadar maklumat, pelaporan media tentang pencemaran sisa bahan kimia sebegini juga sebenarnya menjadi alat ‘semak dan imbang’ untuk pihak kerajaan dan pihak yang terlibat agar segera mengambil tindakan segera yang sewajarnya.

Media tradisional seperti akhbar, televisyen dan radio juga merupakan platform penting untuk masyarakat khususnya golongan pakar dalam menyampaikan pandangan dan cadangan mereka terhadap isu ini. Informasi-informasi dari pakar seperti pakar alam sekitar dan kesihatan adalah penting untuk dirujuk oleh media dan masyarakat. Tanpa platform sebegini, sukar untuk golongan pakar menyuarakan pandangan mereka.

Walau bagaimanapun, media yang terikat dengan nilai komersial juga harus sentiasa meneliti ketepatan maklumat yang disiarkan dan bukannya hanya memfokuskan perkara-perkara sensasi semata-mata.

Media Sosial

Harus diketahui, tidak hanya melalui media tradisional, media sosial seperti Facebook dan Twitter juga merupakan platform penting bagi masyarakat khususnya mereka yang tidak berada dekat dengan kawasan berkenaan untuk mendapatkan maklumat terkini tentang kes pencemaran toksik ini.

Dapat dilihat bahawa ada dalam kalangan netizen khususnya mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan berkaitan pengajian kimia misalnya telah tampil untuk menerangkan kepada masyarakat melalui laman sosial peribadi mereka tentang proses, kesan dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh masyarakat setempat terhadap pencemaran sisa toksik ini.

Nasihat Pakar

Sememangnya perkongsian individu-individu sebegini amat penting kerana mereka ini berupaya menerangkan kepada masyarakat dengan bahasa yang mudah difahami serta dengan teknik penceritaan yang menarik seperti menggunakan infografik dan gambar mahupun lakaran.

Tindakan mereka ini bukan sahaja telah menyalurkan informasi berguna kepada masyarakat malah lebih penting lagi telah membuka ruang perbincangan yang baik dalam kalangan masyarakat. Hal ini baik dalam mendidik dan melahirkan masyarakat yang celik informasi saintifik yang berupaya membincangkan isu-isu berat sebegini dalam ruangan pendapat umum.

Dalam perspektif Komunikasi Alam Sekitar pula, penggunaan bahasa yang mudah dan penggunaan visual adalah amat penting untuk mendidik masyarakat tentang isu-isu kompleks seperti pencemaran sisa toksik.

Panik Sosial Media

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa ketiadaaan ‘pengampang’ yang menapis maklumat pengguna media sosial juga boleh mendatangkan kesan yang buruk seperti penyebaran maklumat, imej atau video palsu sehingga boleh mencetuskan panik yang tidak perlu dalam kalangan masyarakat.

Perkara ini turut ditekankan oleh pengkaji lepas seperti Leask dan rakan-rakan pada tahun 2010 yang menyatakan kepentingan pengampang dalam pelaporan isu kesihatan bagi ketepatan maklumat sentiasa terpelihara.

Justeru, masyarakat awam perlulah menjadi pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab dengan menyemak kesahihan setiap maklumat sebelum ianya dikongsikan dalam laman media sosial.

Rujukan

Leask, J., Hooker, C., & King, C. (2010). Media coverage of health issues and how to work more effectively with journalists: a qualitative study. BMC Public Health, 10, 535-541.

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.