Oleh : Muhammad Naqib Afiq Hanuar, Ahmad Hakim Khamis, Norbaiti Tukiman & Ahmad Khudzairi Khalid
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor

Pada 24 Disember 2020 (Khamis) telah berlangsungnya majlis kemuncak program Hari Terbuka Kesukarelawanan STEM (iV-STEM Day 2020) UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang. Program ini telah dianjurkan secara atas talian melalui platform Google Meet dan melalui Facebook Live IVSTEM Uitmpg. Program ini merupakan anjuran iV-STEM@VOLUNTEERS STEM, Mahasiswa Harapan Masyarakat dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari, Johor Bahru dan Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 1, Masai, Johor.

Program ini telah dijalankan bermula pada 30 November 2020 sehingga 24 Disember 2020. Beberapa aktiviti dan pertandingan telah dijalankan sebelum majlis kemuncak dan perasmian penutupan program ini. Antara aktiviti yang dipertandingkan dalam program ini adalah pertandingan bercerita STEM, melukis dan mewarna poster STEM dan reka cipta menggunakan bahan terbuang. Walaupun Hari Terbuka Kesukarelawanan 2020 julung kali dianjurkan, namun penyertaan ketiga-tiga pertandingan tersebut amatlah memberangsangkan dan mendapat sambutan daripada 117 orang pelajar daripada beberapa sekolah rendah di seluruh negeri Johor.

Program ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Shahilon bin Abd Halim, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Pembelajaran), wakil rasmi kepada Pengarah Pendidikan Negeri Johor. Keputusan pertandingan bagi ketiga-tiga acara itu telah diumumkan selepas majlis perasmian penutupan iV-STEM Day 2020 pada pukul 10.50 pagi. Sebelum majlis penutupan ini berlangsung, penganjur juga telah mengadakan beberapa aktiviti yang menarik bermula seawal jam 9.30 pagi iaitu aktiviti webinar iV-STEM yang telah disampaikan oleh panel jemputan yang telah memenangi “Global Teacher Award Winner 2020” iaitu Cikgu Mohd Fadzli Bin Ishak dari Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Indah, Johor Bahru. Beliau menyampaikan perkongsian webinar yang bertajuk “Microsoft in Education”. Para peserta webinar ini terdiri daripada kalangan mahasiswa, guru-guru, pensyarah dan pelajar sekolah. Cikgu Fadzli memberi perkongsian tentang penggunaan aplikasi Microsoft dalam pembelajaran masa kini. Aplikasi Microsoft adalah percuma kepada para pelajar dan pendidik di seluruh Malaysia. Natijahnya, dengan kecanggihan aplikasi Microsoft ini, semua pengguna dapat memanfaatkan aplikasi Microsoft untuk meningkatkan inovasi dalam pembelajaran dan pengajaran dalam kelas terutamanya dalam suasana pandemik COVID-19 ini.  Di samping itu, pihak penganjur juga telah mengadakan aktiviti kuiz secara atas talian dan sudah pasti pemenang bagi kuiz tersebut menerima hadiah yang istimewa daripada penganjur.

Pada awalnya, penganjur hanya menyasarkan bilangan penyertaan yang akan menyertai program Hari Terbuka Kesukarelawanan STEM adalah seramai lebih kurang 50 orang sahaja. Namun demikian, penyertaan peserta yang menyertai majlis tersebut adalah di luar jangkaan sehingga ada diantara peserta tidak dapat menyertai majlis tersebut melalui Google Meet (terhad kepada 100 peserta) dan terpaksa menyertainya di Facebook Live IVSTEM Uitmpg. Jumlah peserta yang telah menyertai majlis ini adalah seramai 395 peserta melalui Google Meet dan Facebook Live IVSTEM Uitmpg.

Menurut Tuan Haji Shahilon Bin Abd Halim, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, program yang telah dianjurkan oleh iV-STEM @ VOLUNTEERS STEM ini sangat bertepatan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2023) dan Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019-2023 (PTPKJ 2019-2023) yang menekankan pendidikan STEM di peringkat sekolah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan sokongan menerusi pelbagai pihak berkepentingan. Menurut Muhammad Naqib Afiq Bin Hanuar selaku ketua program Hari Terbuka Kesukarelawana STEM (iV-STEM Day 2020) pula, pihaknya merakamkan ribuan terima kasih  kepada Kerajaan Negeri Johor kerana telah memberi peluang kepada mereka terpilih di antara 31 projek dalam Program Duta Jauhar Mahasiswa Harapan Masyarakat 2020 dan memberi bantuan dana untuk mereka melaksanakan objektif mereka yang memfokuskan dua teras utama iaitu pembangunan pendidikan dan kesukarelawanan. Program Mahasiswa Harapan Masyarakat ini dijangka berakhir pada bulan Mei 2021. Akhir sekali, menurut penasihat program, Puan Hajah Norbaiti Tukiman dan Encik Ahmad Khudzairi Khalid, mereka berharap agar kesukarelawanan dalam Pendidikan STEM akan terus bersinar, digarap dan diperluaskan lagi agar dapat membantu pelajar-pelajar untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran STEM seterusnya memartabatkan Pendidikan STEM di Malaysia.

Kredit Foto : Ahmad Khudzairi Khalid

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.