Pengeraman Telur Penyu Dicemari Plastik

Dr. Mohd Uzair Rusli & Yusof Shuaib Ibrahim
Sea Turtle Research UnitUniversiti Malaysia Terengganu

Lebih 70% (22.9 juta) penduduk Malaysia menetap di kawasan persisir pantai dan dianggarkan menghasilkan sejumlah 1.52 kg sampah setiap orang pada setiap hari.

Seterusnya dianggarkan kira-kira 0.14–0.37 juta metrik tan sampah pula dialirkan ke laut pada setiap tahun sama ada secara sengaja mahupun tidak, dan ini menjadikan Malaysia merupakan negara ke-8 daripada 49 keseluruhan negara Asia penyumbang kepada pencemaran sampah marin.

Melihat kepada statistik pencemaran sampah marin ini, sewajarnya kita perlu mula menilai kesannya kepada khazanah lautan kita terutamanya spesis yang paling terancam iaitu penyu.

Negeri Terengganu mempunyai jaringan pantai sejauh 244 km dan 42 pantai persarangan penyu berhadapan dengan Laut China Selatan yang telah diklasifikasikan sebagai salah satu kawasan tercemar dengan mikroplastik (plastik kecil bersaiz kurang 5 mm).

Universiti Malaysia Terengganu telah mengambil inisiatif memulakan kajian garis data asas untuk menentukan kadar taburan pencemaran mikroplastik dengan empat pantai persarangan penyu terpilih bagi mewakili gugusan pantai persarangan penyu di sebelah utara dan selatan negeri Terengganu, dan didapati kawasan utara di Setiu lebih tercemar berbanding Kertih di selatan.

Apa yang dibimbangi ialah penentuan jantina anak penyu sebenarnya ditentukan oleh suhu pengeraman. Dan diketahui juga bahawa plastik mempunyai keupayaan menyerap dan menyimpan haba dengan lebih tinggi mampu menjadikan sarang pengeraman telur penyu lebih panas.

Lebih mengejutkan kami, plastik yang bewarna hitam paling tinggi dijumpai dan mengukuhkan lagi kebimbangan kami. Warna hitam juga diketahui mampu menyerap haba dengan lebih tinggi.

Memburukkan keadaan dengan isu pemanasan global ketika ini, adalah dijangkakan penghasilan induk jantan adalah sifar dan menyebabkan ketidakstabilan nisbah jantan kepada betina di dalam populasi spesis terancam ini.

Tindakan kecil kita seperti membuang plastik sekali guna di daratan, dialirkan ke sungai ketika hujan dan seterusnya ke laut, proses pemanasan ultraviolet dan arus lautan memulangkan kembali serpihan plastik kecil yang terdegradasi (mikroplastik) ke kawasan persarangan penyu, akhirnya tiada penyu jantan dihasilkan dan kita kehilangan spesis yang penting untuk keseimbangan ekosistem lautan kita.

Ekosistem lautan yang tidak stabil menyebabkan kita terputus bekalan sumber protein utama kita. Dalam Islam, sesuatu musibah menimpa seseorang dianggap sebagai kifarah terhadap sesuatu dosa yang telah dilakukan. Dalam ajaran Hindu dan Budha pula, ini dipanggil hukum karma.

“Mulia dibalas syurga, Dosa kan sengsara, Ini hukum karma.”– Wings 1988.

Hubungi penulis di [email protected] untuk mendapatkan artikel penuh yang diterbitkan di Journal of Green Engineering: Microplastic Occurrence in Sea Turtle Nesting Beach Sediments from Terengganu, Malaysia.

Seekor penyu agar yang baru selesai bersarang di Stesen Penyelidikan Alami Penyu UMT, Pantai Chagar Hutang, Pulau Redang. Seekor ibu penyu mampu bersarang sekitar 7-12 kali pada sesuatu musim persarangan dengan 100 biji telur bagi setiap persarangan.

Keadaan Pantai Teluk Dalam yang menjadi salah satu lokasi persarangan penyu pada musim persarangan dicemari oleh sampah yang dibawa oleh arus lautan. Keadaan pantai yang dicemari sebegini amat memerlukan ramai tenaga sukarelawan untuk bekerjasama membersihkan pantai selepas musim tengkujuh berakhir di pantai timur (sekitar Feb/Mac) dan menyediakan kawasan persarangan penyu sebelum musim persarangan bermula (April-Oktober). Anak penyu memerlukan masa sekurang-kurangnya 45 hari untuk menetas di dalam sarang dan segala perubahan persekitaran turut memberi kesan kepada perkembangan anak penyu ini. Salah satu usaha Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu dalam mendekati orang awam untuk meningkatkan kesedaran ancaman plastik kepada alam sekitar marin dan mendidik warga menjadi pengguna plastik yang bijak dan bertanggungjawab.

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*