Oleh : Dr Siti Suriani Othman
Universiti Sains Islam Malaysia

Tidur adalah satu aspek kehidupan yang penting namun bidang kajian sains tidur ini adalah satu bidang baharu yang masih muda sifatnya di luar negara, dan hijau di Malaysia. Hasil kajian daripada Persatuan Jantung Amerika menunjukkan mereka yang kurang tidur mempunyai dua kali ganda implikasi mati kerana sakit jantung atau stroke, terutama bagi yang memang mempunyai faktor risiko seperti diabetes, kegemukan, tekanan darah tinggi dan kolesterol.  Kurang tidur didefinisikan dalam kajian ini sebagai tidur kurang daripada enam jam sehari. Kajian mendapati, 22 peratus daripada 1344 orang responden yang dikaji meninggal lebih awal kerana tidak menjaga waktu tidur mereka.

Di Amerika, tinjauan di peringkat nasional dijalankan tentang kualiti tidur rakyatnya oleh National Sleep Foundation dan mendapati 43 peratus daripada rakyat Amerika berumur 13 hingga 64 tahun jarang mendapat kualiti tidur yang baik. 6 peratus daripada jumlah ini menyatakan mereka mempunyai masalah tidur hampir setiap malam.

Hal ini membimbangkan kerana kurang tidur atau tidur yang tidak berkualiti dikaitkan dengan pelbagai kesan sampingan kesihatan. Misalnya, dalam satu kajian tentang kekurangan tidur yang pernah dijalankan di Amerika, responden kajian diarahkan untuk hanya tidur selama enam jam sehari selama 14 hari berturut-turut. Hasil kajian mendapati prestasi kerja mereka merosot, juga mengalami kemerosotan keupayaan dari segi kognitif dan motor  dalam menjalankan tugasan seharian. Kajian ini juga menyimpulkan bahawa tidur yang tidak berkualiti atau kurang tidur membawa kepada kesan buruk terhadap jantung, buah pinggang, selera makan, metabolisma dan berat badan, fungsi imuninasi dan ketahanan terhadap penyakit.

Dari segi jumlah jam tidur seorang dewasa, kita maklum bahawa kita perlu tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari. Persoalannya, berapa berapakah jam maksimum seseorang manusia boleh tahan tanpa tidur? Katakan jika keadaan mendesak dan kita tidak boleh atau tidak dapat tidur, berapa lamakah kita mampu bertahan?

Ada pelbagai pendapat tentang persoalan ini. Ada saintis yang masih tidak pasti berapa jam atau hari sebenarnya manusia mampu bertahan tidak tidur dan dalam masa yang sama tidak mati. Satu kajian yang pernah dijalankan pada tahun1989 mendapati tikus yang tidak tidur, mati antara 11 hingga 32 hari. Bagi manusia, saintis mempunyai pandangan berbeza-beza. Pada tahun 1960-an, seorang remaja di Amerika cuba untuk direkodkan sebagai manusia paling lama tidak tidur dan selepas hanya 11 hari, dia mengalami pelbagai masalah seperti kekurangan daya fikir, masalah memori dan perucapan serta halusinasi.

Dalam satu kisah yang lebih baharu, seorang lelaki di China mati akibat tidak tidur selama 11 hari. Dia yang cuba menonton setiap pertandingan dalam European Championship dilaporkan majalah Time sebagai mati walaupun tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum itu. Seorang doktor mengulas kematian pemuda berumur 26 tahun itu adalah akibat kurang tidur dan ini melemahkan sistem imunisasi badannya ditambah lagi dengan merokok dan minum arak sepanjang pertandingan bola sepak itu berlangsung. Terbaharu, mnurut Scientific American, seseorang manusia boleh berjaga paling lama 264 jam iaitu 11 hari.

Maka apabila disahkan seseorang manusia boleh mati lebih awal kerana tidak cukup tidur, maka di Barat mereka telah mewujudkan institusi yang khusus mengkaji kepentingan tidur. National Sleep Health Foundation yang berpengkalan di Australia misalnya ditubuhkan untuk membantu masyarakat untuk mendapat tidur yang sihat. Matlamat utamanya adalah untuk memperbaiki kualiti hidup masyarakat melalui tidur, meningkatkan kesedaran tentang pelbagai jenis masalah tidur dan menjalankan kajian berkaitan tidur.

Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia juga mempunyai kesedaran tentang kualiti tidur yang baik untuk menikmati kesihatan yang lebih baik. Mungkin bidang ini amat baharu di negara ini tetapi kita perlu mengorak langkah supaya tidak ketinggalan menerokai sains yang membantu meningkatkan kualiti hidup seseorang dan produktiviti negara.

Laporan sebuah akhbar tempatan pada tahun 2015 menunjukkan rakyat Malaysia kurang tidur kerana sering “online” pada waktu malam. Kajian oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang itu menunjukkan rata-rata masyarakat Malaysia tidur hanya 6.4 jam sehari kerana sibuk dengan urusan online setelah sibuk di pejabat di siang hari. Hal ini memberi petunjuk bahawa kita perlu memahami kepentingan tidur dengan lebih sistematik, serta memberi penekanan kepada kepentingan tidur dan kaitannya dengan kesihatan. Amatlah rugi jika kita ketinggalan dari aspek ini kerana ia tidak memerlukan modal yang besar atau teknologi tinggi untuk memahaminya, tetapi ia memerlukan perubahan gaya hidup dan keutamaan dalam hidup seharian yang lebih bersistem.

Kredit Foto: pregnancyandbaby

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.