Penggunaan Bahan Radioaktif dalam Perubatan

Oleh: Muhammad Aminuddin Said
Pegawai Sains Fizik, Institut Kanser Negara

Terapi menggunakan bahan radioaktif dalam perubatan merupakan salah satu teknik yang sudah lama digunakan sejak awal 1940-an lagi. Bahan radioaktif, selalunya dinamakan radionuklid dalam ilmu perubatan, sering digunakan untuk  memberikan sinaran radioaktif kepada sel kanser atau tisu yang tidak normal atau mengurangkan kesakitan pada pesakit. Bahan radionuklid tersebut boleh digunakan sama ada melalui suntikan atau ditelan dan disalurkan pada organ atau tisu tertentu. Secara kebiasaanya bahan radionuklid yang digunakan untuk merawat pesakit perlu dilabelkan dengan antigen atau reseptor (radiofarmaseutikal) yang bertujuan untuk membawa bahan radionuklid ke tisu atau organ yang telah dikenalpasti. Namun bagi sesetengah penyakit, pesakit hanya perlu mengambil sumber radionuklid sahaja tanpa perlu dilabelkan dengan mana antigen atau reseptor. Sinaran yang dipancarkan oleh radionuklid yang dikaitkan dengan pembawa membunuh sel kanser dengan merosakkan DNA tumor tesebut yang menyebabkan tumor tersebut mengecut. Tujuan utama terapi radionuklid yang disasarkan adalah secara selektif bagi mengeluarkan radiasi kepada sel-sel kanser atau tisu yang abnormal serta menghasilkan kesan sampingan yang minimum kepada tisu atau organ yang sihat.

Pemilihan jenis radionuklid yang sesuai digunakan bagi merawat pesakit adalah bergantung kepada tempoh separa hayat yang singkat, jenis punca sinaran yang dihasilkan dan kekuatan radioaktiviti yang akan digunakan. Yang paling penting adalah rawatan tersebut mestilah memberikan kesan sampingan yang paling minimum pada organ atau tisu yang sensitif.

Jenis radiofarmaseutikal yang akan diberikan kepada pesakit adalah berdasarkan kepada jenis penyakit dan mekanisme yang bersesuaian. Radiofarmaseutikal dan mekanisme yang sering digunakan adalah dirumuskan dalam Jadual 1.

Radionuklid Tempoh separuh Hayat (Hari) Punca Sinaran Radiofarmaseutikal Kegunaan
I-131 8.04 Gamma, Beta I-131 NaI Kanser Tiroid
I-131 MIBG Kanser Neuroendokrin
I-131 Tositumomab Kanser Non-Hodgkin
Lu-177 6.7 Gamma, Beta Lu-177 DOTATATE Kanser Neuroendokrin
Y-90 2.7 Beta Y-90 DOTATATE Kanser Neuroendokrin
Y-90 microsphere Kanser Hati
Y-90 Ibritumomabtuixten Kanser Non-Hodgkin
Sm-153 1.95 Gamma, Beta Sm-153 EDTMP Pelalian pada tulang
Sm-153 lexidronam Pelalian pada tulang
Sr-89 50.5 Beta Sn-89 Chloride Pelalian pada tulang
Re-188 0.71 Beta 188Re-HEDP Pelalian pada tulang
P-32 14.29 Beta P-32 Phosphate Pelalian pada tulang
Ra-223 11.43 Alpha, Beta Ra-223 Dichloride Pelalian pada tulang
Jadual 1: Jenis radioaktif yang digunakan bagi merawat pesakit

Rawatan I-131 untuk Kanser Tiroid

Penggunaan radionuklid Iodin-131 (I-131) adalah teknik yang terawal dan paling meluas digunakan bagi rawatan penyakit atau kanser pada sistem tiroid. Sistem tirod pada manusia terletak dihadapan leher seperti yang ditunjukkan pada gambar 1. Bahan I-131 adalah dalam bentuk cecair atau dalam bentuk tablet dan diambil secara oral. Ia bertujuan untuk memusnahkan sisa tisu tumor mikroskopik pada tisu tirod sekaligus dapat mengawal penyakit tersebut sekaligus mengurangkan kadar pengulangan penyakit tersebut pada masa yang panjang. Terdapat beberapa panduan berkaitan perawatan penyakit berkaitan kanser tiroid menggunakan I-131 diterbitkan oleh pihak yang berkaitan. Secara umumnya dos maksimum aktiviti yang dibenarkan diberikan kepada pesakit adalah sehingga 7.4 GBq pada satu kitaran rawatan, terdapat juga sesetengah kes dimana dos yang diberikan melebihi 7.4 GBq, tetapi pesakit perlu melalui ujian dosimetri dalaman terlebih dahulu. Pada awal rawatan, kandungan sumsum tulang pada pesakit akan berkurangan sementara disebabkan oleh sifat sumber sinaran dari I-131 yang akan memusnahkan tisu yang normal semasa berada dalam badan pesakit.  Secara umumnya, pesakit perlu menjalani rawatan tersebut pada kitaran setiap enam bulan sehingga sembuh sepenuhnya. Semasa rawatan, pesakit perlu ditempatkan didalam bilik yang khas bagi tujuan mengurangkan risiko dedahan kepada orang awam selama beberapa hari. Teknik rawatan ini telah diterima pakai secara meluas dalam merawat kanser tiroid di seluruh dunia memandangkan keberkesanan merawat penyakit tersebut.

Gambar 1: Kedudukan tiroid pada badan manusia

Rawatan kanser Neuroendokrin

Sistem neuroendokrin berfungi bagi menghasilkan hormon (endokrin) atau bahan kimia yang membantu mengawal tindakan yang berbeza dalam tubuh manusia seperti perkembangan tubuh badan serta emosi. Kanser neuroendokrin adalah pertumbuhan tisu yang tidak normal yang wujud daripada sel-sel endokrin dalam tubuh badan manusia. Penggunaan radionuklid dalam rawatan kanser ini akan dilakukan apabila prosedur pembedahan tidak dapat dilakukan atas sebab tertentu seperti kanser tersebut merebak dengan cepat serta. Matlamat utama teknik rawatan ini adalah untuk menghentikan atau memperlambat perkembangan tumor dan juga meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan. Zarah beta yang terhasil daripada pereputan bahan radionuklid seperti didalam jadual 1 berperanan untuk menghapuskan pertumbuhan tisu yang tidak normal. Tenaga tinggi pada zarah beta berperanan bagi penembusan tisu yang lebih dalam berbanding tenaga yang rendah dan pemilihan radionuklid adalah bergantung kepada saiz kanser yang ada pada pesakit. Y-90 mempunyai tenaga beta yang tinggi (sehingga 2.28 MeV)  dan sesuai bagi tumor yang bersaiz besar, manakala Lu-177 mempunyai tenaga beta yang rendah (sehingga 0.5 MeV) sesuai bagi tumor yang bersaiz kecil.

Gambar 2: a) Imej kitaran pertama Lu-177 b) Imej selepas kitaran kedua

Seperti rawatan I-131, rawatan mengunakan Lu-177 atau Y-90 juga mempunyai kitaran pada setiap tiga bulan. Jumlah radioaktiviti yang diberikan kepada pesakit adalah sebanyak 7.4 GBq pada setiap kitaran dan tempoh lengkap rawatan adalah sehingga 4 kitaran. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes, radioaktiviti dan jumlah kitaran juga boleh berubah mengikut keadaan pesakit secara individu. Gambar 2 memaparkan respon yang sangat baik yang diberikan oleh rawatan ini selepas kitaran yang pertama. Teknik rawatan ini juga mempunyai kesan sampingan yang minimum terhadap buah pinggan pesakit. Teknik dosimetri dalaman pada buah pinggang pesakit perlu dilakukan pada kitaran yang pertama bagi memastikan fungsi organ tersebut tidak terganggu semasa tempoh rawatan. Secara keseluruhan teknik rawatan menggunakan kedua-dua jenis radionuklid tersebut telah diterima pakai di kebanyakkan negara termasuk Malaysia disebabkan impak yang tinggi walaupun dengan kos yang tinggi.

Rawatan radionuklid pada sistem rangka manusia

Bagi pesakit yang mempunyai kanser metastasis, terdapat potensi tinggi untuk merebak ke sistem rangka manusia. Kanser prostat dan payu dara yang metastasis merupakan penyakit yang mudah untuk merebak ke tulang dan akan menyebabkan pesakit akan mengalami kesakitan yang teruk. Para pesakit yang mengalami sindrom kesakitan yang teruk hasil daripada kanser tersebut mempunyai pilihan untuk menggunakan radionuklid bagi mengurangkan tahap kesakitan yang dialami. Radionuklid seperti Sm-153, Sr-89, Re-188 dan P-32 (0.2 sehingga 0.7 MeV) menghasilkan zarah beta yang bertenaga rendah memberikan dos yang tinggi kepada metastasis pada tulang pesakit tanpa menggangu sistem sumsum tulang.

Secara khususnya, Sr-89 klorida sesuai untuk kesakitan tulang-tulang pada pesakit yang mempunyai metastasis kanser prostat, manakala Sm-153 EDTMP sesuai bagi rawatan kesakitan dari pelbagai metastasis. P-32 Orthophosphate sepertimana Sm-153 dan Sr-89 sesuai bagi mengurangkan tahap kesakitan pada pesakit tetapi isu toksid pada sumsum tulang perlu diberi perhatian. Jumlah radioaktiviti yang diberikan kepada pesakit adalah berbeza mengikut radiofarmaseutikal merujuk kepada jadual 2.

Radiofarmaseutikal Dos
Sm-153 EDTMP 37 MBq/kg
Sr-89 klorida 1.5-2.2 MBq/kg
P-32 Orthophosphate 185–370 MBq i.v
370–444 MBq oral
Ra-223 diklorida 50 kBq/kg
Jadual 2: Radioaktiviti mengikut jenis radiofarmaseutikal.

Radium Ra-223 diklorida merupakan teknik rawatan yang terbaru bagi rawatan kanser prostat dengan metastasis. Radium-223 adalah terapi alfa yang pertama yang digunakan kepada pesakit. Sinaran alfa yang dihasilkan semasa kerosakan radioaktif radium-223 menghasilkan kesan pelalian anti-tumor pada metastasis tulang. Teknik ini masih baru di pasaran dan sedang giat dijalankan oleh negara maju dan tidak mustahil teknik ini akan digunakan di negara ini di masa akan datang bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Peranan radionuklid dalam merawat pelbagai penyakit terutama sekali penyakit berkaitan kanser sungguh bermakna bagi meningkatkan taraf kesihatan pesakit. Sehingga kini negara kita masih belum mampu untuk menghasilkan produk radionuklid tersebut untuk kegunaan tempat sekali gus kos untuk memperolehi adalah tinggi. Keseluruhan radionuklid yang digunakan dalam teknik rawatan ini dihasilkan dari negara luar seperti dari Eropah dan Amerika Syarikat disebabkan kos untuk membangunkan fasiliti tersebut adalah tinggi.

10total visits,10visits today

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.