Pensyarah UPM dan Pelajar UTHM Diiktiraf dalam Bidang Sains dan Teknologi di Iran

Oleh : Dr Faridah Abu BakarRabiatul Adawiyah Zayadi

Empat orang saintis muda daripada Malaysia telah mengharumkan nama negara dalam majlis penutup KANS Scientific Competition yang berlangsung di Amirkabir University of Technology, Tehran, Iran pada 12 November 2018. KANS Scientific Competition yang membawa maksud Knowledge Application and Notion for Society (KANS) dianjurkan oleh Mustafa Science and Technology Foundation (MSTF) ini memberi peluang kepada saintis muda daripada negara-negara Islam untuk mengetengahkan idea mereka dalam bidang sains dan teknologi.

MSTF merupakan sebuah yayasan berpusat di Iran yang berfokus dalam mengiktiraf para saintis di negara-negara Islam khususnya negara-negara di bawah Persidangan Kerjasama Islam (OIC) yang terlibat dalam aktiviti penyelidikan sains dan teknologi. Buat julung kalinya, MSTF menganjurkan KANS yang bertujuan untuk mencari solusi saintifik bagi menyelesaikan masalah sosial dalam lima bidang sasaran iaitu Air dan Alam Sekitar, Kesihatan, Teknologi Maklumat, Ekonomi, serta Tenaga. Pertandingan ini dijalankan dalam dua kategori iaitu peringkat pelajar dan professor di bawah 45 tahun, di mana para peserta dikehendaki menghantar video berdurasi 3 – 5minit berkenaan solusi saintifik mereka.

Tiga orang pensyarah daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan seorang pelajar daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dianugerahkan Diploma Kehormat dalam acara yang dihadiri lebih 1,000 orang ahli akademik dan pihak media itu. Prof. Madya Dr. Abdul Rahim Bin Abdul Samad yang merupakan pensyarah kanan di Fakulti Eknomi dan Pengurusan, UPM telah mendapat tempat pertama dalam kategori Ekonomi. Prof. Madya Dr. Wan Azlina Binti Wan Ab Karim Ghani (Fakulti Kejuruteraan, UPM) pula dianugerahkan Diploma dalam bidang Tenaga, manakala Prof. Madya Dr. Sarva Mangala Praveena (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM) dianugerahkan Diploma dalam bidang Air dan Alam Sekitar.

Pelajar Doktor Falsafah daripada UTHM; Rabiatul Adawiyah Binti Zayadi yang dianugerahkan Diploma dalam bidang Air dan Alam Sekitar merupakan antara peserta muda yang menerima pengiktirafan tersebut dalam kalangan 1,045 pendaftaran yang diterima pihak penganjur. Menurut Ketua Juri KANS, Saeed Sohrabpour, 154 video dalam bidang air dan alam sekitar, 152 dalam bidang kesihatan, 136 dalam bidang teknologi maklumat, 45 dalam bidang ekonomi, serta 35 video dalam bidang tenaga telah dihantar oleh para peserta. Beliau turut menyatakan bahawa 70% daripada penyertaan yang diterima adalah daripada penyelidik lelaki.

Saintis muda dari pelbagai negara telah menyertai pertandingan ini antaranya daripada Iran, Oman, Malaysia, Pakistan, Iraq, Afghanistan, Syria, Palestin, Jordan, Tunisia, Bangladesh, Indonesia, Nigeria, Mesir, dan Kazakhstan. Daripada sejumlah penyertaan tersebut, 15 idea terbaik diberi peluang untuk dibentangkan di hadapan juri dan ahli akademik di Iran. Pensyarah dan pelajar daripada Malaysia ini merupakan empat daripada lima orang peserta luar daripada Iran yang diiktiraf pada acara penutup tersebut. Kriteria penting yang dinilai dalam pertandingan ini adalah sama ada penyelidikan yang dijalankan itu berimpak tinggi dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi manusia sejagat. KANS Scientific Competition yang dianjurkan MSTF ini bukan sahaja dapat menaikkan semangat para saintis muda beragama Islam untuk terus maju dalam bidang penyelidikan sains dan teknologi, malah dapat mengukuhkan hubungan kerjasama antara para saintis berlainan negara.

Penerima Diploma Kehormat yang diraikan dalam Majlis Penutup KANS Scientific Competition Rabiatul Adawiyah membentangkan solusi saintifiknya di Amirkabir University of Technology, Tehran Prof. Madya Dr. Abdul Rahim bersama keluarga serta Medal Emas yang dieterima bagi kategori Ekonomi Prof. Madya Dr. Sarva ketika menerima Diploma dalam bidang Air dan Alam Sekitar Rabiatul Adawiyah ketika menerima Diploma dalam bidang Air dan Alam Sekitar Prof. Madya Dr. Wan Azlina menerima Diploma dalam bidang Tenaga Rabiatul Adawiyah bersama Diploma yang diterima

148total visits,148visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*