Oleh : Prof. Madya. Dr. Abdul Halim Abdullah, Hayati Nazirwan, Kumaresan Pumalai & Nor’ Hidayah Mohd. Amir

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia

1.0       Pengenalan

Kemajuan sesebuah negara bukan sahaja dilihat daripada segi pembangunan sosio ekonomi, politik dan sahsiah tetapi aspek yang paling penting dalam menentukan kualiti taraf hidup sesebuah negara adalah melalui pendidikan. Pendidikan merupakan tunggak kunci penentu kejayaan sesebuah negara. Pendidikan berkualiti melahirkan generasi dengan tahap intelek yang tinggi. Pendidikan mempunyai impak yang besar ke atas pelbagai peluang kehidupan manusia untuk memperolehi dan mengekalkan kualiti kehidupan. Pelbagai inisiatif dirancang dan telah dilaksanakan dalam usaha mewujudkan tahap pendidikan yang bersifat inklusif serta berkualiti. Bagi negara kita, Malaysia, transformasi pendidikan yang dilaksanakan adalah berlandaskan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, yang mempunyai tiga gelombang dan kini sedang berada pada kemuncak Gelombang Kedua. PPPM berteraskan lima aspirasi iaitu Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan dan Efisiensi. Dalam melaksanakan aspirasi kualiti, amat penting untuk mengetahui adakah sistem pendidikan sesebuah negara telah berada pada satu landasan yang betul setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Menyedari hal ini, Malaysia telah menyertai pentaksiran antarabangsa Programme for International Student Assessment (PISA). Kita sedia maklum bahawa, PISA menitikberatkan perkembangan seorang pelajar dalam persediaan mereka untuk menghadapi kehidupan dewasa. Pengetahuan khusus bukan sahaja digunapakai dalam kurikulum sekolah, tetapi perlu diaplikasi dalam kehidupan seharian. Dalam artikel ini, penulis akan membandingkan pencapaian Malaysia dalam pentaksiran PISA untuk Literasi Matematik antara negara Asia Tenggara yang turut terlibat sama dalam PISA.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025

2.0       Latar Belakang PISA 

Programme for International Student Assessment atau lebih dikenali sebagai PISA adalah suatu program pentaksiran dan kajian antarabangsa yang dianjurkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) dengan kerjasama beberapa negara. Pada permulaannya, kajian PISA ini dilaksanakan pada tahun 2000 dengan penglibatan 32 negara. Kajian PISA ini melibatkan pelajar yang berumur 15 tahun. Antara 4500 dan 10000 pelajar setiap negara yang terlibat dalam kajian ini. Tujuan kajian ini dilaksanakan adalah untuk menilai kesediaan pelajar untuk melalui kehidupan orang dewasa. Kajian PISA ini mengandungi tiga domain literasi, iaitu Literasi Bacaan, Literasi Matematik dan Literasi Saintifik. Kajian PISA bukan sahaja akan menilai penguasaan kurikulum sekolah, tetapi PISA juga menilai sejauh mana pengetahuan dan kemahiran penting yang diperlukan dalam kehidupan orang dewasa. Secara keseluruhan, pentaksiran PISA menekankan penilaian merentas kurikulum. Kaedah pentaksiran PISA ialah ujian bertulis di mana setiap pelajar akan diberi masa dua jam untuk menyiapkan ujian tersebut. Bentuk soalan yang diberikan adalah soalan pelbagai pilihan jawapan dan soalan-soalan yang memerlukan pandangan atau tanggapan pelajar itu sendiri. Perkara-perkara yang terdapat dalam setiap soalan merupakan soalan yang berdasarkan kehidupan sebenar. PISA juga turut mengumpul maklumat latar belakang pelajar dan sekolah melalui Soal Selidik Murid dan Soal Selidik Sekolah, yang perlu dijawab oleh pengetua sekolah. Namun begitu, pada PISA 2015, ujian berasaskan komputer telah dilaksanakan. Melalui kaedah ini, soalan ujian dan soal selidik pelajar telah disediakan secara interaktif, di mana terdapat elemen simulasi dalam beberapa soalan yang disediakan.

Pentaksiran PISA yang pertama berlangsung pada tahun 2000 dan laporan keputusan pentaksiran tersebut dikeluarkan pada tahun 2001. Kitaran pentaksiran PISA ialah pada setiap tiga tahun. Setiap kitaran pentaksiran PISA akan memfokuskan dengan satu domain utama, di mana dua pertiga masa ujian akan dikhususkan untuk domain utama. Dua domain lagi diberikan dalam bentuk soalan kemahiran. Pada tahun 2000, domain utama ialah Literasi Bacaan. Literasi Matematik dijadikan domain utama pada tahun 2003 dan Literasi Saintifik pula pada tahun 2006. Kitaran seterusnya bagi pentaksiran PISA ialah pada tahun 2009, 2012 dan 2015. Pada tahun 2018 pula bermulanya kitaran ketujuh bagi PISA. Mulai tahun 2012, selain domain literasi, domain inovatif telah diperkenalkan, iaitu Penyelesaian Masalah (2012), Penyelesaian Masalah Berkolaboratif (2015) dan Kompetensi Global (2018).

Hasil kajian PISA yang diperolehi akan menentukan profil pengetahuan dan kemahiran asas pelajar pada akhir persekolahan. Pada masa yang sama juga, hasil kajian ini akan menunjukkan hubungkait keputusan pelajar dan ciri-ciri sekolah mereka. Oleh itu, ketiga-tiga domain literasi PISA menekankan keupayaan untuk melaksanakan beberapa proses asas dalam pelbagai situasi, yang disokong oleh pemahaman yang luas tentang konsep-konsep utama, dan bukannya hanya memiliki pengetahuan khusus. Negara-negara yang mengambil bahagian dalam kitaran PISA pertama (tahun 2000) termasuklah Australia, Austria, Belgium, Brazil, Kanada, China, Republik Czech, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Iceland, Ireland, Itali, Jepun, Korea , Latvia, Luxembourg, Mexico, Belanda, New Zealand, Norway, Poland, Portugal, Persekutuan Rusia, Sepanyol, Sweden, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Sehingga tahun 2018, pentaksiran PISA telah disertai oleh 79 negara yang terdiri daripada 37 negara OECD dan 42 negara bukan OECD.

Sejarah penglibatan Malaysia dalam pentaksiran PISA bermula pada tahun 2009 di mana Malaysia telah menyertai PISA pada kitaran yang keempat. Pada tahun tersebut, domain utama ialah Literasi Bacaan. Sepanjang kajian PISA berlangsung, Malaysia telah menyertai PISA sebanyak empat kali, iaitu pada PISA 2009, PISA 2012, PISA 2015 dan PISA 2018. Secara purata, sebanyak 7000 pelajar, 4800 guru, 200 pentadbir dan 200 buah sekolah yang menyertai kajian PISA bagi setiap kitaran di Malaysia. Manakala di peringkat antarabangsa, seramai 600,000 pelajar yang mewakili sebanyak 32 juta pelajar berumur 15 tahun di seluruh dunia mengambil bahagian dalam setiap kitaran pentaksiran PISA.

3.0       Literasi Matematik dalam PISA

Definisi Literasi Matematik dalam PISA ialah “keupayaan untuk mengenal pasti, memahami, dan terlibat dalam matematik dan membuat pertimbangan yang jelas tentang peranan yang dimainkan oleh matematik, sebagai  keperluan seseorang individu dan kehidupan peribadi pada masa depan, kehidupan pekerjaan, kehidupan sosial dengan rakan sebaya dan saudara mara, dan kehidupan sebagai warganegara yang membina, prihatin, dan reflektif. Oleh itu, terma literasi dalam matematik bertujuan untuk menentukan keupayaan seseorang menggunakan kemahiran dan pengetahuan matematik dalam kehidupan sebenar selain menguasainya dalam kurikulum sekolah. Dalam definisi PISA, untuk “terlibat” dalam matematik bukan sahaja merangkumi fizikal dan sosial (seperti boleh mengira berapa wang yang perlu dibayar semasa membeli barang) tetapi mampu berfikir atau memberi pendapat secara kritis (seperti memberi pendapat mengenai perancangan kewangan kerajaaan). Literasi Matematik juga menekankan kepelbagaian keupayaan menyelesaikan masalah matematik dalam pelbagai konteks. Untuk tujuan ini, ia juga bergantung kepada ciri-ciri peribadi seseorang, iaitu mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan mempunyai keyakinan diri.

4.0       Kerangka Domain Literasi Matematik

Untuk menghasilkan pentaksiran PISA yang menepati definisi bagi Literasi Matematik, tiga ciri domain telah diperkenalkan. Tiga domain tersebut ialah (a) Proses iaitu pelajar boleh merumus situasi secara matematik, boleh menggunakan konsep, fakta, prosedur dan penaakulan matematik, dan seterusnya berupaya untuk mentafsir, mengaplikasi dan menilai hasil matematik, (b) Kandungan iaitu PISA menekankan tema matematik secara asas, contohnya Kuantiti, Perubahan dan Perkaitan, Ruang dan Bentuk, dan Ketaktentuan dan Data, dan (c) Konteks iaitu mengaplikasikan matematik dalam pelbagai situasi contohnya, dalam kehidupan peribadi, pekerjaan, masyarakat dan secara saintifik.

Rajah 1. Kerangka Domain Literasi Matematik

5.0       Penilaian Matematik dalam PISA

Pelajar akan dinilai dengan menggunakan soalan pelbagai pilihan jawapan, dan soalan subjektif digunakan untuk menilai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) pelajar. Jawapan bagi soalan subjektif memerlukan pelajar menunjukkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyelesaikan soalan tersebut. Skema pemarkahan pula tidak menekankan kesalahan tatabahasa, kecuali jika ia menyampaikan maksud yang sebaliknya. Skema pemarkahan untuk literasi matematik adalah dalam bentuk sistem pemarkahan dua digit supaya dapat menentukan sejauh mana kebolehan seseorang pelajar semasa menyelesaikan masalah. Dalam penilaian PISA, skor purata dibahagikan kepada enam Aras Penguasaan bagi Literasi Matematik di mana setiap aras penguasaan mempunyai kriteria-kriteria yang perlu dipenuhi.

6.0       Bagaimana Pencapaian Malaysia Sepanjang Penglibatan Dalam Pentaksiran PISA?

Pada tahun 2009, KPM mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk menyertai PISA. Peryertaan dalam PISA dapat mengenalpasti kelemahan dalam pendidikan matematik. Objektif utama ialah dapat menunjukkan kualiti pendidikan sesebuah negara berasaskan standard antarabangsa.  Negara yang berada di kedudukan terbaik akan menjadi penanda aras terbaik kepada negara-negara lain. Malaysia telah menyertai PISA pada tahun 2009, 2012, 2015 dan 2018. Rajah 2 menunjukkan skor yang diperolehi dalam PISA pada tahun-tahun tersebut.\

Rajah 2. Skor Purata Matematik Malaysia Dalam Pentaksiran PISA

Pada tahun 2009, sebanyak 74 buah negara telah mengambil bahagian dalam PISA. Pelajar-pelajar di Malaysia telah memperolehi skor purata matematik sebanyak 404 dan ini meletakkan Malaysia di kedudukan ke-57 berbanding negara-negara yang lain. Pada tahun 2012, sebanyak 65 buah negara telah menyertai PISA.Malaysia telah mencatatkan skor purata matematik  sebanyak 421, iaitu ketinggalan jauh di belakang skor purata antarabangsa iaitu 494. Hal ini meletakkan Malaysia di tangga ke- 52 daripada 65 buah negara. Walau bagaimanapun, Malaysia menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian tahun 2009. Pada tahun 2015, Malaysia turut menyertai dalam PISA dan  menunjukkan peningkatan sebanyak 25 mata menjadikan skor purata PISA 2015 kepada 446. Namun begitu, Laporan Teknikal PISA 2015 menyatakan bahawa walaupun Malaysia menjalankan pentaksiran PISA mengikut piawaian dan garis panduan operasi yang ditetapkan, kadar tindak balas sampel dari Malaysia hanya 51% iaitu jauh daripada kadar tindakbalas 85% yang telah ditetapkan oleh OECD. Oleh itu, keputusan pentaksiran PISA pada tahun tersebut tidak dibandingkan dengan negara lain atau dibandingkan dengan keputusan PISA Malaysia bagi tahun-tahun sebelumnya. Prestasi Malaysia bertambah baik berbanding tahun 2009 dan 2012 dalam pentaksiran PISA 2018. Malaysia melonjak sebanyak 36 mata daripada 404 pada tahun 2009 kepada 440  pada tahun 2018. Sebanyak 59 peratus pelajar dapat mencapai kemahiran Aras Penguasaan tahap dua dan ke atas dalam Literasi Matematik. Pencapaian ini meletakkan Malaysia di kedudukan 47 daripada 78 negara yang terlibat.

Artikel Berkaitan : Pendekatan Inkuiri Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Dalam Tragedi “Budak Gua” Thailand

7.0       Di Manakah Kedudukan Malaysia Dalam Pentaksiran PISA untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?

Negara yang pertama dari Asia Tenggara yang terlibat dalam PISA ialah Indonesia dan Thailand. Kedua-dua negara tersebut terlibat dalam PISA sejak tahun 2000 sehingga kini. Pada tahun 2009, Singapura dan Malaysia mula terlibat dalam PISA sehingga kini. Vietnam juga turut terlibat dalam pentaksiran PISA pada tahun 2012 sehingga 2018. Pada tahun 2018, dua buah negara Asia Tenggara turut melibatkan diri dalam PISA iaitu negara Brunei Darussalam dan Filipina. Jadual 1 di bawah menunjukkan penglibatan negara-negara Asia Tenggara dalam PISA pada tahun 2000 sehingga 2018.

Jadual 1. Penglibatan Negara-Negara Asia Tenggara Dalam PISA

7.1       Di Manakah Kedudukan Malaysia Dalam Pentaksiran PISA 2009 untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?

Rajah 3. Skor Purata Matematik Negara-Negara Asia Tenggara Dalam Pentaksiran PISA 2009

Pada tahun 2010, Malaysia merupakan antara 10 negara yang menyertai projek PISA 2009+ selepas tempoh kajian PISA 2009 yang asal dijalankan. Keputusan bagi projek PISA 2009+ ini telah diterbitkan pada bulan Disember, 2011 oleh The Australian Council for Educational Research (ACER). Dalam kajian tersebut, seramai 46 000 pelajar yang berumur 15 tahun yang mewakili 1 377 000 pelajar bagi 10 negara ini telah dijadikan sampel bagi kajian ini. Daripada projek tersebut, sebagaimana ditunjukkan dalam Rajah 3, Malaysia mendapat skor purata 404 bagi Literasi Matematik iaitu di kedudukan ketiga daripada empat negara Asia Tenggara yang menyertai kajian PISA 2009. Singapura mendapat skor purata yang tertinggi iaitu 562, diikuti oleh Thailand dengan skor purata 419. Seterusnya, di kedudukan keempat ialah Indonesia dengan skor purata 371. Dengan skor purata 562 bagi Literasi Matematik, Singapura berada pada tempat ke-2 daripada 74 negara bagi keputusan keseluruhan PISA 2009 untuk Literasi Matematik. Singapura juga mencapai Aras 4 bagi penguasaan Literasi Matematik. Indonesia pula mendapat skor purata 371. Aras penguasaan Literasi Matematik Malaysia, Thailand dan Indonesia ialah pada tahap 1. Tiga negara ini juga mendapat skor purata lebih rendah berbanding skor purata yang ditetapkan oleh OECD iaitu 496.

7.2       Di Manakah Kedudukan Malaysia Dalam Pentaksiran PISA 2012 untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?

Rajah 4. Skor Purata Matematik Negara-Negara Asia Tenggara Dalam Pentaksiran PISA 2012

Dalam laporan PISA 2012, Vietnam telah menyertai kajian PISA dan menjadi negara Asia Tenggara yang kelima menyertai kajian PISA. Pada tahun yang sama juga, satu domain inovasi diperkenalkan, iaitu Penyelesaian Masalah. Berdasarkan Rajah 4, skor purata yang tertinggi bagi Literasi Matematik PISA 2012 ialah 573 iaitu Singapura dan terdapat peningkatan 11 mata skor purata daripada tahun 2012. Keputusan ini menunjukkan Singapura masih lagi berada di Aras 4 Penguasaan Literasi Matematik, dan berada di atas skor purata negara OECD (skor purata 496). Singapura mendapat tempat ke-2 daripada keseluruhan 65 negara yang menyertai kajian PISA 2012. Bagi Vietnam, walaupun pertama kali menyertai kajian PISA, mereka memperolehi 511 skor (tempat ke-17 daripada 65 negara) purata bagi Literasi Matematik. Skor purata tersebut setanding dengan negara-negara OECD yang lain seperti Belanda, Estonia, Finland, Kanada, Poland, Belgium, Jerman, Austria, Australia dan Ireland. Pada masa yang sama skor purata tersebut berada di atas skor purata OECD iaitu 496. Bagi Malaysia dan Thailand pula, masing-masing memperolehi skor purata 427 (peningkatan 8 mata) dan 421 (peningkatan 17 mata) dan telah mencapai aras 2 bagi aras penguasaan Literasi Matematik. Namun begitu, Malaysia di tempat ke-52 dan Thailand di tempat ke-50. Manakala, Indonesia dengan skor purata 375 (kenaikan 4 mata) berada di tempat ke-64 dan keputusan ini menunjukkan Indonesia masih lagi berada pada Aras 1 bagi aras penguasaan Literasi Matematik.

7.3       Di Manakah Kedudukan Malaysia Dalam Pentaksiran PISA 2018 untuk Literasi Matematik Dalam Kalangan Negara Asia Tenggara?

Rajah 5. Skor Purata Matematik Negara-Negara Asia Tenggara Dalam Pentaksiran PISA 2018

Pada tahun 2018, terdapat dua buah negara Asia Tenggara menyertai PISA 2018, iaitu Brunei dan Filipina. PISA 2018 disertai oleh 79 buah negara yang terdiri daripada 600 000 pelajar yang menjadi sampel kajian. Dari Malaysia, seramai 6 111 pelajar mewakili 388 638 pelajar berumur 15 tahun menjadi sampel kajian. Pada PISA 2018, Singapura masih lagi mempunyai skor purata yang tertinggi untuk Literasi Matematik, iaitu 569 dengan kenaikan 5 mata daripada PISA 2015. Singapura juga masih lagi mendapat tempat ke-2 daripada 79 buah negara. Kedudukan ini seterusnya diikuti oleh Vietnam dengan mata skor purata 496. Namun begitu, OECD membuat kesimpulan bahawa data penilaian Vietnam tidak boleh dibandingkan dengan penilaian antarabangsa. Ini kerana terdapat salah laku yang ketara, khususnya bagi soalan pilihan, soalan bagi pelajar Vietnam agak mudah untuk dijawab. Pada masa yang sama, item pada kajian tindak balas tidak selari dengan standard piawai yang telah ditetapkan oleh OECD. Kesalahan penggunan terma juga salah satu penyebab kenapa penilaian Vietnam tidak boleh dibandingkan dengan negara-negara lain. Sehubungan itu, Malaysia berada pada tempat kedua dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan skor purata 440. Terdapat peningkatan yang signifikan bagi Literasi Matematik Malaysia iaitu sebanyak 13 mata berbanding PISA 2012. Skor purata bagi PISA 2015 tidak boleh dibandingkan dengan PISA 2018 kerana sampel yang kecil (iaitu 51%) tidak menepati sampel yang ditetapkan oleh OECD iaitu sekurang-kurangnya 85%. Kedudukan ini seterusnya diikuti oleh Brunei (skor purata 430), Thailand (skor purata 419), Indonesia (skor purata 379) dan Filipina (skor purata 353) bagi Literasi Matematik PISA 2018. Menurut laporan OECD, bagi PISA 2018, terdapat 59% pelajar Malaysia yang berada di aras 2 penguasaan Literasi Matematik yang bermaksud pelajar Malaysia berupaya untuk mentafsir dan mengenalpasti, tanpa arahan langsung, bagaimana menyelesaikan situasi mudah diwakili dalam matematik (contohnya mennetukan jarak di antara dua titik, atau menukar mata wang asing).

8.0       Kesimpulan

Terdapat beberapa faktor yang membawa kepada peningkatan pencapaian Malaysia khususnya dalam Literasi Matematik dalam PISA dari satu kitaran ke kitaran yang lain. Salah satu daripadanya ialah transformasi kurikulum Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). KSSR menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) mulai tahun 2011 untuk murid tahun 1 manakala KSSM yang telah dilaksanakan mulai pada tahun pada tahun 2017 bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSM) kepada pelajar Tingkatan 1 dilihat memberi impak positif kepada pencapaian kualiti pendidikan Malaysia. Pelaksanaan KSSR dan KSSM mengambil kira hasrat PPPM 2013-2025. KSSR dan KSSM juga menambahbaik kandungan kurikulum mengikut pola global dan penanda aras antarabangsa. KSSM turut menekankan pembelajaran abad ke-21 yang berfokus kepada proses berfikir dan komunikasi dalam penyelesaian masalah.

Selain itu, tidak dapat disangkal bahawa kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) adalah elemen yang amat penting dalam membentuk pelajar yang mampu mengaplikasi ilmu pembelajaran ke situasi sebenar dalam kehidupan melalui kaedah penyelesaian masalah. Peningkatan peratus kandungan elemen KBAT dalam sukatan pembelajaran dan soalan-soalan peperiksaan bukan sahaja masih belum mampu melonjakkan Malaysia pada kedudukan yang boleh dibanggakan bahkan belum mampu mencapai purata ditetapkan OECD. Jadi, langkah ini perlu ditambah baik dengan mengambil kira beberapa faktor serta melibatkan beberapa pihak. Kerjasama daripada pelbagai pihak amat perlu dalam memastikan langkah-langkah yang diusahakan membuahkan hasil. Pihak-pihak yang terlibat adalah terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekolah, guru-guru dan juga ibu bapa serta tidak ketinggalan masyarakat setempat. Setiap pihak mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing.

KPM bertanggungjawab dalam memastikan sukatan kurikulum adalah bertepatan dengan matlamat dan misi untuk membentuk pelajar yang mempunyai pemikiran kreatif dan kritis serta berdaya saing dalam peringkat global. Guru merupakan pelaksana segala sistem dan dasar yang telah digubal di peringkat atasan. Gurulah penentu sama ada keberkesanan sesuatu dasar dan sistem itu berjaya atau gagal. Oleh itu, pihak kementerian seharusnya menyediakan latihan serta bimbingan kepada guru-guru sebagai persediaan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran yang berunsur KBAT. Guru-guru terlatih ini akan lebih berkeyakinan dalam mendidik pelajar kerana mereka mempunyai kemahiran serta penguasaan isi kandungan yang lebih jitu. Bagi pihak sekolah pula, mereka perlu sentiasa menyokong usaha-usaha warga pendidik dalam melaksana segala program dan usaha ke menghasilkan pelajar berfikiran aras tinggi selain daripada sentiasa memantau suasana pembelajaran dan pengajaran yang dilaksanakan dalam kelas supaya menepati dasar dan isi kandungan yang telah ditetapkan di samping menyediakan prasarana dan persekitaran yang kondusif.

Bagi pendidik pula iaitu guru, mereka perlu sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran dan teknik pengajaran yang ditambah baik dari semasa ke semasa sama ada melalui kaedah pengajaran atau penggunaan pedagogi yang bersesuaian dengan keperluan dalam bilik darjah dan pencapaian setiap anak didiknya. Sebagai ibu bapa pula, mereka perlu mengambil tahu setiap perubahan di peringkat dasar daripada isi kandungan kurikulum dan juga program-program yang dilaksana di peringkat kelas, sekolah, daerah, negeri, kebangsaan malahan di peringkat global seperti pentaksiran PISA. Mereka bukan hanya menilai pencapaian anak-anak melalui gred dan pencapaian dalam peperiksaan semata tetapi sentiasa berkomunikasi dan berbincang dengan anak-anak tentang impian dan cita-cita mereka. Masyarakat setempat juga perlu memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan segala aktiviti yang dijalankan berjaya dengan cara mengambil bahagian dan mengambil tahu situasi semasa pendidikan negara.

Kredit Foto : Bangkokpost

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.