Penuntut UTHM Memenangi Pingat Perak Pertandingan Doha Oasis for Innovation

QATAR: Bersempena pemilihan Doha sebagai OIC Islamic Youth Capital 2019 (OIC IYC), kerajaan Qatar telah menganjurkan pelbagai program khusus untuk belia Islam di seluruh dunia. Antara yang baharu sahaja berlangsung adalah Doha Oasis for Innovation anjuran Kementerian Kebudayaan dan Sukan Qatar dengan kerjasama Qatar Scientific Club dan Islamic Cooperation Youth Forum (ICYF). OIC IYC adalah program tahunan di bawah inisiatif ICYF yang bernaung di bawah Organization of Islamic Cooperation (OIC). Selain berperanan membantu belia OIC mendepani cabaran moral dan sosio-ekonomi, ICYF turut berfungsi untuk menggalakkan penyertaan aktif belia Islam yang dapat dicapai menerusi penganjuran OIC IYC ini.

Bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam kalangan belia Islam, pertandingan Doha Oasis for Innovation telah dijalankan di ibu negara Qatar iaitu Doha, pada 14 – 20 September 2019. Seramai 42 orang belia daripada negara-negara OIC telah dijemput bagi mewakili negara mereka ke pertandingan ini dengan pembiayaan penuh daripada pihak penganjur. Saudari Rabiatul Adawiyah Zayadi yang merupakan pelajar Doktor Falsafah daripada Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mewakili Malaysia ke pertandingan ini dan membawa pulang pingat perak bagi kategori Young Innovator.

Pertandingan ini dijalankan dalam dua peringkat iaitu peringkat individu dan peringkat berkumpulan. Dalam peringkat individu, para peserta dikehendaki mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi mereka selama dua hari di Ali Bin Hamad Al-Attiyeh Arena. Para peserta diadili oleh para juri berprestij di peringkat antarabangsa yang diketuai oleh Encik David Farouki daripada Geneva, Switzerland. Antara kriteria penting yang diadili dalam peringkat ini adalah dari segi inovasi, pemilikan paten serta kebolehpasaran. Selain itu, para peserta juga berpeluang mengetengahkan hasil inovasi mereka kepada pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, penyelidik, pelabur, serta orang awam. Adawiyah telah membawa projek ijazah sarjananya iaitu Au/F-TiO2 Photocatalyst yang boleh digunakan untuk merawat air sisa khususnya dari industri tekstil. Maklumat lanjut mengenai hasil penyelidikannya boleh diperolehi di pautan http://bit.ly/DohaZayadi.

Selesai peringkat individu, para peserta dibahagikan kepada enam kumpulan untuk meyelesaikan tugasan berkumpulan dalam tempoh 48 jam. Aktiviti peringkat berkumpulan ini dijalankan mengikut konsep hackathon di mana setiap kumpulan dikehendaki untuk menghasilkan prototaip yang boleh dipasarkan bagi menyelesaikan satu permasalahan yang mereka pilih.  Dalam peringkat ini, para peserta dapat mendalami ilmu untuk membina startup serta mereka berpeluang menggunakan pelabagai prasarana berkelas tinggi oleh Qatar Scientific Club untuk tujuan proof of concept, membina minimum viable products serta menyiapkan prototaip mereka untuk pameran. Setiap saat dalam tempoh masa 48 jam itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta bagi memastikan objektif kumpulan mereka tercapai. Pada akhir cabaran berkumpulan, setiap kumpulan perlu membentangkan produk mereka kepada para pelabur dan mendapatkan konsultasi pakar untuk mengkomersilkan produk mereka.

Melalui pertandingan ini, para belia Islam daripada pelbagai negara dapat bertemu, bertukar pandangan dan menjalin kerjasama bagi memperkasa tenaga pakar beragama Islam. Selain menampilkan hasil inovasi para belia Islam dalam pelbagai bidang, pertandingan ini juga mampu memecahkan jurang antara pelbagai bangsa kerana para peserta berjaya bekerjsama di dalam kumpulan yang baharu sahaja mereka kenali yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan bahasa. Pertandingan seperti ini amat penting bagi menaikkan semangat daya saing dan kerjasama belia Islam yang merupakan nadi utama sesebuah negara. Amat bertepatan moto bagi Doha OIC IYC 2019 ini iaitu Youth is the Power of Nation, yang seringkali diulang sepanjang pertandingan ini kerana ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada para peserta untuk terus berbakti kepada negara dan umat Islam.

Foto ketika acara berlansung
Adawiyah di tapak pameran di Ali Bin Hamad Al-Attiyeh Arena.Adawiyah di tapak pameran di Ali Bin Hamad Al-Attiyeh Arena.

Menerangkan projek yang dibawa kepada pengunjung.

Para peserta Doha Oasis for Innovation

Para peserta semasa sesi bersama angkasawan, Dr Mary Ellen Weber.

Bersama ahli kumpulan semasa cabaran berkumpulan 48 jam. Dari kiri, Saleh (Qatar), Fortune (Benin), Anood (Mesir), Asma (Lebanon), Nihal (Sudan), dan Adawiyah (Malaysia).

Adawiyah bersama sijil dan pingat yang diperolehi ketika majlis penutup.

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.