Penyebaran Parasit Usus Manusia : Peranan Kebersihan & Hubungan antara Manusia, Haiwan dan Air

Oleh : Dr. Noradilah Samseh binti Abdullah
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM

Manusia, haiwan dan air. Tiga elemen penting yang memainkan peranan besar dalam kelancaran ekosistem. Bagi manusia, haiwan merupakan hidupan yang penting sebagai haiwan peliharaan, ternakan dan sumber makanan kepada manusia. Tanpa air, manusia tidak dapat meneruskan kehidupan kerana sekitar 60% badan manusia terdiri daripada air! Kekurangan air dalam badan manusia mengakibatkan dehidrasi yang berbahaya sekiranya tidak dikawal dengan kadar yang segera.

Dalam aspek penyakit berjangkit, hubungan harmoni antara ketiga-tiga elemen ini tidak selalunya mendatangkan kebaikan kepada manusia. Menerajui sudut pandangan bidang parasitologi perubatan, manusia, haiwan dan air boleh menjadi sumber penyakit kepada seseorang individu. Perkara ini telah dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh ramai penyelidik di seluruh dunia. Penyebaran penyakit oleh organisma yang dikenali sebagai parasit usus boleh berlaku daripada manusia yang dijangkiti kepada manusia sihat yang lain, daripada haiwan yang dijangkiti kepada manusia dan daripada air yang tercemar kepada manusia. Parasit boleh didefinisikan sebagai organisma yang memerlukan perumah untuk berkembang biak dengan menyebabkan kemudaratan kepada perumahnya. Keadaan ini berlaku kebanyakannya di kalangan komuniti yang hidup di kawasan pedalaman dengan tahap sanitasi yang kurang memuaskan dan kurang kemudahan asas seperti bekalan air yang dirawat serta tiada kemudahan sistem tandas atau kumbahan yang baik dan terancang.

Blastocystis, sejenis parasit usus yang telah dibuktikan oleh banyak kajian boleh mengakibatkan gejala seperti sakit perut, cirit-birit, kembung perut, mual dan sebagainya, paling banyak ditemui menjangkiti usus manusia. Walaupun namanya jarang atau mungkin tidak pernah didengari, namun tahukah anda bahawa lebih kurang satu bilion manusia di dunia dijangkiti parasit usus ini? Ia menjangkiti manusia melalui kontak oral-anus, iaitu dengan memakan makanan atau minuman yang tercemar dengan najis yang mengandungi Blastocystis secara tidak sengaja. Persoalan yang menjadi misteri berkenaan Blastocystis ialah kemampuan parasit ini untuk menyebabkan penyakit kepada manusia. Perdebatan berkaitan kemampuannya menyebabkan penyakit usus terjadi ekoran daripada pemerhatian terhadap kes jangkitan oleh Blastocystis di pelbagai negara di dunia. Daripada kesemua kes jangkitan yang dilaporkan, terdapat individu yang dijangkiti menunjukkan gejala penyakit. Namun begitu, tidak kurang juga individu yang tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit. Ini menimbulkan kontroversi yang berpanjangan; adakah Blastocystis berbahaya kepada manusia? Berdasarkan pelbagai kajian saintifik, kebanyakan penyelidik akhirnya bersetuju bahawa terdapat sesetengah subjenis Blastocystis yang mampu mengakibatkan penyakit kepada manusia, manakala subjenis yang lain tidak menyebabkan sebarang gejala kepada orang yang dijangkiti. Selain itu, umur, tahap imuniti badan, penyakit lain seperti kanser, AIDS, sindrom iritasi usus besar dan lain-lain merupakan antara faktor yang turut menyumbang kepada tahap keterukan gejala yang dialami oleh pesakit. Terdapat juga pesakit yang telah mempunyai penyakit pada usus mereka sebelum dijangkiti Blastocystis. Ini merupakan antara faktor penting lain yang menyebabkan individu tersebut mengalami gejala usus yang lebih teruk daripada individu lain yang mempunyai usus yang sihat.

Parasit usus Blastocystis dapat ditularkan kepada manusia melalui pencemaran najis daripada individu berpenyakit kepada individu lain, daripada haiwan kepada manusia dan melalui air yang tercemar

Dalam kajian parasit usus ini di Malaysia, didapati bahawa Blastocystis dapat disebarkan melalui hubungan rapat antara manusia yang dijangkiti parasit dengan manusia sihat yang lain melalui najis yang boleh mencemari jari, tangan, makanan, minuman dan barangan dalam rumah. Tinggal dalam sebuah rumah dengan bilangan ahli keluarga yang ramai, keadaan tempat tinggal yang tidak bersih, kurang amalan kebersihan diri serta penyediaan makanan atau minuman secara kurang bersih merupakan antara faktor yang menyumbang kepada penyebaran Blastocystis kepada individu lain.  Berkongsi tandas yang tidak mempunyai sistem kumbahan yang baik juga dapat menjadi punca penyebaran parasit ini kepada individu yang menggunakan tandas yang sama. Oleh yang demikian, kegagalan untuk memelihara kebersihan diri dan persekitaran merupakan faktor utama penyebaran parasit ini daripada seseorang individu kepada individu lain.

Selain itu, hubungan rapat antara individu dengan haiwan peliharaan telah dibuktikan dapat menyebarkan Blastocystis daripada haiwan kepada manusia. Haiwan yang dijangkiti parasit ini selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit, maka ia lebih dikenali sebagai reservoir atau sumber penyakit. Melalui pembuangan sisa najis haiwan yang tidak betul, manusia dapat dijangkiti Blastocystis dengan menyentuh atau mengendalikan najis haiwan yang boleh mencemari tangan atau anggota tubuh badan lain individu tersebut.  Sisa najis yang mungkin masih melekat pada badan haiwan juga dapat disebarkan kepada manusia melalui hubungan langsung manusia dan haiwan secara sentuhan dan belaian terhadap haiwan peliharaan mereka. Amalan tidak membasuh tangan dengan teknik yang betul selepas mengendalikan atau menyentuh najis haiwan yang mempunyai parasit dapat menyebarkan parasit ini kepada manusia.

Amalan meminum air yang telah dimasak sempurna adalah selamat kerana haba yang tinggi, terutamanya pada takat didih dapat membunuh parasit usus. Selain itu, sistem rawatan air yang sempurna dapat menyingkirkan Blastocystis daripada mencemari bekalan air. Oleh itu, komuniti yang mendapat kemudahan air yang dirawat dan meminum air yang dimasak sempurna tidak berisiko untuk mendapat jangkitan oleh Blastocystis. Masalah utama penyebaran parasit ini sering dilaporkan di kalangan komuniti yang tidak mendapat bekalan air yang dirawat. Sebagai contoh, komuniti Orang Asli, Melayu atau lain-lain yang tinggal di kawasan pedalaman selalunya tidak dibekalkan dengan air yang selamat. Komuniti ini sering membina saluran paip daripada kawasan bukit atau pergunungan yang mempunyai punca air yang bersih dan jernih. Walaupun air di kawasan bukit atau gunung ini kelihatan sangat jernih dan bersih, namun kandungannya tidak dapat dikenal pasti. Air tersebut mungkin telah tercemar oleh najis haiwan liar yang mungkin boleh menjadi sumber kepada penyakit berjangkit. Namun, walau apa sekalipun punca air, sebaran penyakit dapat dielakkan melalui amalan meminum air yang telah dididih. Walaubagaimanapun, berdasarkan komunikasi tidak formal dengan beberapa individu di perkampungan Orang Asli, terdapat ramai antara mereka yang masih gemar meminum air yang tidak dididih. Mereka menggemari rasa asli air daripada kaki bukit atau telaga. Menurut komuniti tersebut, pendidihan air yang diambil daripada pelbagai kawasan air semula jadi ini akan mengubah rasa asli air tersebut. Terdapat juga segelintir komuniti lain seperti komuniti Melayu yang masih meminum air daripada kawasan bukit dan air mata air yang dipercayai dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Air ini diminum terus tanpa dididih terlebih dahulu. Jangan kerana terlalu percaya bahawa meminum air daripada sumber semula jadi tersebut dapat menyembuhkan penyakit, namun, akibatnya perlu menanggung pula penyakit lain akibat meminum air yang berkemungkinan tercemar dengan najis haiwan liar yang mungkin mengandungi parasit usus seperti Blastocystis.  

Selain itu, oleh kerana kebanyakan komuniti Orang Asli di Malaysia terutamanya di kawasan pedalaman gemar melakukan aktiviti membuang air besar secara terbuka, amalan ini telah meningkatkan risiko najis mencemari alam sekitar. Ketika hujan, najis tersebut akan dibawa oleh air hujan dan akhirnya akan mencemari sungai, perigi, dan sebagainya. Seperti yang diketahui umum, sungai merupakan nadi kepada komuniti ini. Sungai merupakan antara sumber air utama untuk aktiviti domestik harian seperti minum, memasak, mandi, membasuh baju dan sebagainya.  Walaupun mereka mempunyai sistem paip yang menyalurkan air daripada kaki bukit atau gunung, mereka selalunya akan turut mengambil dan menyimpan air daripada sungai yang berdekatan rumah mereka, yang mana sungai yang berdekatan ini selalunya sering tercemar dengan najis mereka atau haiwan peliharaan.  Air sungai ini sering disimpan dalam bekas tertutup di dalam rumah. Apabila berlakunya angin kuat dan hujan lebat di kawasan kaki bukit, ranting kayu dan dedaun luruh akan menyumbat paip air di kawasan punca air dan menyebabkan putusnya bekalan air daripada kaki bukit untuk sementara waktu. Oleh yang demikian, komuniti Orang Asli perlu menggunakan air sungai yang disimpan dalam bekas untuk kegunaan harian. Walaupun terdapat perkampungan Orang Asli yang dibekalkan dengan air yang dirawat melalui sistem perpaipan yang terancang, namun segelintir mereka juga dilihat sering mengambil dan menyimpan air sungai berdekatan rumah untuk tujuan digunakan apabila berlaku gangguan bekalan air.

Memahami budaya, amalan hidup dan kepercayaan sesetengah komuniti atau kaum di Malaysia agak penting demi menjaga sensitiviti dan dalam masa yang sama mengekalkan komuniti yang sihat tanpa penyakit. Perkara ini mungkin merupakan antara kekangan yang sukar diatasi dalam usaha untuk membantu mengurangkan kadar jangkitan penyakit berjangkit di negara ini. Berdasarkan pengetahuan bahawa Blastocystis dapat ditularkan kepada manusia melalui tiga kaedah; manusia kepada manusia, haiwan kepada manusia dan air kepada manusia, maka pelbagai strategi dapat dilakukan untuk mengelakkan penyebaran penyakit oleh parasit ini. Peningkatan amalan kebersihan diri dan persekitaran, pembuangan sisa najis manusia dan haiwan dengan cara yang betul dan selamat serta meminum air daripada bekalan air yang dirawat dan dididih mampu mengurangkan penyebaran Blastocystis. Bersatu teguh, bercerai roboh. Tanpa usaha daripada pelbagai pihak, maka usaha mengurangkan penyebaran jangkitan parasit usus ini tidak akan dapat direalisasikan. Ayuhlah bersama memperbaiki tahap kebersihan dan kesihatan diri, keluarga dan komuniti demi kesejahteraan sejagat.

Kredit Foto : fxmedicine

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*