Penyerang Hendap Anak Padi

Oleh : Dr Hasnun Nita Ismail & Nadia Nisha Musa
Fakulti Sains GunaanUiTM Cawangan Perak Kampus Tapah

Dari kejauhan Pak Azis memandang dengan penuh kesayuan.  Luluh hatinya bila hampir serelung anak padi yang baru tumbuh menjulur sudah tidak kelihatan lagi.  Di permukaan air sawah tompokan helaian daun padi terapung-apung seolah-olah ditarah menjadi potongan kecil oleh sesuatu.  Pemandangan yang sama jua berlaku di petak-petak sawah kepunyaan Pak Mad, Pak Husin, Pak Usop dan Mak Bedah.  Seluruh kampung gempar memperkatakan kehadiran gerombolan tetamu bercangkerang yang tidak diundang. Tetamu ini bergerak di bawah air dan menyerang secara senyap anak-anak padi yang baru 2 minggu muncul. Di pinggir ban dan sepanjang dinding simen tali air kelihatan melekat kelompokan kecil dengan warna merah jambu.  Inilah jambakan telur-telur tetamu bercangkerang yang dikenali sebagai siput gondang emas (SGE).

Siput Gondang Emas adalah spesies pendatang yang berasal dari satu kawasan berpaya beriklim tropika dan sub-tropika di benua Amerika Selatan iaitu Argentina dan Brazil. Penyebaran keluar daripada habitat asal ke negara-negara di sekitar benua Asia, Amerika Utara dan Eropah adalah bertujuan komersial sebagai sumber makanan berprotein, kawalan rumpai dan dijadikan spesies hiasan dalam industri akuaria. Walau bagaimanapun, pengenalan SGE sebagai sumber makanan tidak mendapat sambutan baik di kalangan penduduk tempatan. Di dalam industri hiasan akuaria, siput ini juga bersaing kuat dengan spesies siput-siput hiasan yang lain. Akhirnya apabila tiada nilai komersial, ianya dibuang ke dalam sistem pengairan tempatan tanpa mengambil kira impak kepada sistem ekologi dan biodiversiti di habitat yang baharu.

Mari kita pelajari secara ringkas mengenai taksonomi dan kitaran biologi populasi ini. Pengkelasan rasmi taksonomi SGE adalah seperti berikut:

Golongan SGE adalah dari kalangan siput ampullariid di bawah genus Pomacea yang mempunyai satu cangkerang bersimpul dan berwarna antara kuning keemasan, coklat kehijauan sehingga perang gelap. Antara spesies SGE yang paling terkenal di sekitar negara-negara Asia Tenggara adalah daripada spesies Pomacea canaliculata dan Pomacea maculata. Kebiasaannya, siput-siput ampullariid adalah bersifat hermafrodit di mana satu individu mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina.  Kelainan terdapat dalam kumpulan SGE kerana terdapat pengasingan jantina antara individu jantan dan individu betina. Perbezaan fizikal antara individu jantan dan betina lebih jelas ketampakannya melalui bentuk operkulum yang menjulur panjang dari pandangan sisi jika di bandingkan dengan individu betina. Individu betina juga bersaiz lebih besar jika dibandingkan dengan individu jantan (Gambar 1).

SGE hidup dalam habitat yang mengandungi sistem air tawar seperti sungai, tasik, paya dan sistem perparitan. Kitaran hayat bagi SGE boleh menjangkau lebih daripada 4 tahun jika populasi ini berada dalam sekitaran yang sesuai dan bebas dari gangguan. Pembiakan populasi adalah secara seksual melibatkan proses mengawan yang sangat panjang (10-18 jam). Semua aktiviti mengawan berlaku di dalam habitat berair tetapi apabila individu betina ingin bertelur, beliau akan merayap keluar dari permukaan air dan bertelur di atas batang kayu, ranting, ataupun di antara dedaun rumpai. Individu betina aktif bertelur di penghujung malam sehingga ke fajar pagi. Kelompok telur-telur baru berwarna merah jambu akan berubah ke warna putih apabila sampai waktu untuk penetasan. Tempoh penetasan biasanya mengambil masa antara 2-3 minggu dan ianya sangat bergantung kepada suhu di persekitaran. Anak-anak siput yang baharu menetas telah mempunyai cangkerang yang nipis dan ianya perlu hidup di dalam air (Gambar 2). Diet bagi anak-anak siput yang baharu lahir ini adalah terdiri daripada mikroalga, humus atau bahan-bahan reputan yang terdapat di dalam air. Anak siput mengambil masa antara 1-3 bulan untuk mencapai kematangan seksual dan ini boleh dilihat apabila saiz operkulum melebihi daripada 25 mm. Seekor siput betina yang matang boleh bertelur beberapa kali di sepanjang hayatnya.

Gambar 2: Kitaran hidup siput gondang emas melibatkan habitat berair dan daratan

Di negara kita, status SGE adalah perosak utama yang menyerang anak-anak padi berumur di bawah 40 hari. Lebih dari itu, SGE juga telah dinobatkan di antara 100 spesies perosak yang paling invasif di seluruh dunia yang mencetuskan kebimbangan terhadap petani-petani di seluruh negara China, Jepun, Filipina, Vietnam, Laos, Thailand dan Indonesia. Penemuan pertama populasi SGE di negara kita, Malaysia telah direkodkan berlaku pada sekitar Puchong dan Subang, Selangor serta di wilayah Pengkalan Semeling, Kuala Muda, Kedah dalam tahun 1991. Kelompok telur haiwan ini didapati melekat pada rumpai di sekeliling kawasan tasik peninggalan lombong bijih timah dan sawah-sawah padi. Adalah dipercayai kemasukkan SGE ke negara kita berpunca secara tidak sengaja daripada aktiviti mengimport sayur-sayuran daripada negara jiran, Thailand. Keadaan lebih buruk terjadi daripada peristiwa banjir besar pada tahun 2005 dan 2010 yang menambah kepada faktor penyebaran siput-siput ini daripada Thailand ke negeri-negeri jelapang padi di utara Semenanjung Malaysia. Penyebaran siput-siput ini ke kawasan penanaman padi di bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia berpunca daripada sistem pengairan dan pergerakan jentera ladang seperti jentuai dan traktor pembajak. Dokumentasi yang direkodkan oleh pihak MARDI dan MADA menunjukkan bahawa dalam tempoh 10 tahun dari penemuan pertama SGE di Malaysia, siput-siput ini semakin mengganas sehingga membawa kerugian secara besar-besaran ke seluruh sektor penanaman padi kebangsaan.  Serangan lebih agresif berlaku di kawasan penanaman menggunakan kaedah padi tabur daripada kaedah tradisional. Kerugian yang telah direkodkan pada tahun 2009 adalah melebihi daripada RM43.5 juta manakala pada tahun 2011 kerugian meningkat kepada RM369.7 juta.

Semenjak itu, pihak yang bertanggungjawab seperti MARDI, KADA, MADA dan sebagainya telah memperkenalkan kaedah Pengurusan Perosak Bersepadu dengan menggabungkan 4 kaedah utama iaitu kaedah kultura, kaedah fizikal, kimia dan biologikal. Kaedah kultura melibatkan pengawalan paras air di dalam kawasan penanaman manakala kaedah fizikal sangat memerlukan tenaga kerja bagi mengutip secara manual siput-siput dan kelompok telur sebelum dimusnahkan. Kaedah kimia adalah yang paling banyak digunakan mengunakan semburan racun siput mengandungi niklosamida, metaldehyde, fentin acetate dan kuprum sulfat. Walau bagaimanapun kaedah ini berdepan dengan masalah apabila siput-siput ini mula menjadi rintang terhadap dos kimia yang digunakan. Akhirnya para petani terpaksa meningkatkan dos semburan sehingga boleh mengundang bahaya terhadap spesies-spesies bukan sasaran. Kaedah akhir secara biologikal melibatkan penggunaan haiwan-haiwan pemangsa seperti ikan karp, spesies itik Mallard dan Khaki Campbell, semut api dan spesies penyu kecil bercangkerang lembut. Kawalan biologi juga dibantu dengan kehadiran burung-burung migrasi yang mencari siput-siput ini sebagai makanan.

Sungguhpun kaedah Pengurusan Perosak Bersepadu telah berjaya mengurangkan kadar kemusnahan anak-anak padi, populasi SGE tetap merebak dari satu kawasan ke kawasan baharu yang lain. Lalu, bagaimana spesies ini boleh hidup tegar, membiak dan cepat tersebar di habitat baharu dengan pelbagai iklim di benua Asia?

SGE memiliki dua jenis organ pernafasan yang membolehkan mereka hidup di dalam air dan di daratan. Jika ditinjau dari segi anatomi, SGE memiliki organ insang untuk membolehkan mereka bernafas di dalam air. Dalam masa yang masa SGE memiliki organ paru-paru yang digunakan untuk pernafasan di daratan. Kebolehan ini menyebabkan populasi ini kekal mandiri sekiranya habitat berair bertukar menjadi kekeringan. Kajian oleh saintis Barat mendapati SGE boleh bertahan lama sekiranya tertimbus di dalam kekeringan di antara 46 hari sehingga 10 bulan lamanya. Malahan, mereka boleh bertahan bergerak dalam kekeringan selama 3 jam dengan kadar kelajuan 2 meter/jam. Sifat semulajadi ini menjanjikan kesinambungan hidup yang tegar di kawasan Asia Tenggara yang silih berganti di antara musim hujan dan kemarau panjang.

Walaupun sistem pembiakan SGE secara seksual dengan melalui proses mengawan antara individu jantan dan betina, hasil daripada satu aktiviti pengawanan sudah cukup untuk kesinambungan generasi seterusnya. Seekor individu betina mampu menghasilkan telur dalam jumlah yang sangat banyak (lebih daripada 500 biji dalam satu kelompok).  Malahan, siput betina juga mampu menyimpan baki-baki sperma hasil daripada pengawanan yang lalu untuk persenyawaan telur-telur baharu. Tidak perlu selalu mengawan untuk menghasilkan telur tersenyawa!

Kebanyakkan negara-negara Asia adalah terkenal dengan kepelbagaian spesies tumbuhan yang tinggi. Dengan semulajadinya, menyediakan habitat yang sangat kondusif bagi spesies pendatang seperti SGE. Julat pemakanan SGE juga meluas meliputi pelbagai spesies rumput-rumpai akuatik. Ini termasuklah rumpai seperti keladi bunting, kangkong air, teratai, selada air, kiambang, kubis air dan termasuklah tanamanan komersial seperti anak-anak pokok padi. Satu kajian di Thailand yang melibatkan 14 kawasan berair mendapati bahawa populasi SGE boleh meragut kesemua spesies tumbuhan akuatik sehingga menyebabkan perubahan ekosistem yang ketara. Ketiadaan spesies rumpai air akan menyebabkan kandungan nutrien di dalam air meningkat tinggi dan akibatnya letusan alga akan berlaku sehingga menjejaskan kualiti air. Pengenalan SGE sebagai kawalan rumpai di Negara Jepun juga berakhir dengan tragedi kerosakan kepada habitat semulajadi. Jika di dalam kawasan penanaman padi, dengan bilangan 5 ekor SGE dewasa sudah cukup memusnahkan kesemua anak padi dengan keluasan 1 meter persegi hanya untuk satu malam.

Selain daripada penyebab kepada kepupusan biodiversiti, SGE juga mempunyai kitar hidup yang bersimbiosis dengan sejenis cacing daripada kumpulan nematod dan trematod. Cacing ini hidup sebagai larva serkaria di dalam badan siput dan memerlukan organisma hos kedua untuk melengkapkan kitaran hidupnya. Manusia adalah termasuk dalam kumpulan organisma hos kedua bagi cacing ini. Jangkitan cacing ini boleh berlaku apabila manusia memakan SGE secara mentah seperti yang dilakukan oleh penduduk di Negara China. Akibatnya, larva ini akan bermigrasi melalui sistem darah sehingga ke sistem saraf dan otak. Dalam masa 1-3 hari, pesakit akan mengalami simptom muntah-muntah, ketegangan leher, sakit kepala, demam dan lemah badan.  Penyakit ini dikenali sebagai “Angiostrongylysis”. “Schistosomiasis” pula adalah penyakit bawaan cacing trematod (Gambar 3) yang membawa kepada simptom-simptom seperti kesakitan abdomen bermula dari tulang rusuk sehingga bahagian pelvik, najis berdarah, demam, pembentukan ruam dan sakit kepala.

Gambar 3 : Pemeriksaan mikroskopik mendapati larva-larva serkaria cacing nematod di dalam sistem pembiakan siput gondang emas (400x kuasa pembesaran).

Kesimpulannya, kehadiran spesies pendatang ini telah membawa kepada pelbagai kesan kepada sistem ekologi, ekonomi dan biologi manusia. Sehingga kini, para petani masih lagi berperang dengan populasi SGE yang semakin tegar sebagai perosak utama dalam sektor penanaman padi. Sudah tentulah pertambahan populasi SGE akan memberi lebih peluang kepada pembiakan cacing nematod dan trematod yang merupakan parasit dalam badan haiwan pemangsa SGE seperti ikan, itik dan burung.  Akhirnya, manusia dijangkiti cacing parasit ini samada secara langsung atau tidak langsung menerusi sistem rantaian makanan atau aktiviti di kawasan berair. Jalan penyelesaian bagi membasmi populasi SGE masih belum kelihatan. Maka, tidak hairanlah wujudnya sistem keselamatan yang ketat di pintu masuk kebanyakkan negara khasnya, bagi memastikan tiada sebarang bentuk ancaman yang berlaku di kemudian hari. Ibaratnya seperti ‘mencegah lebih baik daripada menyembuh’.

Kredit Foto : psirob/adobestock

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.