Peranan Enzim Dalam Buah-Buahan

Oleh: Dr Nuramalina Binti Mohd Amin
Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Islam Sains Malaysia

Enzim terdiri daripada protein yang bertindak sebagai pemangkin organik dalam organisma hidup. Ia dapat mengatur tindak balas kimia tanpa merosakkan strukturnya sendiri. Proses pemangkinan oleh enzim adalah bersifat spesifik, di mana setiap enzim mempunyai struktur tertentu yang dikenali sebagai tapak aktif. Molekul substrat yang mempunyai ciri sepadan dengan tapak aktif enzim sahaja, yang akan membolehkan tindak balas berlaku, seterusnya membentuk kompleks enzim-substrat.

Proses biologi yang berlaku dalam semua organisma hidup adalah bergantung kepada tindak balas biokimia di dalam sel, dan kebanyakannya dikawal oleh enzim. Kewujudan enzim membolehkan kebanyakan tindak balas ini berlaku pada kadar yang dapat dilihat. Enzim berperanan untuk memangkinkan semua aspek metabolisma sel. Antaranya adalah proses pencernaan makanan, di mana molekul nutrien yang besar seperti lemak, protein dan karbohidrat dipecahkan menjadi unsur yang lebih kecil, seterusnya membentuk perubahan tenaga kimia.

Terdapat enzim yang terhasil di dalam tubuh, sementara ada yang turut diperolehi daripada pengambilan makanan. Terdapat tiga jenis enzim utama untuk pencernaan, antaranya protease, lipase dan amilase, yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri, termasuk memecahkan protein menjadi peptida kecil dan asid amino, memecahkan lemak menjadi asid lemak dan gliserol, serta mengurai karbohirat kepada kanji dan gula ringkas. Terdapat juga enzim yang dihasilkan di dalam usus kecil, seperti laktase, maltase dan sucrase. Sekiranya badan tidak memperoleh enzim pencernaan yang mencukupi, molekul makanan tidak boleh dicerna dengan betul. Ini boleh mengakibatkan gangguan pencernaan seperti intoleransi laktosa.

Akan tetapi, tahukah anda bahawa enzim-enzim ini juga terdapat pada buah-buahan?

Nanas, mangga, betik dan pisang merupakan buah-buahan yang mudah diperolehi di Malaysia yang masing-masing mengandungi enzim-enzim tertentu ini. Nanas misalnya, mengandungi sekumpulan enzim pencernaan protease yang dipanggil bromelain, yang membantu memecahkan protein menjadi asid amino. Mangga mengandungi enzim amilase, yang menguraikan karbohidrat kepada gula ringkas seperti glukosa dan maltosa. Pisang mengandungi amilase dan glucosidase, dua enzim yang mencerna kanji kompleks ke dalam gula yang mudah diserap. Seperti nanas, betik juga mengandungi protease yang membantu mencernakan protein. Walau bagaimanapun, ia mengandungi kumpulan protease yang berbeza yang dikenali sebagai papain. Oleh itu, walaupun tubuh menghasilkan enzim, pengambilan makanan yang tinggi dengan enzim pencernaan seperti buah-buahan semulajadi ini juga dapat membantu untuk memperbaiki dan melancarkan proses pencernaan. Sekaligus, menerangkan akan kebaikan pengambilan buah-buahan dalam pemakanan seharian.

Enzim papain yang terkandung di dalam betik

Rujukan

  1. Bandana Chatterjee and Anshuman Sharma., 2018. Fruit enzymes and their application: A review. International Journal of Clinical and Biomedical Research, 4(2): 84-88.
  2. Ezekiel Amri and Florence Mamboya., 2012. Papain, a plant enzyme of biological importance: A review. American Journal of Biochemistry and Biotechnology, 8(2): 99-104.
  3. https://www.healthline.com/nutrition/natural-digestive-enzymes#section1

Kredit Foto :
wikipedia
elist10
vitalgrana

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.