Peranan Semut Dalam Mengenali Pencipta

Oleh : Halis Fadil & Dzulhelmi Nasir

Semut- An Naml النّمل

Sebagai orang islam yang cerdik, apa-apa sahaja perkara yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran mempunyai keunikan dan rahsia yang amat mendalam. Perkara ini tidak dinafikan kerana Al-Quran adalah  sumber primer yang menjadi rujukan para saintis islam yang terdahulu bahkan sains ialah perkara yang membenarkan akan kesahihan perkara yang dinyatakan dalam Al-Quran itu sendiri.

Saintis telah mengkelaskan  semut dalam Class: Insekta dan Order: Hymenoptera dan terdapat lebih 13,000 spesies telah dijumpai di pelbagai habitat di serata dunia.Dari sudut teknologi, kumpulan buruh, hierarki organisasi, rangkaian komunikasi, disiplin, perancangan pembangunan dan strategi ketenteraan merupakan antara perkara yang boleh dipelajari daripada semut yang terdapat di muka bumi ini.Mengenalpasti semut adalah perkara yang mudah iaitu daripada morphologinya yang mempunyai pinggang yang ramping, sepasang antenna, mandibel dan berkaki enam. Semut juga merupakan serangga yang mempunyai kaitan dan sejarah persamaan dengan penyengat sebab itu sesetengah semut masih lagi mempunyai sengat di hujung abdomen akibat daripada evolusi tersebut. Umumnya, semut tidak mempunyai sayap, tetapi untuk semut pembiakan berkebolehan untuk terbang. Sayap digunakan semasa “nuptial flight” iaitu selepas waktu hujan akan ada kelkatu berterbangan kerana pada masa ini tanah akan menjadi lebut sesuai untuk semut ini mengkorek tanah untuk bertelur dan keadaan panas lembab memudahkan semut terbang. Tetapi ada perbezaan antara kelkatu “flying ants” dan kelkatu “flying termites”. Flying ants biasanya lebih besar, berwarna hitam dan lebih jelas mandibelnya.

Kunci kepada kemandirian spesies semut adalah kehebatan mereka dalam berinteraksi secara mutualisme, parasitisme, persaingan atau simbiosis dengan flora dan fauna lain. Antaranya, garden-ant mampu mencari benih tumbuhan perumahnya dengan mengesan sebatian tertentu dan secara tidak langsung menjadi agen penyebaran benih tumbuhan tersebut. Semut akan melindungi perumah tumbuhannya dengan cara menghalau atau membunuh serangga lain, mengalihkan gangguan yang boleh menyebabkan perumah rosak dan pada masa yang sama menyediakan nutrisi yang diperlukan iaitu makanan semut sendiri yang dibawa masuk ke dalam perumah tumbuhan tersebut. Tambahan juga, ada beberapa jenis spesies semut yang mampu hidup di dalam sarang spesies semut lain. Ia berperwatakan secara ‘chemical camouflage’ dan bergerak secara ‘halimunan’ semasa berada di dalam sarang kepada spesies semut tesebut. Apabila berjaya memasuki sarang itu, semut ini akan mencuri makanan yang terdapat di dalam sarang itu. Selain itu, yang menariknya hanya semut dan manusia membela haiwan untuk manfaat kehidupan masing-masing. Salah satu semut  merupakan ghost ant (Tapinoma Melanocephalum) yang membela mealy bug (Phenacoccus solenopsis), serangga kecil ini yang menghisap cecair pokok dan menghasilkan honey dew yang menjadi makanan kepada mereka. Hubungan mutualistik ini sangat menguntungkan semut kerana memberi sumber makanan kepada mereka. Jadi, pengembala mealy bug ini, sangat menjaga gembalaannya. Mereka akan menjaga mealy bug ini seperti mereka membesarkan larva mereka.

Dengan anggaran melebihi 10,000 trillion individu, bilangan semut hampir sama dengan biojisim jumlah manusia. Maka, jika manusia berkeluarga, bagi semut pula keluarga dipanggil koloni. Dalam satu sarang hanya ada satu koloni iaitu mereka daripada induk yang sama. Secara umumnya, satu koloni dibina oleh satu ratu semut (queen). Oleh itu, semut dalam koloni yang sama boleh mengesan kehadiran  semut daripada koloni lain daripada bau yang berbeza. Ratu semut akan menyimpan sperma dalam spermathecae sebelum menggunakanya. Maka, perkara pertama yang semut betina buat ialah membina generasi semut pekerja (worker ant) untuk membina koloni semut yang baru. Oleh itu, semut senantiasa bekerja secara berkumpulan dan semut menjadi sangat efisen apabila tugas mereka dilakukan dengan secara berkumpulan(berjemaah). Begitu jugalah kehidupan manusia yang perlu hidup berorganisasi. Sayyidina Nu’man Bin Basyir rhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Berada bersama jemaah ialah rahmat dan berpecah belah ialah azab (Musnad Ahmad, Bazzar: Majma’uz-Zawaaid). Kehidupan yang sangat teratur ini telah ditertibkan oleh Allah taala supaya menjadi suatu keselamatan dan cara semut hidup. Ini telah menjadi tertib dalam kehidupan mereka untuk melaksanakan sesuatu tugas dengan penuh dedikasi.

Dalam pembinaan sarang semut dan terowong di dalam tanah, semut akan mengalihkan zarah-zarah tanah dari satu tempat ke tempat lain. Mereka juga membawa masuk buangan organik dan sumber makanan ke dalam sarang mereka. Aktiviti-aktiviti semut ini secara tidak langsung mengakibatkan peralihan bahan organik dan nutrisi-nutrisi tertentu yang membantu menambahbaikkan struktur tanah, peredaran udara dan air akan bertambah baik. Maka, tanah akan menjadi lebih subur dan tumbuh-tumbuhan akan tumbuh dengan sihat kerana mendapat nutrisi, udara dan air yang secukupnya di kawasan tersebut.

ARTIKEL BERKAITANBagaimana Tumbuhan Berevolusi jadikan Semut Sebagai Hamba
ARTIKEL BERKAITANKeunikan Semut

Secara amnya, kebanyakan flora dan fauna akan terkesan dengan aktivi-aktiviti manusia seperti penebangan hutan untuk pertanian dan pembangunan yang akan mengakibatkan gangguan ekosistem. Namun begitu, jika dibandingkan dengan invertebrata lain, semut mampu beradaptasi dan mempunyai daya tahan kepada kesan pencemaran alam sekitar, hal ini membolehkan mereka kembali semula dan hidup pada kawasan yang mengalami gangguan ekosistem.

Kehadirannya sering kali dirasakan sebagai menganggu kehidupan manusia kerana semut merupakan serangga yang sering muncul dalam bekas gula didapur. Tapi hakikatnya semut adalah makhluk yang memudahkan kehidupan manusia secara tidak langsung tanpa kita sedari. Semut sebenarnya adalah salah satu agen pengurai yang sangat penting. Di dalam rumah, mereka menjadi agen pengawal serangga yang tidak disukai manusia seperti lipas, lalat, anai-anai dan pijat perosak dengan mencari dan memakan telur dan larvanya. Mereka juga memakan buangan organik atau haiwan yang telah mati dan membantu dalam memastikan persekitaran bersih.

Dalam strategi ketenteraan, operasi kententeraan manusia boleh dikatakan hampir sama dengan peperangan antara spesies semut. Semut yang dipilih untuk berada di barisan hadapan akan melawan pihak musuh sehingga ke titisan akhir dan tidak akan melarikan diri semasa pertempuran dalam peperangan berlaku. Meletakkan semut-semut yang boleh diganti dengan mudah di barisan hadapan merupakan antara strategi yang sering digunakan. Kemudian, dengan bilangan yang sedikit, pada barisan belakang dan seterusnya, semut-semut yang lebih gagah dan hebat akan menyerang dan menghabiskan musuhnya. Kematian dan pengorbanan bagi setiap semut dalam mempertahankan kawasannya merupakan suatu penghormatan bagi koloni semut tersebut. Begitu juga strategi ketenteraan yang diamalkan oleh manusia di dalam medan pertempuran. Niat untuk mati syahid dalam melindungi nyawa, harta, keturunan dan agama adalah antara cita-cita setiap orang yang beragama islam inginkan.

Walaupun perkataan semut itu hanyalah beberapa kali sahaja disebut dalam Al-Quran ul-Karim tetapi ibrah yang kita dapat ambil daripada kisah tersebut sangat banyak walaupun sekecil-kecil semut yang mungkin hanya dipandang enteng oleh manusia kerana saiznya. Allah SWT mahu kita berfikir tentang ciptaanNYA yang sangat terperinci. Allah SWT berfirman : Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”. (Surah Ali ‘Imran: 190-191).

Apa ibrah yang kita boleh ambil daripada kisah semut yang diceritakan dalam Al-Quran?

Surah ke-27 dalam Al-Quran ini mengandungi 93 ayat yang diturunkan di bumi yang mulia Makkah Al-Mukarramah.  Allah SWT menceritakan kisah semut khusus dalam ayat 18 dan 19. Dinukilkan bahawa Allah SWT yang Maha Ihsan telah menyelamatkan satu lembah semut daripada terpijak oleh bala tentera kerajaan Nabi Sulaiman Alaihis-Salam. Sesungguhnya Allah SWT, mahu mendidik diri kita untuk menerapkan sifat ihsan terhadap binatang walaupun terhadap sekecil-kecil haiwan berkaki enam ini supaya terbela haknya. Ini bermakna walaupun sekecil mana makhluk Allah SWT itu, kita sebagai manusia yang mempunyai akal yang waras harus bertimbang rasa dengan makhluk-makhluk yang Allah SWT cipta disekeliling kita. Jika hak makhluk yang sekecil ini pun Allah SWT bela, inikan pula “Ashraful Makhluqat”, manusia ialah sebaik-baik ciptaan perlu bersifat ihsan dan dilayan dengan penuh kasih sayang.

Sayyidina Ubadah Bin Samit rhu berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda dalam hadis qudsi bahawa Allah SWT berfirman , “Cinta-Ku  wajib ke atas orang-orang yang saling berkasih sayang antara satu sama lain semata-mata kerana-Ku, cinta-Ku wajib ke atas orang-orang yang saling mengambil berat antara satu sama lain kerana-Ku, cinta-Ku wajib ke atas orang-orang yang saling menziarahi antara satu sama lain kerana-Ku dan cinta-Ku wajib ke atas orang-orang yang saling beri memberi antara satu sama lain kerana-Ku. Mereka akan berada diatas mimbar-mimbar nur (cahaya) . Para nabi dan siddiqin akan cemburu dan kagum terhadap martabat mereka yang istimewa itu.”(Ibnu Hibban).

Sungguh jelas bahawa sifat ihsan terhadap haiwan adalah suatu perkara dituntut dalam agama walaupun terhadap kecil-kecil haiwan seperti semut. Jika sesuatu haiwan itu tidak mengancam atau menganggu keselamatan dan kesejahteraan hidup kita, maka tidak sepatutnya kita sebagai manusia yang berakal untuk membunuh haiwan sewenang-wenangnya. Oleh itu, sifat ihsan yang diajar oleh Allah SWT kepada kita perlu kita dalami dan hayati kerana faktor utama bagaimana musyrikin Mekah dan Madinah memeluk agama Islam secara berbondong-bondong adalah daripada sifat ihsan dan kasih sayang. Begitu juga, bagaimana negara cina boleh terima islam sewaktu usaha agama yang para sahabat rhum laksanakan adalah dengan sifat ihsan dan kasih sayang.

Disamping itu juga, disebabkan semut dan lebah mempunyai tali persamaan dalam kekeluargaan, jadi sifat lebah yang selalu mencari madu turut menjadi satu persamaan dimana semut kebanyakan situasi suka mencari benda yang manis. Mana-mana kawasan yang terpalit sesuatu yang manis, dalam beberapa minit sahaja pasti kawasan itu akan dikerumuni oleh semut. Oleh itu, ibrah yang dapat diambil daripada etologi semut ini adalah, kita sebagai manusia yang dididik oleh Baginda Nabi SAW hanyalah untuk hanya mencari-cari “kemanisan” atau kebaikan manusia dan jangan lihat keburukan manusia. Kehidupan manusia akan menjadi aman dan bahagia apabila manusia mengamalkan sifat untuk melihat kebaikan manusia.

Penaakulan yang dapat kita ambil daripada apa yang diceritakan dalam Al-Quran dan pengetahuan daripada etologi semut adalah semut adalah makhluk yang Allah SWT ciptakan mempunyai sifat yang sangat rajin. Kosisten terhadap perkerjaan kita seharian walaupun nampak kecil tapi impak yang dihasilkan akan nampak sangat besar sekiranya dilaksanakan dengan satu perancangan yang teratur. Semut juga merupakan makhluk Allah SWT yang mana hendaklah kita mengamalkan sifat ihsan terhadap mereka dan inikan pula haiwan-haiwan yang lain yang kita bela untuk makanan , kerana mereka juga makhluk Allah yang perlu dijaga haknya yang telah syariat ajar kepada kita. Semoga Allah SWT beri seluruh manusia sifat ihsan terhadap semua makhluk Allah SWT. Allahumma Amin.

Latarbelakang Penulis

1. Halis Fadil telah memperolehi Master (Aquakultur) di Universiti Malaysia Terengganu. Kini bekerja sebagai Eksekutif, Keselamatan & Kesihatan di Top Glove Sdn Bhd.
2. Dzulhelmi Nasir telah memperolehi PhD (Ekologi & Biodiversiti) di Universiti Malaya..Beliau kini bekerja sebagai Pegawai Penyelidik (Biodiversiti) di Lembaga Minyak Sawit Malaysia

Kredit Foto : Dzulhelmi Nasir

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*