Peranti OnePlus 5G Akan Berharga RM1250 Lebih Mahal Banding OnePlus 6T

OnePlus 6T adalah peranti terkini dari OnePlus. Minggu hadapan, OnePlus akan hadir dengan OnePlus 6T edisi khas bertemakan McLaren. Ia dikatakan akan menggunakan RAM 10GB dan storan 256GB. Kemudian, baru-baru ini – pada pelancaran Snapdragon 855, OnePlus dikatakan adalah pengeluar pertama dengan cip pemproses ini.

Seperti yang semua sedia maklum, Snapdragon 855 hadir dengan sokongan 5G. Untuk peranti OnePlus yang menyokong 5G, CEO OnePlus Pete Lau mengatakan ia akan berharga sekitar $200-$300 lebih mahal. Ini adalah RM833- RM1250 lebih mahal. Jika dibandingkan dengan harga OnePlus 6T di Malaysia , harga peranti OnePlus dengan sokongan 5G ini boleh mencapai dari RM3291 – RM3708 seunit. Peta Lau sendiri sedar, harga ini agak tinggi dan mahal. Tetapi mereka ingin teruskan juga kerana, peranti OnePlus dengan sokongan 5G diminta oleh ramai peminat OnePlus.

Menurut Pete Lau lagi, mereka masih belum jumpa jalan penyelesaian untuk jadikan OnePlus dengan sokongan 5G ini dijual secara global. Ini kerana frekuensi pada band rangkaian 5G ini adalah berbeza. Kemudian, peranti OnePlus dengan 5G ini pula dibina berasaskan spektrum 5G yang paling perlahan kelajuannya – iaitu sub-6. Walaupun perlahan, ia meliputi kawasan yang luas. Buat masa ini hanya syarikat telekomunikasi EE di Eropah sahaja yang menggunakannya.

Pihak EE, turut sudah menerima unit OnePlus dengan 5G ini untuk diuji. Jika dilihat dari gambar yang wakil EE kongsi di Twitter, ia mempunyai takuk yang lebih bulat. Apakah pendapat anda pembaca Amanz? Adakah anda akan beli peranti OnePlus jika harganya mencecah lebih RM3000?

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.