Perjalanan Klorokuin & Hidrosiklorokuin Untuk Rawatan Covid-19

Oleh :  ChM Dr Fatimah Binti Salim
Institut Atta-ur-Rahman UITM

Klorokuin dan bahan kimia terbitannya, hidroksiklorokuin, adalah ubat yang digunakan di seluruh dunia lebih dari 70 tahun. Kedua ubat ini adalah sebahagian daripada model ubat-ubatan penting yang disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation- WHO). Harganya juga murah dan mempunyai profil keselamatan klinikal yang mantap.

Klorokuin merupakan ubat yang dijual di bawah jenama Aralen, juga terdapat dalam bentuk generik. Ianya boleh didapati dalam bentuk tablet asalnya atau berbentuk garam fosfat untuk rawatan dan pencegahan malaria serta amebiasis. Antara kesan sampingan yang telah direkodkan adalah kerosakan tetap pada retina, gangguan dan kerosakan pendengaran, peningkatan rembesan enzim pada hati, kehilangan selera makan, muntah, mual, dan cirit-birit.

Hidroksiklorokuin pula adalah ubat yang digunakan untuk arthritis dan juga untuk merawat serta mencegah malaria. Ianya juga dijual dalam bentuk tablet asalnya dan garam sulfat dengan jenama Plaquenil atau ubat generik lain. Pun begitu, berbanding klorokuin, hidroksiklorokuin bersifat kurang toksik. Antara kesan sampingan hidroksiklorokuin yang dilaporkan adalah kerengsaan, sakit kepala, lemah badan, pemutihan dan keguguran rambut, sakit perut, pening, sakit otot, mual, dan gatal-gatal.

Sehingga kini, mekanisma tindakan klorokuin dan hidroksiklorokuin terhadap parasit malaria masih belum diketahui secara jelas. Namun, dipercayai keduanya menghalang parasit ini daripada memecahkan (memetabolisma) komponen hemoglobin pada sel darah merah manusia. Kedua-dua ubatan ini berkesan terhadap parasit malaria Plasmodium vivax, Plasmodium malariae, Plasmodium ovale, dan strain rentan Plasmodium falciparum. Bahagian aktif pada struktur molekul mereka merupakan rantaian sisi amina sekunder (rujuk Rajah 1). Kedua-dua ubat ditukarkan secara kimia (metabolisma) di dalam badan kepada komponen aktifnya iaitu desethylchloroquine (DSC) dan bisdesethylchloroquine (BDSC) (Rajah 2). Selain daripada pesakit psoriasis, ubatan ini selamat diambil oleh wanita hamil, ibu menyusu dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, disebabkan ubat ini lambat dikumuhkan oleh badan, maka dos yang ditetapkan harus dipatuhi untuk mengelakkan kesan ketoksikan.

Rajah 1: Struktur Molekul Klorokuin, R = CH3 dan Hidroksiklorokuin, R = CH2-OH Rajah 2: Jalur Metabolik Putatif Klorokuin dan Hidroksiklorokuin dalam Badan (Sumber| : Chegg.com pada 18 Jun 2020)

Klorokuin dan hidroklorokuin sedang dikaji untuk rawatan dan pencegahan penyakit koronavirus 2019 (COVID-19). Perjalanan kedua ubat ini bermula daripada pendapat pakar kerana sifat anti-radang dan keupayaan meregulasi sistem imuniti (imunomodulator). Seterusnya disokong oleh dapatan kajian tabung uji yang menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan 90 % replikasi SARS-CoV-2 (virus penyebab COVID-19) dengan kepekatan berkesan (effective dose- EC90) pada 6.90 μM. Dos ini juga mudah dicapai dengan dos piawai. Hidroklorokuin dilaporkan lebih kuat daripada klorokuin dalam menghambat virus SARS-CoV-2. Sasaran tepat kedua ubatan ini belum lagi dapat dipastikan. Namun, disebabkan keupayaan mereka dalam menembusi tisu paru-paru dengan baik, mereka dikatakan mampu mengubah tahap pH permukaan sel membran seterusnya menghindar interaksi virus dengan tapak aktif pada sel. Ini semestinya akan mengelakkan virus dari masuk dan menjangkiti sel.

Timbang tara antara risiko-manfaat, dan harga ubat klorokuin dan hidroklorokuin yang murah untuk rawatan COVID-19 adalah kelebihan kepada sistem penjagaan kesihatan yang sangat tertekan di negara-negara berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah. Tambahan pula, data dan bukti pra-klinikal adalah mencukupi dalam menilai tahap keselamatan kedua ubat ini bagi melayakkan ia melalui kajian fasa klinikal untuk merawat COVID-19. Memandangkan keadaan semasa yang sangat memerlukan ubat yang boleh merawat pesakit COVID-19, pemilihan klorokuin dan hidroklorokuin adalah bertepatan dan  layak melalui fasa penilaian etika kajian segera (emergency use authorization – EUA). Kedua ubat ini juga sebenarnya telah mendapat kelulusan dari FDA untuk diberikan kepada pesakit yang bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Ketika ini, beberapa kajian klinikal sedang dilakukan ke atas pesakit COVID-19 di China, Amerika Syarikat, dan negara-negara lain. Namun pada masa yang sama maklumat mengenai keberkesanan sebenar kedua ubatan ini dalam merawat atau mencegah penyakit tersebut masih lagi diperlukan. Setakat ini, terdapat laporan mengenai keupayaan klorokuin dan hidroklorokuin dalam menghalang virus daripada terus merebak dalam badan dan memendekkan tempoh masa sakit. Namun, terdapat juga kebimbangan mengenai kesan sampingan iaitu termasuk ritma jantung yang tidak teratur dan interaksi ubat yang mungkin berlaku semasa pengambilan.

Dapatan kajian mengenai kesan sampingan ini diterbitkan dalam jurnal perubatan berprestij (The Lancet) yang mana melaporkan kadar kematian akan meningkat ke 2.6 kali ganda sekiranya klorokuin dan hidroklorokuin diambil bersama antibiotik terutamanya bagi pesakit dalam fasa kritikal. Tuntutan ini berdasarkan analisis data rekod kesihatan elektronik dari 671 hospital di enam benua yang mana sejumlah 15,000 daripada 81,000 pesakit COVID-19 yang hampir kesemuanya diberikan klorokuin dan hidroklorokuin sahaja atau bersama dengan antibiotik yang diperoleh. Sebagai tindakan solidariti, WHO menghentikan serta merta kajian mega secara rawak yang sedang berjalan terhadap kedua ubatan ini.

Laporan tersebut secara tidak langsung telah menyebabkan dunia berpersepsi bahawa hidroksiklorokuin dan klorokuinon adalah racun. Keadaan ini pastinya akan menyulitkan proses merekrut individu demi meneruskan kajian keberkesanan kedua ubatan ini terhadap COVID-19. Namun begitu, dengan cepat juga kebersandaran kepada dapatan kajian yang diterbitkan ini mulai dibongkar. Setelah beberapa siri perbincangan dan perbahasan ilmiah, didapati terdapat ketidakseragaman dalam intipati data yang dilaporkan, dan integriti penyelidikannya juga diragui. Tindakan seakan berahsia oleh badan yang memberikan dana penyelidikan juga tambah menimbulkan keraguan yang kuat. Disebabkan tekanan daripada pelbagai pihak, akhirnya The Lancet mengambil keputusan untuk meniliti kembali dapatan kajian yang diterbitkan itu. The Lancet meminta lebih banyak data sokongan, namun penulis terpaksa menarik balik terbitan kajian itu daripada The Lancet kerana keengganan penyumbang mereka memindahkan bukti data set. Maka, dengan ini, kajian klinikal terhadap hidroksiklorokuin dan klorokuinon sebagai penawar COVID-19 diteruskan.

Walaupun hidroksiklorokuin dan klorokuinon boleh digunakan untuk merawat COVID-19, namun ianya hanya boleh diambil di bawah seliaan doktor perubatan yang terlibat dengan kajian klinikal atau bagi mereka yang dimasukkan ke hospital. Ubatan ini tidak boleh dibeli secara dalam talian tanpa preskripsi. Sebilangan ubatan ini dikhususkan hanya untuk penggunaan veterinar dalam merawat haiwan, dan bukan untuk merawat atau mencegah COVID-19. Ini kerana terdapat laporan oleh FDA yang menyatakan berlakunya keracunan dan kematian kepada individu yang menyalahgunakan persediaan ini. Sekiranya terdapat kesan sampingan seperti ritma jantung yang tidak teratur, pening, pengsan atau lain-lain semasa pengambilan dalam preskripsi, doktor yang merawat perlu diberitahu. Juga penting jika gejala berpanjangan, talian perubatan kecemasan harus dihubungi dengan segera.

Sehingga saat ini, tidak ada ubat antivirus khusus untuk merawat COVID-19. Kesemua rawatan yang ada hanya tertumpu kepada mengurangkan gejala. Ubatan yang berpotensi masih lagi dalam fasa ujian klinikal. Selain daripada hidroksiklorokuin/ klorokuinon yang dibenarkan untuk merawat pesakit COVID-19, ubat antivirus remdesivir juga telah mendapat penilaian etika kajian segera (EUA) daripada FDA untuk merawat pesakit yang kritikal. Selain itu, beberapa ubatan lain termasuk kaletra (kombinasi lopinavir dan ritonavir), favipiravir dan interferon beta juga menunjukkan hasil kajian tabung uji yang memberangsangkan, namun dapatan data klinikal yang masih terhad. Selain remdesivir, kesemua ubatan ini telah berdaftar dengan Badan Pengawasan Farmaseutikal Nasional Malaysia (NPRA) untuk rawatan penyakit lain. Keupayaan ubatan ini dalam memendekkan jangka masa merebak dan penularan virus juga sedang diteliti. Kajian klinikal ubatan tersebut terhadap COVID-19 di seluruh dunia diselaraskan oleh WHO untuk memastikan dapatan data berkualiti tinggi dan Malaysia merupakan salah sebuah negara yang terlibat sama.

Selain daripada kajian yang dikordinasi oleh WHO, beberapa agensi lain juga turut berusaha mengkaji ubat-ubatan sedia ada untuk merawat pesakit COVID-19. Terbaru, sejenis ubat kortikosteroid iaitu dexamethasone telah diterima oleh WHO untuk merawat pesakit COVID-19 yang dalam fasa kritikal. Rawatan dengan ubat ini menunjukkan kadar kematian pesakit dalam alat bantuan pernafasan dapat dikurangkan sekitar satu pertiga, manakala bagi pesakit yang hanya memerlukan oksigen pula, kematian dapat dikurangkan sekitar satu perlima. Walau bagaimanapun, manfaat ini hanya dapat dilihat pada pesakit dalam fasa kritikal. Melihat kepada pertambahan kes COVID-19 di seluruh dunia yang pada ketika ini sudah melebihi 21.2 juta, pelbagai usaha sedang dipergiat agar penawar COVID-19 dapat ditemui dan wabak ini dapat dibendung sepenuhnya.

Rujukan

 

  1. Colson, P., Rolain, J.M., Raoult, D., 2020. Chloroquine for the 2019 novel coronavirus SARS-CoV-2. Int J Antimicrob Agents, 105923.
  2. Dong, L., Hu, S., Gao, J., 2020. Discovering drugs to treat coronavirus disease 2019 (COVID-19). Drug Discoveries & Therapeutics. 14(1), 58-60.
  3. Liu, J., et al., 2020. Hydroxychloroquine, a less toxic derivative of chloroquine, is effective in inhibiting SARS-CoV-2 infection in vitro. Cell Discovery. 6(1), 16.
  4. Fox, R.I., 1993. Mechanism of action of hydroxychloroquine as an antirheumatic drug. Seminars in Arthritis and Rheumatism.  23(2,1), 82-91.
  5. Savarino, A., et al., 2006. New insights into the antiviral effects of chloroquine. The Lancet Infectious Diseases, 67-69.
  6. Wang, M., et al., 2020. Remdesivir and chloroquine effectively inhibit the recently emerged novel coronavirus (2019-nCoV) in vitro. Cell Res.
  7. Yao, X., et al., 2020. In vitro antiviral activity and projection of optimized dosing design of hydroxychloroquine for the treatment of Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV-2). Clinical Infectious Diseases: an official publication of the Infectious Diseases Society of America, 237.
  8. Singh, A.K., et al., 2020. Chloroquine and hydroxychloroquine in the treatment of COVID-19 with or without diabetes: A systematic search and a narrative review with a special reference to India and other developing countries. Diabetes & metabolic syndrome. 14(3), 241-246.
  9. WHO. a) Coronavirus disease (COVID-2019) situation reports.  https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019/situation-reports/; b) Clinical management of severe acute respiratory infection (SARI) when COVID-19 disease is suspected, Interim guide, 2020; c) WHO welcomes preliminary results about dexamethasone use in treating critically ill COVID-19 patients. https://www.who.int/news-room/detail/16-06-2020-who-welcomes-preliminary-results-about-dexamethasone-use-in-treating-critically-ill-covid-19-patients (Assessed 17th June 2020).
  10. Servick, K., and Enserink, M., 2020. The pandemic’s first major research scandal erupts. Science, 368 (6495),1041-1042.
  11. Cortegiani, A., et. al., 2020. A systematic review on the efficacy and safety of chloroquine for the treatment of COVID-19. Journal of Critical Care, 57, 279-283.
  12. CDC. Parasites – Malaria. https://www.cdc.gov/parasites/malaria/index.html (Assessed on 15th June 2020).

Kredit Foto : medpagetoday

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*