Oleh : Dr Siti Suriani Othman & Siti Sarah Binti Jantan
 Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Sebagai umat Islam, kita maklum bahawa menjaga nyawa bagi diri, keluarga dan masyarakat merupakan kewajipan yang disyariatkan dalam Islam. Imam Muhammad Thahir ibn A’syur berkata: “Makna memelihara nyawa adalah menjaga roh daripada kebinasaan sama ada secara individu mahupun secara umum, kerana alam dan masyarakat itu sendiri adalah terdiri daripada kumpulan individu manusia, dan setiap individu mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang boleh membawa kepada pembangunan alam.”

Pentingnya menjaga nyawa dalam Islam sehingga Islam melarang umatnya meletakkan nyawa mereka dalam mudarat. ALLAH menegaskan dalam hadis qudsi, melalui sabda Rasulullah SAW yang mengharamkan kezaliman di atas zat-Nya, termasuklah nyawa. Justeru, amatlah tidak wajar kita berbuat zalim ke atas diri sendiri dan masyarakat, dengan membiarkan berlakunya ancaman terhadap nyawa, misalnya, dalam konteks semasa, melalui penolakan vaksinasi.

Faktor penolakan, antara lain mungkin juga disebabkan oleh kurangnya kefahaman tentang apa itu vaksin. Lalu, mari kita lihat apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan vaksin. Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Dengan kata mudah, vaksin mengandungi kuman sama yang menyebabkan penyakit, (contohnya vaksin Hib mengandungi bakteria Hib, dan vaksin campak mengandungi virus campak), tetapi ia telah dimatikan atau dilemahkan sehingga tidak membuat kita sakit.

Melalui vaksinasi, vaksin bekerjasama dengan sistem pertahanan tubuh merangsang sistem imun badan untuk menghasilkan antibodi. Antibodi inilah yang berfungsi mengurangkan risiko peyakit berjangkit. Tubuh membina imuniti tanpa perlu dijangkiti penyakit terlebih dahulu. Maka, komplikasi penyakit menjadi rendah sekiranya seseorang dijangkiti penyakit tersebut.

Hari ini, kita telah mempunyai vaksin yang berupaya mencegah lebih daripada 20 penyakit yang boleh mengancam nyawa. Impak daripada imunisasi masa kini, kira-kira dua hingga tiga juta kematian setiap tahun yang disebabkan penyakit berbahaya seperti polio, hepatitis A dan B serta demam campak dapat dicegah.

Ini terbukti kerana sejak 2000, penyakit-penyakit seperti batuk kokol, difteria dan tetanus telah lenyap namun muncul kembali dan mengancam nyawa kanak-kanak dan dewasa. Sungguhpun tidak dinafikan majoriti daripada kita mengakui keberkesanan vaksin dan vaksinasi, ada juga golongan yang menolak vaksin atau dikenali sebagai golongan anti vaksin yang hujahnya antaranya ialah mempertikaikan kebersihan, keselamatan dan status halal vaksin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan World Health Organization (WHO) menyatakan bahawa gerakan anti vaksin ini membawa ancaman kepada kesihatan sedunia kerana penolakan vaksinasi oleh kelompok ini dikongsikan secara terbuka dan mempengaruhi fikiran ramai. Ia bukan lagi isu penolakan vaksin secara individu tetapi menjadi semacam satu gerakan yang disokong pula oleh sesetengah individu berpengaruh yang tidak bertanggungjawab. Gerakan anti vaksin ini sangat berbahaya dan kita lihat sendiri bagaimana kesannya kepada negara jiran Filipina. Gerakan anti vaksinnya mengakitbatkan kes demam campak meningkat sebanyak 700 peratus di negara itu.

Lebih menyedihkan, golongan ini secara langsung mencabar perjuangan mencegah penyakit-penyakit mengancam nyawa yang telah lama dilakukan. Gerakan anti vaksin ini banyak muncul dalam platform dalam talian seperti di media-media sosial melalui pendekatan yang mempengaruhi dan meyakinkan, sungguhpun fakta yang diutarakan tidak pernah disokong fakta saintifik.

Golongan ini tidak harus dibiarkan menjadi api dalam sekam dalam masyarakat. Tidak hairan, kerajaan menyuarakan akan mengenakan tindakan undang-undang kepada golongan ini kerana menyebarkan fitnah dan propaganda dalam masyarakat. Kerajaan Malaysia menyasarkan imuniti kelompok dapat dicapai selepas 80 peratus populasinya mewakili 27 juta rakyat divaksin sehingga akhir tahun ini. Namun, pastinya lebih sukar mencapainya andai wujudnya golongan begini yang mempunyai maklumat tidak jelas tentang vaksinasi dan menyebarkannya serta menyebabkan salah faham dan ketakutan dalam kalangan ahli masyarakat untuk mengambil vaksin.

Artikel Berkaitan – Menghadapi Jangkitan Ganas COVID-19: Apa yang perlu kita lakukan? 

Sungguh apa sekalipun hujah mereka, yang paling utama sekarang ialah untuk kita sama-sama berjalan seiring berlandaskan fakta perubatan yang nyata, agar jangan kita pula yang menyebabkan bahana buruk kepada masyarakat. Mungkin golongan ini belum menerima kesan buruk daripada pemikiran anti-vaksin mereka buat masa ini, tetapi kita tahu dan pernah terbaca laporan-laporan media yang menyatakan rasa dukacita dan kecewa individu yang pernah menyokong dan menjadi sebahagian daripada golongan anti vaksin sehingga kehilangan ahli keluarga tersayang.

Di saat itu, pastinya nasi sudah menjadi bubur. Tiada lagi sukatan air atau bahan campuran yang boleh mengubahnya menjadi nasi semula. Ini bermakna, sebelum kesilapan demi kesilapan berterusan, baliklah ke pangkal jalan terutama di zaman pandemik yang mengganas kini. Kita tiada masa untuk berdegil, kita tiada masa untuk membuat perkara salah dan tidak tepat kerana satu dunia sedang melihat betapa rapuhnya nyawa manusia, yang tidak pernah sama sekali kita lihat sepertinya sebelum ini.

Kredit Foto : Insider

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.