Pesakit Radang Usus: Makanan Apa Yang Mereka Selalu Elak?

Oleh : Nur Amalina Binti Samad
Fakulti Sains Kesihatan UKM

Artikel ini diadaptasi daripada penulisan Nur Amalina Binti Samad di bawah penyeliaan Dr Shanthi Krishnasamy untuk Tugasan Kursus Komunikasi Profesional, Kursus bagi Pengajian Sarjana Pemakanan Klinikal.

Apakah penyakit radang usus?

Tahukah anda bahawa terdapat 200,000 kes penyakit radang usus berlaku di Malaysia. Menurut kajian daripada UKMMC, terdapat peningkatan ketara dalam purata kes radang usus iaitu sebanyak dua kali ganda sepanjang tahun 2010 -2018 berbanding purata 30 tahun sebelumnya di negara ini.

Penyakit radang usus atau lebih dikenali sebagai Inflammatory Bowel Disease (IBD) adalah gangguan keradangan kronik pada saluran gastrousus sama ada pada kolon, usus kecil atau kedua-duanya. Penyakit Crohn (CD) dan kolitis ulseratif (UC) merupakan 2 jenis IBD yang selalu menyerang ramai orang tidak kira pada bila bila masa.

Simptom penyakit radang usus

Sakit perut berpanjangan, cirit birit, darah dalam najis, selalu letih dan penurunan berat badan mendadak adalah antara tanda-tanda penyakit radang usus. Ada sebahagian pesakit mempunyai tempoh keradangan yang pendek (kurang simptom), ada juga sebahagian yang lain yang mendapat serangan yang kerap.

Punca berlakunya IBD

Penyakit radang usus merupakan perkara biasa yang berlaku di negara barat tetapi jarang berlaku di Asia Tenggara terutamanya di Malaysia. Namun, sejak kebelakangan ini peratus pesakit IBD di Asia Tenggara meningkat secara mendadak. Punca peningkatan ini mungkin berlaku disebabkan oleh urbanisasi dan pola pemakanan berubah ke arah diet Barat. Namun, punca utama penyakit radang usus masih tidak dapat dikenalpasti. Gambar rajah di bawah menunjukan antara faktor faktor yang dipercayai turut menyumbang kepada berlakunya penyakit radang usus.

Makanan yang dielakan oleh pesakit IBD

Penyakit IBD tidak boleh diubati tetapi boleh dikawal dengan perubahan gaya hidup dan rawatan perubatan yang sesuai. Oleh kerana IBD berlaku di saluran pencernaan, pesakit IBD selalunya akan lebih berhati hati dalam memilih makanan untuk dimakan. Menurut satu kajian dari Canada, ada beberapa jenis makanan yang selalu dielakan oleh pesakit IBD. Antaranya ialah

  • Mengurangkan untuk makan makanan yang mempunyai serat yang tinggi seperti sayur sayuran yang mentah, buah buahan dan kekacang,
  • Mengelakan makanan yang pedas (kandungan capsaicin) dan berempah,
  • Mengelakan minuman beralkohol, kafein dan berkarbonat,
  • Mengelakan pengambilan produk tenusu seperti susu, dan keju,
  • Mengurangkan pengambilan gula ringkas dan pemanis tiruan. Gula yang ditambah di dalam hidangan dipercayai akan meningkatkan peluang berlaku cirit-birit,
  • Mengurangkan makanan yang terawet dan separuh proses, dan
  • Mereka juga cenderung mengambil hidangan dalam kuantiti yang sedikit.

Ada di antara pesakit IBD merasakan bahawa kandungan capsaicin dalam makanan yang pedas akan menyebabkan rasa “terbakar” pada usus. Selain itu, mereka juga percaya bahawa serat makanan dan galacto-oligosaccharides dalam kekacang serta fructo-oligosaccharides dan fructans dalam sayur sayuran mentah boleh menyebabkan kembung dan cirit-birit. Selalunya, pesakit Crohn’s Disease akan lebih fokus untuk mengelakan dari makan buah buiahan, sayur sayuran yang mentah dan produk tenusu berbanding pesakit Ulcerative Colitis (UC).

Kebanyakan pesakit IBD percaya bahawa sumber makanan tersebut akan mendorong peningkatan tahap keradangan. Terutamanya pada keadaan keradangan terpasang “aktif”. Pengamalan diet yang tidak seimbang dan pengambilan serat yang rendah akan menyebabkan pesakit IBD mempunyai kurang nutrisi yang penting. Tambahan pula, pesakit IBD mungkin lebih cenderung untuk mempunyai penyakit lain yang berbahaya sekiranya terus menerus mengelakan daripada makan jenis makanan di atas. Vitamin atau mineral tambahan mungkin diperlukan oleh sesetengah pesakit IBD untuk mengantikan nutrient yang hilang. Pesakit dinasihatkan untuk merujuk doktor atau pakar pemakanan untuk mendapatkan kaunseling tentang nutrient penting yang perlu diambil dan mengetahui diet yang sesuai diamalkan. Jangan lupa untuk jumpa doktor dan pakar pemakanan anda!

Rujukan 

  1. https://bmcpublichealth.biomedcentral.com/track/pdf/10.1186/s12889-019-6858-2
  2. https://umsc.my/?umsc_clinicals=inflammatory-bowel-disease
  3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/28359542/

Kredit Foto :
everydayhealth
sahabatnestle
roche

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.