Solar system, illustration
Oleh Ahmad Amryl Malek
Sebelum tahun 2006, Pluto adalah sebagai ahli keluarga sistem suria bertaraf planet. Pluto telah “diturun taraf” sebagai planet kerdil setelah Kesatuan Astronomi Antarabangsa (International Astronomical Union – IAU) pada Ogos tahun tersebut menetapkan takrifan planet sebagai jasad samawi yang memenuhi tiga kriteria, iaitu
i) Ianya mengorbit Matahari;
ii) Mempunyai jirim yang mencukupi untuk mencapai kesimbangan hidrostatik
(menghampiri bentuk bulat); dan
iii) Ianya membersihkan kawasan ruang sekitarnya dari objek-objek   planetesimal.
Memandangkan Pluto tidak memenuhi syarat ketiga, iaitu membersihkan kawasan ruang sekitarnya dari objek-objek planetesimal, maka secara rasminya Pluto dikelaskan sebagai planet kerdil.
Terdapat banyak penentangan dari kalangan saintis dan juga orang awam terhadap pengkelasan semula Pluto kepada planet kerdil. Namun pengkelasan semula takrifan planet ini bersesuaian dengan penemuan-penemuan baru objek-objek samawi yang dahulunya dikenali sebagai planetoid. Sehingga kini terdapat lima (5) planet kerdil yang diiktiraf oleh IAU, iaitu, Pluto, Eres, Makemake, Huamea dan Ceres. Terdapat beberapa lagi objek samawi yang boleh menjadi calon planet kerdil seperti Orcus, Salacia, Quaoar dan Sedna. Kebarangkalian lebih banyak objek samawi yang boleh dikelaskan sebagai planet kerdil tidak dapat dinafikan, terutamanya apabila Lingkaran Kuiper diteroka dengan sepenuhnya.
Maka boleh dikatakan bahawa takrifan planet yang dibuat oleh IAU pada tahun 2006, walaupun secara luaran mengurangkan “ahli keluarga” berstatus planet di dalam sistem suria daripada sembilan (9) kepada lapan (8), namun pengkelasan tersebut telah menambahkan bilangan “saudara” di dalam ahli keluarga planet sistem suria. Dijangka beratus lagi objek-objek samawi yang akan dikelaskan sebagai planet kerdil!