Oleh :Ts Dr Suganthi Appalasamy
Institut Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari
Universiti Malaysia Kelantan

Ramai di antara kita yang sedang melalui fasa bekerja dari rumah (work from home). Keletihan, lesu badan, mata perit dan ketegangan perasaan adalah antara impak negatif yang sering diutarakan oleh pekerja dari rumah terutamanya. Ketiadaan suatu titik penggalan (cutoff time) antara masa bekerja dan masa liburan sering menjadi punca kepada depresi di kalangan dewasa bekerja pada masa kini terutamanya di waktu pandemik COVID19.

Ada antara sahabat bekerja yang sering bertanyakan mengenai kaedah bertani yang mudah di rumah. Antara soalan yang ditanyakan adalah (i) adakah semua orang boleh bertani? (ii) murah atau mahal perkakasan bertani (iii) saya tinggal di flat, bolehkah saya bertani? (iv) bertani sebagai hobi semata ataupun boleh menjana pendapatan?

Saya yakin ramai yang bercadang ataupun berkira-kira untuk bertani tetapi tiada maklumat secukupnya untuk menyakinkan anda bahawa semua orang boleh bertani. Pertanian urban didefinisikan sebagai penghasilan, pemprosesan dan pengagihan hasil tanian seperti sayur dan ikan atau udang. Urban farming seperti yang dikenali ramai merupakan satu istilah yang mula diperkenalkan pada awal 2000an. Di Malaysia, pada awal tahun 2015, terma ini mula disebut-sebut dan ada penduduk bandar terutamanya penghuni kawasan pangsapuri mempopularkan aktiviti bertani secara hidroponik di balkoni rumah masing-masing. Namun begitu, pada tahun 2020-lah, pertanian urban ini mula dipraktikkan oleh semua lapisan masyarakat secara serius.

Kemunculan semula aktiviti bertani di urban ini berkait rapat dengan penularan wabak COVID19 sehingga menjurus kepada pandemik global dan menyebabkan penutupan sementara semua industri di negara pada Mac 2020. Masyarakat di bandar mula menggunakan waktu lapang semasa Perintah Kawalan Bergerak (PKP) untuk bertani secara kecilan di halaman rumah, balkoni dan juga di tanah pusaka.

Pertanian tanpa menggunakan tanah, dan yang hanya berasaskan air dikenali sebagai set hidroponik. Sistem ini amat bagus terutamanya untuk penanaman sayur di kawasan yang tidak mempunyai tanah atau kekurangan ruang. Set hidroponik NFT ini amat popular dikalangan penduduk kawasan urban, dan ingin mengamalkan pemakanan organik. Terdapat juga set hidroponik yang boleh disambung dengan tangki air bersaiz sederhana untuk memelihara ikan seperti keli ataupun haruan dan udang. Sistem ini dikenali sebagai set akuaponik yang kian melonjak penggunaannya dikalangan pengiat tanaman urban. Terdapat beberapa jenama tempatan seperti Lazada dan Shopee yang menjual atas talian set-set tanaman yang disebut tadi dalam lingkungan harga RM150 – RM2000 bergantung kepada saiz.

Terdapat juga kawasan perumahan bandar yang mempunyai sedikit kawasan bertanah di lot rumah masing-masing. Kawasan ini selalu dijadikan sebagai flower garden oleh pemilik rumah. Kawasan tanah ini boleh juga diubah menjadi plot pertanian kendiri. Tanaman yang mudah tumbuh dan memerlukan penjagaan yang minimal seperti sayur bayam Brazil, kailan, pokok tomato ceri, pokok kunyit, strawberi tanah rendah dan salad boleh ditanam di ruang kecil ini. Selain untuk kegunaan isi rumah, sayuran organik ini juga boleh dijadikan satu sumber pendapatan bagi pengusaha plot kendiri di urban. Pelajar Universiti Malaysia Kelantan di bawah program syarikat pelajar mampu menghasilkan sayur salad dan tomato ceri sebanyak 3kg setiap minggu untuk dibekalkan kepada café di dalam Kampus Jeli.

Menarik kan? Jika ada peluang lagi, saya akan berkongsi pula pembinaan plot kendiri ini dengan menggunakan bahan mudah dapat dan murah yang boleh dibina di halaman rumah masing-masing

Plot kecil untuk kunyit hitam di Institut Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA), UMK Kampus Jeli yang dibangunkan dengan menggunakan barang mudah cari dan murah.
Tanaman pokok tomato ceri yang boleh diusahakan di halaman rumah.
Set hidroponik yang ringkas dan senang untuk digunakan oleh pengemar tanaman sayur di rumah.
Sistem hidroponik untuk penanaman sayur sawi organic oleh syarikat pelajar di bawah selian Institut Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari, UMK Kampus Jeli.

Kredit Foto : Nivaarani Arumugam

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.