Oleh : Siti Noor Syuhada Binti Mohd @ Muhammad Amin
Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA, Universiti Sultan Zainal Abidin

Jerawat adalah masalah kulit yang berlaku apabila liang roma tersumbat dengan minyak yang berlebihan daripada kelenjar sebum dan sel kulit mati. Jerawat akan membentuk bintik mahupun benjolan pada kulit. Jerawat yang lebih teruk akan menyebabkan keradangan pada kulit sehingga kemerahan dan bernanah. Pencernaan sebum oleh enzim-enzim daripada bakteria tertentu juga boleh menyebabkan simptom jerawat menjadi lebih teruk.

Koloni bakteria membentuk biofilem yang menyebabkan ia rintang terhadap tindakan bahan antibakteria.  Keadaan ini akan menyebabkan infeksi berpanjangan pada sebahagian individu. Kerosakan kulit adalah diakibatkan oleh tindak balas keradangan dalam sistem imunisasi badan manusia. Jerawat yang bernanah adalah berpunca daripada tindak balas berlebihan sistem imunisasi yang menghantar sel darah putih untuk menghapuskan bakteria.

Masalah jerawat ini tidak mengira faktor usia mahupun jantina. Ianya boleh terjadi kepada golongan yang akil baligh baik lelaki mahupun wanita. Keadaan kulit yang bermasalah boleh menyebabkan sebahagian individu hilang keyakinan diri, menjejaskan interaksi sosial dan lebih teruk lagi membawa kepada depresi.

Oleh kerana itu, penggunaan krim jerawat banyak digunakan untuk membendung permasalahan ini. Sekumpulan pelajar dari Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA telah menjalankan inovasi dengan menghasilkan krim jerawat yang telah diadun dengan cendawan susu harimau. Krim ini dihasilkan dengan mencampurkan krim akues bersama cendawan susu harimau yang dikisarkan.

Cendawan Susu Harimau
Krim Cendawan Susu Harimau

Cendawan susu harimau atau nama saintifiknya Lignosus rhinoceros adalah daripada keluarga Polyporaceae. Cendawan ini dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri di samping turut disenaraikan sebagai bahan aktif untuk perubatan tradisi di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) pada 2010. Menurut Dr Tan Chon Seng, yang juga Penasihat Teknikal LiGNO Biotech, kajian menunjukkan cendawan susu harimau mempunyai aktiviti anti-keradangan dan imuno-modulasi yang tinggi.

Suatu kajian makmal juga turut dijalankan ke atas tisu edema kaki tikus untuk mengkaji sifat anti-keradangan cendawan ini. Dapatan kajian menunjukkan cendawan susu harimau telah mengurangkan bengkak terhadap kaki tikus tersebut berbanding dengan bahan lain. Secara perbandingan, keadaan ini turut terjadi kepada jerawat yang mengecut dan menghilang setelah penggunaan krim cendawan susu harimau ini. Cendawan ini bertindak dalam memberi rangsangan kepada sistem imuniti semula jadi badan manusia.

Cendawan susu harimau mempunyai sifat anti oksida yang tinggi, yang mana ianya memerangkap radikal anion superoksida yang kuat, maka cendawan ini boleh melindungi sel-sel badan kita daripada berlakunya proses oksidasi yang boleh membawa kesan buruk. Potensinya juga setanding dengan bahan aktif yang lain seperti quercetin dan rutin dalam mencegah radikal bebas

Suatu kajian lain turut dijalankan oleh Universiti Malaya juga melaporkan bahawa cendawan susu harimau ini mampu menghalang percambahan sel-sel kanser. Hasil kajian yang dipatenkan menunjukkan cendawan susu harimau memberi kesan toksik kepada sel-sel kanser tersebut dan tidak memberi kesan toksik pada sel-sel yang sihat.

Di samping itu, penyelidikan menggunakan cendawan susu harimau dan usaha pembiakannya masih giat dijalankan bagi membendung segala permasalahan yang wujud pada masa kini sejajar dengan usaha menggunakan bahan semula jadi. Ekstrak cendawan susu harimau berpotensi untuk digunakan sebagai medium perawatan alternatif selain ubat-ubatan semata-mata. Namun, kajian penggunaan cendawan susu harimau ini sebagai salah satu cara alternatif dalam merawat dan menghilangkan jerawat masih berada ditahap penyelidikan R&D dan belum dikomersilkan sepenuhnya.

Rujukan

  1. Bashir, K. M., & Choi, J. (2017). Clinical and Physiological Perspectives β-Glucans: The Past, Present, and Future. International Journal of Molecular Sciences, 18 (9), 1906.
  2. Lee, M. L., Tan, N. H., Fung, S. Y., Tan, C. S., & Ng, S. T. (2012). The Antiproliferative Activity of Sclerotia of Lignosus rhinoceros (Tiger Milk Mushroom). Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine, 1-5.
  3. Nurul Husna Mahmud. (2020). Tanam Cendawan Susu Harimau. Artikel Harian Metro, 26 Julai 2020.
  4. Sook Shien Lee, Nget Hong Tan, Shin Yee Fung, Si Mui Sim, Chon Seng Tan and Szu Ting Ng (2014). Anti-inflammatory effect of the sclerotium of Lignosus rhinocerotis (Cooke) Ryvarden, the Tiger Milk mushroom. BMC Complementary and Alternative Medicine, 14:359
  5. Ka-Hing Wong, Connie K.M. Lai, Peter C.K. Cheung (2010).  Immunomodulatory activities of mushroom sclerotial polysaccharides. Food Hydrocolloids 25, pp 150-158.
  6. Yap, Y. H., Tan, N., Fung, S., Aziz, A. A., Tan, C., & Ng, S. (2013). Nutrient composition, antioxidant properties, and anti-proliferative activity of Lignosus rhinocerus Cooke sclerotium. Journal of the Science of Food and Agriculture, 93(12), 2945-2952.
  7. Lee, M. L., Tan, N. H., Fung, S. Y., Tan, C. S. and Ng, S. T. (2012). The Antiproliferative Activity of Sclerotia of Lignosus rhinocerus (TigerMilkMushroom).   Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine. 697603.

Kredit Foto : hafizrahim

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.