Potensi Pokok Getah sebagai Biomonitor

Oleh : Muhammad Jefri Mohd Yusof

Artikel ini merupakan ringkasan daripada proseding berikut:

Yusof, M. J. M., Latif, M. T., & Yusoff, S. F. M. (2018, April). Heavy metals phytoremediation potential of Hevea brasiliensis in Bentong, Malaysia. In AIP Conference Proceedings (Vol. 1940, No. 1, p. 020089). AIP Publishing. https://doi.org/10.1063/1.5028004

Mengikut laporan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), 8 daripada 10 penduduk dunia menghirup udara yang kotor. Bahan pencemar organik dan tak organik di udara datang daripada pelepasan asap kenderaan dan aktiviti-aktiviti perindustrian yang tidak terkawal. Hal ini boleh mengancam kesihatan manusia dengan menyebabkan masalah kesihatan dan penyakit seperti asma, radang paru-paru, kanser dan juga kematian. Kandungan bahan pencemar ini sebenarnya boleh dikurangkan dengan cara dan kos yang murah iaitu penanaman pokok.

Bahan pencemar di udara memasuki sistem tumbuhan pokok melalui sistem akar atau bahagian aerial seperti kulit kayu dan daun. Penggunaan organisma hidup seperti pokok, kulat atau lumut untuk menilai kualiti udara melalui jumlah bahan pencemar yang diserap, dipanggil sebagai biomonitor. Kajian kini banyak tertumpu untuk menggunakan pokok tinggi sebagai biomonitor kualiti udara. Pokok tinggi mempunyai banyak sampel yang boleh diambil untuk dianalisis selain pengumpulan bahan pencemar yang lebih lama dan banyak berbanding biopeninjau yang bersaiz kecil seperti algae dan liken.

Justeru, pemilihan pokok getah atau nama saintifiknya Hevea brasiliensis dilakukan kerana penanamannya meliputi kawasan yang luas, pengenalpastian spesis yang mudah dikenali, dan juga ketinggian pokok dan jangka hayat pokok yang relevan untuk menapis bahan pencemar. Pokok getah ini dijangka bersesuaian sebagai biomonitor bagi mengukur kualiti udara sekeliling dan meminimumkan kandungan bahan pencemar khususnya logam berat di udara.

Stesen Biomonitor

Bahagian daun pokok getah terdedah kepada jirim zarah di udara dan apa-apa bahan kimia yang terdapat di udara. Kutikel di permukaan luar daun memerangkap bahan kimia yang hidrofobik manakala bahan kimia yang hidrofilik akan memasuki daun melalui stomata. Sementara itu, kulit kayu pokok getah berperanan sebagai medium pasif untuk menapis dan menyimpan logam berat. Sifat lipofilik dan struktur kulit kayu yang berliang dapat menyimpan logam berat atau bahan pencemar lain untuk tempoh yang agak lama (sehingga 10 tahun). Ciri unik pokok getah iaitu mengandungi tisu latisifer (bergetah) menyumbang kepada lebih pemerangkapan bahan pencemar dengan kehadiran lateks.

Secara keseluruhan, daun pokok getah mengandungi kandungan logam berat yang paling tinggi berbanding kulit kayu dan lateks. Logam berat seperti Cr, Cu, Fe, Mn, Ni, Pb, Zn dan As dijumpai terkumpul dalam sampel-sampel pokok getah. Hal ini menunjukkan bahawa selain menyumbang kepada ekonomi negara dengan penghasilan getah asli sebagai bahan eksport, pokok getah boleh digunakan sebagai agen biomonitor logam berat di udara.

Kredit Foto : istockphotodesc.ca

11total visits,3visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.