Potensi Pokok Halia Hutan Sebagai Tumbuhan Hortikultur

Oleh : Sarmila Rathamanalan & Dr Suganthi Appalasamy 
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan

Artikel ini diadaptasi daripada penulisan tesis Sarmila Rathamanalan di bawah penyelian Suganthi Appalasamy (PhD) untuk tesis prasiswazah bertajuk Taburan dan Pembiakan In Vitro Spesies Zingiberaceae yang Terpilih di Tanah Tinggi Lojing, Kelantan dan Sungai Gadong, Tasik Temengor, Perak.

Taburan halia hutan menarik dengan kepelbagaian bunga dan warnanya. A: Etlingera punicea B: Etlingera littorallis C: Etlingera triorgyalis D: Globba patens E: Zingiber spectabile dan F: Etlingera megalocheilos.

Halia hidup, kunyit, kantan, lengkuas, cekur dan halia pepijat merupakan beberapa nama yang kerap kita dengar dan guna dalam kehidupan seharian kita. Tahukah anda bahawa halia ini merupakan sebahagian daripada famili Zingerberaceae ataupun famili halia hutan yang tumbuh meliar di hutan sekeliling kita? Terdapat lebih daripada 160 spesies halia hutan yang telah dilaporkan dijumpai di Semenanjung Malaysia sahaja. Jumlah ini dijangka menaik dengan mengambil kira kajian lapangan yang semakin kerap dijalankan di kawasan hutan yang belum diterokai lagi. Selain menjadi sebahagian daripada rempah ratus masakan tradisional di Malaysia, spesies halia hutan juga digunakan sebagai ubat-ubatan dalam rawatan tradisional orang Melayu dan orang asli di Malaysia. Kajian terdahulu mendapati halia hutan kaya dengan minyak pati (essential oil) seperti terpen, keton, flavonoid dan fitoestrogen yang amat diperlukan dalam pertumbuhan badan manusia.

Halia hutan merupakan pokok yang mampu tumbuh meliar merangkumi pelbagai habitat, kawasan tepi sungai, kawasan tanah rendah dan tinggi, kawasan batu kapur, kawasan teduh, hutan primer dan juga hutan sekunder. Namun begitu, pendedahan yang kurang tentang taburan halia hutan ini menyebabkan masyarakat Malaysia tidak mengenali halia hutan ini secara mendalam. Keunikan halia hutan bukan sahaja terletak pada bahagian rizomnya yang selalu digunakan dalam masakan dan perubatan tetapi bunganya juga amat menarik. Di negara Asia dan Eropah secara amnya, beberapa jenis halia hutan dibiak sebagai tumbuhan penghias lanskap ataupun tumbuhan hortikultur. Kriteria pemilihan spesies pokok sebagai tumbuhan hortikultur bergantung kepada jangka hayat pokok, varieti warna pokok, kekerapan penjagaan dan pembajaan serta pembiakan yang mudah.

Satu kajian lapangan telah dilakukan di sekitar Tanah Tinggi Lojing, Daerah Gua Musang, Kelantan untuk mengetahui kepelbagaian halia hutan di kawasan tersebut. Kawasan tanah tinggi ini diduduki oleh orang asli Temiar yang kehidupan sehariannya amat bergantung kepada sumber asli flora dan fauna yang didapati daripada kawasan hutan disekelilingnya. Melalui perbualan dengan tok batin kawasan ini, terdapat lebih kurang 50 spesies halia hutan liar yang tumbuh subur dan kerap digunakan sebagai makanan dan ubatan tradisional orang asli Temiar. Antara pokok halia hutan yang didapati berbunga semasa kajian ini dijalankan ialah Etlingera punicea, Etlingera littorallis, Etlingera triorgyalis, Etlingera megalocheilos, Globba patens dan Zingiber spectabile. Keunikan bunganya serta keperluan penjagaan kerap yang rendah untuk halia hutan ini boleh dieksploitasi dan dibiakan untuk dikomersialkan sebagai tumbuhan hortikultur di Semenanjung Malaysia.

Kredit Foto : cookiesmeletoops

20total visits,20visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.