Oleh: Dr Suvik Assaw
Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu

Ubur-ubur atau juga dikenali sebagai ampai-ampai di Malaysia sering kali dilaporkan mendatangkan masalah kepada manusia terutamanya apabila melibatkan aktiviti rekreasi air dalam sektor pelancongan. Sejak beberapa tahun lepas terdapat spesies ubur-ubur asing yang boleh membawa maut seperti Portuguese Man-of-War (Physalia physalis) telah ditemui di perairan negara kita. Kemunculan spesis asing ini adalah berkait rapat dengan sifatnya yang terapung dan pergerakannya bergantung kepada arus lautan.

Ubur-ubur Portuguese Man-of-War (Physalia physalis) yang banyak terdampar di Pulau Kekabu, Marang, Terengganu ketika berlaku ledakan spesies ini pada tahun 2020 (Sumber: Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC), Universiti Malaysia Terengganu).

Di negara luar, Jepun khususnya, spesies ubur-ubur gergasi seperti Nomura (Nemopilema nomurai) boleh mendatangkan masalah kepada industri perikanan apabila tiba musim ledakan populasi ubur-ubur (Jellyfish Bloom) berlaku kerana akan menyebabkan pukat nelayan tersangkut dan menjejaskan hasil tangkapan. Tambahan pula, pelbagai laporan saintifik turut mengaitkan ledakan populasi ubur-ubur ini bukan sahaja disebabkan oleh pembiakan semata, tetapi turut dipengaruhi oleh perubahan persekitaran marin yang berkait rapat dengan aktiviti manusia yang tidak terkawal seperti kelimpahan nutrien yang tinggi (eutrofikasi), penangkapan sumber laut yang tidak mampan, translokasi dan juga pengubahan habitat asal hidupan marin

Chrysaora fuscescens (Pasific sea nettle), adalah antara spesies ubur-ubur yang turut dijumpai di perairan Terengganu (Sumber: Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC), Universiti Malaysia Terengganu).

Walaupun sesetengah spesies ubur-ubur boleh mendatangkan masalah kepada manusia dan juga ekosistem lautan, namun begitu terdapat juga spesies ubur-ubur yang boleh dimakan dan dijadikan sebagai sumber utama penghasilan kolagen marin dalam produk-produk farmaseutikal serta perubatan.

Sebelum ini, kebanyakkan sumber kolagen yang digunakan dalam produk-produk famaseutikal adalah diekstrak daripada sumber haiwan seperti lembu dan khinzir yang seringkali menjadi isu sensitif kepada sesetengah pengguna. Bagi pengguna beragama Islam, sumber kolagen daripada babi adalah haram dan lembu pula perlu disembelih mengikut hukum syarak. Oleh itu, sebagai alternatif, penghasilan kolagen kini tertumpu kepada sumber marin seperti ikan dan juga ubur-ubur.

Penggunaan ubur-ubur yang boleh dimakan dalam hidangan dan sektor farmaseutikal sudah lama wujud di negara Asia yang lain seperti China, Jepun, Taiwan dan juga Korea sejak era 1970-an dan permintaan terhadap hidupan ini semakin meningkat saban tahun. Menurut laporan daripada Global Market Insights, pasaran kolagen dunia pada tahun 2019 adalah melebihi USD 3.5 bilion dan dijangkakan akan terus meningkat kepada USD 6.0 bilion pada tahun 2026.

Di perairan negara kita, ubur-ubur yang mudah dijumpai ialah ubur-ubur putih (Phacellophora sp. dan Lobonema smithi), ubur-ubur merah (Rhizostoma pulmo, box jellyfish). Kawasan penangkapan dan perikanan utama ubur-ubur di Malaysia ialah di Teluk Anson, kawasan yang berjiranan Selat Melaka, Johor, perairan di Kuching dan Ulu Kuala Matu, Sarawak. Oleh kerana kebanyakkan rakyat Malaysia khususnya di Semenanjung Malaysia tidak mengetahui akan cara penyediaan makanan menggunakan ubur-ubur, maka hampir kesemua hasil tangkapan ubur-ubur adalah dieksport ke luar Negara seperti China, Jepun, Singapura, Thailand dan Korea.

Spesies ubur-ubur putih (Lobonema smithi) yang boleh dimakan dan mempunyai niali komersial yang tinggi di Malaysia.

Di pasaran, produk ubur-ubur yang boleh dimakan dan telah dibersih serta digaramkan dijual sekitar RM23-30 sekilogram. Proses penyediaan ubur-ubur adalah bermula dari lautan yang mana nelayan-nelayan akan terlebih dahulu membuang bahagian penghadaman haiwan tersebut dan hanya bahagian ‘Bell’ (payung) dan ‘Arms’ (lengan) ubur-ubur sahaja yang digunakan untuk penghasilan produk makanan. Ubur-ubur ini kemudiannya akan dibersihkan dan dicampurkan bersama adunan garam dan tawas bagi menyejatkan air daripadanya serta membantu proses pengawetan. Kemudian ubur-ubur yang telah kering dan diawet akan dieksport ke luar negara.

Proses penghasilan produk ubur-ubur bermula daripada tangkapan nelayan, dibuang sistem penghadaman dan seterusnya dibersihkan dan disejatkan air. Gambar kanan kelihatan penulis bersama ubur-ubur mentah yang telah diproses untuk digunakan dalam produk makanan dan juga kajian.
Ubur-ubur yang telah diproses dan dijual di pasaran Malaysia.

Sejak berkurun lamanya, rakyat di negara seperti China, Korea dan Jepun telah mengamalkan penggunaan ubur-ubur dalam penyediaan makanan mereka. Khasiat ubur-ubur telah lama dilaporkan dalam menyembuhkan radang sendi (arthritis), darah tinggi, sakit belakang, ulser, memutihkan kulit, meningkatkan keupayaan sistem penghadaman, melancarkan peredaran darah, megurangkan keradangan dan bengkak. ubur-ubur mempunyai kandungan protein yang sangat tinggi hampir 80 % daripada jisim badannya. Protein in terdiri daripada kolagen jenis I, II, III dan VI yang kaya dengan glycine. Kolagen daripada ubur-ubur adalah jenis ‘hydrolyzed kolagen’ juga dikenali sebagai kolagen peptida yang telah dipecahkan kepada molekul kecil dan mempunyai sifat ketelarutan di dalam air yang tinggi. Melihat kepada sifat unik ini, kolagen daripada ubur-ubur berpotensi dan sesuai digunakan dalam produk kosmetik kerana ia cepat diserap oleh tubuh badan terutamanya kulit.

Melihat kepada potensi tinggi haiwan unik ini, maka Universiti Malaysia Terengganu melalui Institut Bioteknologi Marin (IMB) kini menumpukan kajian terhadap potensi kegunaan kolagen daripada ubur-ubur yang boleh dimakan seperti Lobonema smithi (ubur-ubur putih) dan Rhopilema esculentum (ubur-ubur merah) terhadap proses penyembuhan luka. Dalam kajian ini, dapatan kajian telah menunjukkan hampir 75 – 80 % daripada bahagian badan ubur-ubur merah dan putih ini adalah protein yang terdiri daripada kolagen. Ekstrak dan protein ubur-ubur ini juga mempunyai kesan anti-oksida yang tinggi.

Menariknya, hasil kajian mendapati pemakanan protein ubur-ubur selama 21 hari secara berterusan oleh tikus putih telah menyembuhkan luka dengan kadar yang lebih pantas iaitu 15 hari sahaja berbanding luka normal yang mengambil masa 21 hari. Selain itu juga, proses penyembuhan luka ini turut dibantu oleh pembentukan fiber kolagen yang lebih cepat didalam tisu luka hasil daripada pemakanan ubur-ubur.

Tambahan lagi, pemakanan ubur-ubur yang boleh dimakan ini adalah selamat kerana tiada kesan sampingan ke atas haiwan penyelidikan telah ditemui sepanjang kajian dijalankan.  Selain itu juga, ubur-ubur bukan sahaja tinggi protein tetapi juga rendah karbohidrat serta lemak, dan ini menjadikan ia sebagai makanan tambahan yang sihat kepada mereka yang mengamalkan diet pemakanan. Diharapkan dengan kajian sebegini ia akan memberikan nilai tambahan kepada produk ubur-ubur tempatan yang berpotensi tinggi untuk dijadikan bahan baru dalam penghasilan produk farmseutikal dan juga kesihatan di negara ini.

Kesan pemakanan protein ubur-ubur ke atas proses penyembuhan luka. A: Proses penyembuhan luka tanpa rawatan (normal). B: Proses penyembuhan luka hasil pemakanan ubur-ubur yang lebih cepat berbanding luka normal. Tambahan lagi luka tikus yang memakan ubur-ubur mempunyai parut yang kecil dan pertumbuhan bulu yang pantas berbanding luka normal yang memerlukan sehingga 21 hari untuk sembuh sepenuhnya berbanding luka tikus rawatan yang sembuh pada hari ke 15.

Rujukan

  1. Suvik A.. Ahmad AS, & Effendy AWM. 2016. Potential of Malaysia White Type Edible Jellyfish, Lobonema smithii as anrioxidant and collagen promoter in Dermal wound of Sprague Dawley Rats. Middle-East Journal of Scientific Research. 24 (6): 2137-2144.
  2. Suvik A. & Effendy AWM. Subacute Oral Toxicity Screening on Jellyfish Consumption in Sprague Daley Rats. Malaysian Applied Biology Journal. 46 (6): 207-216.

Nota: Penulis merupakan pensyarah kanan Program Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) di Universiti Malaysia Terengganu dalam pengkhususan Farmakologi dan Bioteknologi Marin.  Penulis boleh dihubungi melalui email: aasuvik@umt.edu.my

#LiterasiLautanUntukSemua

 

Kredit Foto : idntimes

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.