Pulau Bidong: Antara Keindahan Hutan Pulau dan Sejarah yang Dilupakan

Oleh : Muhamad Aidil Zahidin
Jabatan Hematologi, Universiti Sains Malaysia
Prof Dr Mohd Tajuddin Abdullah 
Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu
Hasrulzaman Hassan Basri

Pemandangan dari puncak bukit Pulau Bidong ke arah lautan lepas (Gambar oleh Hasrulzaman Hassan Basri).

Negeri Terengganu mempunyai beberapa gugusan pulau semula jadi yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti dan sarat dengan sejarah silam. Nilai-nilai khazanah ini mampu memukau pandangan pengunjung yang ingin merasai dan menghayati khazanah alam. Kehijauan hutan pulau dan bunyi deruan ombak membelah pantai mampu menambat, membuai rasa dan sekali gus dapat menenangkan fikiran para pengunjung.

Pulau Bidong merupakan salah satu pulau yang terdapat di negeri Darul Iman dan dikelilingi oleh Laut China Selatan bahagian timur Semenanjung Malaysia. Pulau yang tidak berpenghuni mutakhir ini berkeluasan 260 hektar dan berkedudukan lapan batu nautika dari Pantai Merang, Terengganu. Pulau Bidong juga dikenali sebagai Saigon Kecil. Saigon merupakan nama lain kepada Bandaraya Ho Chi Minh, sebuah bandar di selatan Vietnam yang memainkan peranan penting semasa Perang Vietnam antara tahun 1955 dan 1975. Berdasarkan catatan sejarah, pengunduran tentera Amerika Syarikat pada 1975 membuatkan sekumpulan komunis menguasai selatan Vietnam. Hal ini menyebabkan penduduk-penduduk Vietnam melarikan diri ke Asia Tenggara melalui jalan darat dan laut.

Pulau Bidong merupakan destinasi kepada 47 pelarian pada tahun 1975 sebelum mencecah angka 40,000 pada tahun 1979. Berada di sebuah pulau yang kecil dan terisolasi, pelarian-pelarian ini membina penempatan sementara, hidup dalam keaadan sesak dan terdedah kepada jenayah dan wabak penyakit. Sumber alam flora dan fauna yang terdapat di Pulau Bidong dikorbankan untuk kelangsungan kehidupan pelarian-pelarian ini. Kem pelarian Bidong akhirnya ditutup oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1991 dan pelarian-pelarian ini beransur pulang ke negara asal. Jadi, tidak pelik sekiranya para pengunjung Pulau Bidong terlihat akan sebuah bangkai kapal besar dan kawasan perkuburan Vietnam di kawasan laluan bukit. Implikasi daripada peristiwa hitam tersebut menyebabkan Pulau Bidong mengalami kerosakan dan kemusnahan hutan pulau semula jadi dan kepupusan mamalia kecil setempat seperti kancil.

Tugu peringatan penempatan pelarian Vietnam (Gambar oleh Hasrulzaman Hassan Basri).

Hampir tiga dekad berlalu, hutan di pulau ini mula semakin pulih, menghijau dan ditumbuhi dengan pokok-pokok sekunder. Di samping itu, pelbagai usaha turut dilakukan oleh pihak – pihak yang bertanggungjawab seperti Museum Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu untuk memastikan peninggalan sejarah ini tidak terhakis bergitu sahaja juga untuk menjaga kelestarian flora dan fauna di pulau ini. Dengan tertubuhnya stesen penyelidikan UMT di Pulau Bidong, pelbagai maklumat berkenaan flora dan fauna dapat diekstrak. Hasil dari kajian yang dijalankan, didapati pokok-pokok sekunder di pulau ini telah menjadi perumah kepada 15 spesis serangga (kupu-kupu dan lebah), 13 spesis reptilia, 26 spesis burung dan tiga spesis kelawar. Selain itu, antara keunikan Pulau Bidong adalah menjadi salah satu tempat pendaratan penyu belimbing (Eretmochelys imbricata) yang sangat terancam dan terdapatnya spesis fauna endemik iaitu cicak batu pulau (Cnemaspis bidongensis) dan keluang pulau (Pteropus hypomelanus). Kekayaan biodiversiti flora dan fauna, dan catatan sejarah menjadikan Pulau Bidong sebagai pusat ekopelancongan yang unik dan harus dilawati.

Keluang pulau (Pteropus hypomelanus) yang sedang bertenggek pada salah sebatang dahan berhampiran stesen penyelidikan UMT di Pulau Bidong (Gambar oleh Hasrulzaman Hassan Basri).

Bibliografi

Abdullah, M. T. (2016). Evolusi dan biogeografi mamalia Malaysia. Kuala Nerus: Penerbit Universiti Malaysia Terengganu.

Adanan, N. A., Basari, N., Rosmidi, F. H., Pesiu, E. & Abdullah, M. T. (2016). Preliminary studies on bees at Pulau Bidong and Pulau Perhentian, Terengganu. Journal of Sustainability Science and Management Special Issue Number 1, 36-40.

Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (2010). Akta 716. Malaysia.

Hamza, A., David, G., McAfee, A. & Abdullah, M. T. (2018). Annotated checklist of avifauna in Pulau Bidong, Malaysia. Journal of Sustainability Science and Management, 13(1), 103-116.

History (2017). Vietnam War timeline. History Channel. www.history.com/topics/vietnam-war.

Pesiu, E., Abdullah, M. T., Salim, J. & Salam, M. R. (2016). Tree species composition in Pulau Bidong Bidong and Pulau Redang. Journal of Sustainability Science and Management Special Issue Number 1, 48-60.

Roslan, A., David, G., Ahmad, N. I. I., Noor Aisyah, A. R., Pesiu, E., Zahidin, M. A., Rosmidi, F. H., Hasrulzaman, H. B., Kamaruzzaman, M. A., Nor Zalipah, M. & Abdullah, M. T. (2016). Notes of bats in Pulau Bidong and Pulau Perhentian Besar, Terengganu, Malaysia. Journal of Sustainability Science and Management Special Issue Number 1, 26-35.

Roslan, A., David, G., Zahidin, M. A., Rosmidi, F. H., Ahmad, N. I. I., Nor Zalipah, M. & Abdullah, M. T. (2017). Promoting wildlife tourism as a conservation effort of the island flying fox in Pulau Bidong, Terengganu, Malaysia. In M. Mariapan, L. A. L. Evelyn, S. S. Isa, M. S. Karim & K. R. Hakeem (Eds.). Ecotourism potentials in Malaysia. Serdang, Universiti Putra Malaysia. pp. 24-29.

Rosmidi, F. H., Zahidin, M. A., Adanan, N. A., Zakaria, A. A., Pesiu, E. & Abdullah, M. T. (2017). Checklist of butterflies in Pulau Perhentian and Pulau Bidong, Terengganu. Journal of Sustainability Science, 12(1), 40-48.

Zakaria, A. A., Noor Aisyah, A. R. & Abdullah, M. T. (2017). Reptile diversity as an ecotourism attraction in Pulau Bidong. In M. Mariapan, L. A. L. Evelyn, S. S. Isa, M. S. Karim & K. R. Hakeem (Eds.). Ecotourism potentials in Malaysia. Serdang, Universiti Putra Malaysia. pp.

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*