Rahsia Labu Sayong

Oleh : Nur Hidayah Binti Ahmad
Universiti Sains Malaysia

Labu Sayong

Keistimewaan labu sayong yang sentiasa mengekalkan kesejukan air di dalamnya telah lama diketahui umum. Namun, sedarkah kita ada satu lagi rahsia besar keunikan labu sayong yang telah berjaya ditemui?

Labu Sayong

Labu sayong yang diperbuat daripada tanah liat mempunyai satu keistimewaan yang mana dapat menyerap kelembapan dengan tindakan kapilari. Walau bagaimanapun, titisan air kecil di permukaan labu sayong yang disebabkan oleh tindakan kapilari tidak dapat diperhatikan. Tindakan kapilari berlaku apabila air dituangkan ke dalam labu sayong. Apabila air penuh, penyejatan pun berlaku. Secara teorinya, dapat dinyatakan bahawa penyejukan air di dalam labu sayong berlaku kerana dua proses iaitu yang pertama, peningkatan air di permukaan labu sayong dan kedua adalah penyejatan.

Merujuk kepada Zainul Abidin Hassan (1986), sekiranya berlaku penyejatan air, suhu air akan lebih rendah daripada suhu udara. Hasil kajian menunjukkan bahawa air di dalam labu sayong lebih sejuk berbanding suhu bilik. Perbezaan suhu antara air dan udara hanya bergantung pada jenis tanah liat, suhu udara, kelembapan, dan ketebalan dinding labu sayong. Perbezaan suhu tidak bergantung pada ukuran, bentuk, dan kuantiti air di dalam labu sayong. Dari teori ini, dapat disimpulkan bahawa labu sayong dapat menjadikan air di dalamnya sentiasa sejuk.

Apa yang menariknya di sini, labu sayong bukan hanya sekadar dapat menyejukkan air, tetapi sebenarnya mampu menurunkan suhu bilik supaya lebih nyaman. Ini telah terbukti melalui kajian yang telah dijalankan di Universiti Sains Malaysia. Sistem tetingkap penyejatan penyejukan ataupun dikenali sebagai Evaporative Cooling Window System (ECWS) yang menggunakan labu sayong yang disatukan dengan pengudaraan mekanikal dan tenaga yang dikendalikan menggunakan elektrik suria telah dicipta. Kajian rintis telah dilakukan di bangunan sebenar di bawah iklim tropika yang panas dan lembap. Meskipun memiliki jangka waktu yang terbatas, hasilnya tetap menunjukkan bahawa ada penurunan suhu. Sebagai kesinambungan daripada kajian rintis, satu siri eksperimen dilakukan dengan menggunakan ECWS bersama labu sayong yang diaktifkan menggunakan kipas pengekstrak tenaga suria yang diciptakan menggunakan bahagian yang berlainan. Kajian ini telah mengenal pasti keberkesanan ECWS dengan labu sayong dalam mengurangkan suhu dalaman. Hasilnya, ECWS bersama lima unit labu sayong telah berjaya menurunkan suhu sebanyak -3.70 °C, sehingga mencapai keberkesanan 53.7 % ECWS. Sistem ini terbukti berkesan kerana keputusan yang diperolehi menunjukkan keberkesanan berada dalam julat yang dapat diterima antara 50 % dan 75 %.

Gamba rajah menunjukkan kedudukan ECWS bersama labu sayong ketika kajian dijalankan

Penemuan ini sememangnya sangat memberi makna kepada saya sebagai penyelidik. Diharapkan ia mampu membuka mata pelbagai pihak untuk lebih menitikberatkan elemen-elemen warisan melayu dalam kehidupan seharian kita. Sesungguhnya banyak lagi rahsia-rahsia warisan melayu yang perlu dicungkil dan diinovasikan. Semoga dengan perkongsian ini dapat menyuntik rasa cintakan warisan melayu agar ia terus kekal sepanjang zaman.

Ts. Nur Hidayah binti Ahmad ialah Pensyarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam Pengurusan Projek di Universiti Sains Malaysia

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*