Realme Dilancarkan Secara Rasmi Di Malaysia – Tawar Telefon 8GB RAM Pada Harga RM999

Realme merupakan salah satu sub-jenama terbaru daripada Oppo, dimana mereka menyasarkan kepada jualan atas-talian, pengguna muda dan pada harga mesra poket. Selepas ditawarkan di India dan Indonesia, hari ini, Realme dilancarkan secara rasminya untuk pasaran Malaysia.

Tiga peranti baru diumumkan bersempena pelancaran jenama Realme di Malaysia ini, iaitu Realme 2, Realme 2 Pro dan juga Realme C1.

Realme 2 merupakan peranti berspesifikasi rendah-pertengahan yang boleh dikatakan sebagai pesaing Redmi 6. Ia hadir dengan skrin 6.2-inci bertakuk, dan dilihat memfokuskan kepada penawaran baterinya, iaitu 4230mAh.

Dari segi spesifikasi, Realme 2 hadir dengan cip Snapdragon 450, memori sehingga 4GB RAM, dan storan sehingga 64GB. Ia menggunakan dwi-kamera belakang gabungan 13MP + 8MP, selain kamera hadapan 8-megapixel. Telefon pintar ini hadir dengan sokongan dwi-SIM, selain kebolehan pengguna memperluaskan storan menggunakan mikro-SD.

Realme 2 Pro pula merupakan telefon pintar dengan spesifikasi sedikit tinggi. Ia menggunakan skrin 6.3-inci dengan rekaan bertakuk sedikit kecil, dijana cip Snapdragon 660, memori sehingga 8GB RAM, dan storan sehingga 128GB. Telefon pintar ini menggunakan dwi-kamera 16-megapixel + 2-megapixel dibelakang, dan kamera hadapan 16MP. Melengkapkannya juga adalah bateri berkapasiti 3500mAh.

Realme C1 menawarkan penawaran sedikit sama seperti Realme 2, tetapi dengan memori sedikit rendah. Realme C1 hadir denan skrin 6.2-inci bertakuk, dijana cip Snapdragon 450, memori 2GB RAM, dan storan 16GB. Ia menggunakan dwi-kamera belakang 13MP + 2MP, selain kamera hadapan 5-megapixel. Telefon ini turut hadir dengan sokongan bateri berkapasiti 4230mAh.

Realme turut mengintegrasikan beberapa ciri tambahan pada bahagian perisian, termasuk penggunaan kecerdasan buatan dalam menambah-baik rakaman gambar.

Seperti telefon pintar keluaran Oppo yang lain, Realme turut hadir dijana sistem operasi Android, tetapi menggunakan antaramuka Color OS.

Di Malaysia, berikut merupakan harga jualan untuk peranti Realme :
Realme 2 (3GB RAM / 32GB storan) – RM599
Realme 2 (4GB RAM / 64GB storan) – RM699
Realme 2 Pro (4GB RAM / 64GB storan) – RM849 (RM799 pada 11 November sahaja)
Realme 2 Pro (6GB RAM / 64GB storan) – RM949 (RM899 pada 11 November sahaja)
Realme 2 Pro (8GB RAM / 128GB storan) – RM1049 (RM999 pada 11 November sahaja)
Realme C1 (2GB RAM / 16GB storan) – RM449

Realme Malaysia

Realme 2 Pro akan ditawarkan secara eksklusif melalui Shopee bermula 11 November ini, sementara Realme 2 pula akan ditawarkan bermula 24 November melalui pelbagai saluran penjual, dan Realme C1 secara eksklusif melalui Lazada bermula 22 November kelak.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.