Realme Memperlihatkan Pengecas Nirwayar 10W Tersendiri Di India, Harga Sekitar RM50

Realme walaupun sudah mempunyai peranti mercu, sehingga hari ini masih tiada peranti mereka yang mempunyai perlindungan dari air dan debu IP68 atau yang menyokong pengecasan nirwayar. Produk mereka yang ada sokongan pengecasan nirwayar juga hanya ada satu, iaitu Realme Buds Air. Tetapi, kelak Realme mungkin akan hadir dengan peranti yang menyokong kaedah pengecasan ini.

Ini kerana, di laman web Realme di India – mereka mula menjual pengecas nirwayar 10W pada harga ₹ 899, iaitu sekitar RM50 sahaja. Pengecas ini diiklankan untuk mengecas Realme Buds Air atau mana-mana produk lain dari jenama lain yang menyokong pengecasan nirwayar. Realme 10W Wireless Charger ini menggunakan format qi dan juga USB-C. Ia berbentuk bulat, iaitu rekaan klasik untuk aksesori kuasa ini serta hanya mempunyai tebal 9mm. Menurut Realme, kuasa 10W ini boleh dicapai jika menggunakan mana-mana pengecas QC2.0 atau QC3.0 – tetapi untuk iPhone ia hanya akan dihadkan kepada 7.5W.

Kemasan yang digunakan adalah matte, lembut dan berwarna kelabu serta mempunyai sistem keselamatan yang mengesan objek asing – yang akan mematikan pengecas ini secara automatik. Agak pelik kenapa Realme menytakan 10W adalah pengecasan nirwayar pantas, sedangkan ia adalah kelajuan yang normal bagi sesebuah pengecas nirwayar. Dalam pakej pembelian, Realme turut menyediakan kabel 50cm. Kebanyakan aksesori Realme sudah pun di bawah masuk ke Malaysia, mungkin aksesori ini kelak turut akan dijual?

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*