TechSemut Malaysia

Revolusi Manusia Kelima?

Revolusi Manusia Kelima?

Revolusi Manusia Kelima?
November 27
06:13 2017

Oleh: Dzulkifli Abdul Razak, Prof. Tan Sri

Penghargaan kepada Nazmi Lao daripada Akademi Sains Malaysia (ASM) atas terjemahan. Artikel asal diterbitkan oleh The Sun di dalam kolum My View pada 26hb September, 2017.

Sekiranya sebuah filem yang bertajuk Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) ditayangkan, filem tersebut pasti mencatat sejarah box office Malaysia. Ini disebabkan oleh minat orang ramai daripada semua lapisan masyarakat terhadap subjek tersebut, khususnya golongan akademik serta profesional.

4IR menarik minat orang ramai kerana ia telah dipromosikan sebagai sesuatu yang perlu ada dalam kehidupan. Sekiranya seseorang itu tidak menerima 4IR dalam kehidupannya, nescaya dia akan tertinggal ditelan arus zaman. Tiada siapa yang ingin dilabelkan sebagai ketinggalan zaman mahupun dilupakan dalam arus pembangunan.

Namun begitu, dilema yang terbit daripada “ganggu gugat” (disruption) Revolusi Perindustrian bukanlah sesuatu yang baru. Malah, ianya telah wujud dengan kedatangan setiap revolusi perindustrian semenjak abad ke-18. Walaupun dengan adanya dilema tersebut, kita masih menjalankan kehidupan seharian seperti biasa; malah ada sesetengah pihak yang menyatakan bahawa dunia menjadi lebih baik selepas Revolusi Perindustrian tersebut berlaku yang telah disebabkan oleh “ganggu gugat” tersebut.

Dilema ini mungkin mengingatkan kita tentang pepijat alaf yang telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan manusia yang bakal melangkau ke abad ke-21. Pepijat alaf tersebut dikatakan merupakan suatu ancaman teknologi yang mungkin menyebabkan pergolakan global jika tidak ditangani dengan baik. Pepijat alaf boleh dikatakan sebahagian daripada Revolusi Perindustrian Ketiga, namun sebahagian besar dunia tidak beranggap sedemikian.

Namun begitu, masih ramai lagi yang tidak tahu bagaimana untuk bertindak dalam situasi ini. Setelah kita melangkah ke abad-21, semuanya masih seperti biasa; tiada perubahan yang drastik kepada cara hidup manusia. Sekali lagi, kita buntu bila berhadapan dengan 4IR. Ramai yang memilih untuk menerima fenomena ini tanpa mengambil tahu risiko dan manfaat yang diperoleh. Tanpa pemahaman tentang risiko dan manfaat, manusia mungkin akan membawa kesungkuran pada diri sendiri. Saintis tersohor, Stephen Hawking menyatakan kepada BBC: “Perkembangan lengkap kecerdasan buatan (AI) boleh membawa kepada kesungkuran manusia.”

Negara-negara membangun, misalnya Malaysia, hanya mampu mengejar piawaian yang telah ditentukan untuk memastikan negara tersebut masih relevan. Jika piawaian tersebut tidak dipatuhi, maka negara tersebut dianggap lemah. Baru-baru ini, kita telah mengikuti kuliah oleh seorang professor bidang ekonomi tentang hasil inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D). Tanpa mengambil kira konteks setempat, beliau telah membuat kesimpulan bahawa pembangunan R&D tanahair tidak begitu optimistik. Mujurlah, wakil daripada kementerian berkenaan telah membidas pernyataan professor tersebut. Kalau tidak, ramai yang bakal menerima pernyataan beliau itu secara bulat-bulat. Lalu, model R&D yang disarankan beliau turut diikuti tanpa bantahan – sepertimana yang kita buat semasa zaman penjajahan British dahulu.

Oleh itu, kita sebagai sebuah negara dan sebagai rakyat Malaysia haruslah menentukan hala tuju kita berlandaskan cita-cita dan aspirasi seperti Wawasan 2020, serta yang terkini iaitu Transformasi Nasional 50 (TN50). 4IR tidak ditimbulkan dalam Wawasan 2020 tetapi ianya boleh dimasukkan di antara sembilan cabaran yang dikemukakan, khususnya Cabaran Keenam di bawah Sains dan Teknologi. Manakala di bawah TN50, peranan 4IR masih kurang jelas, dan ia bergantung kepada cara TN50 dan 4IR dikaitkan. Sebagai contoh, Forum Megatrend anjuran Khazanah membawa tema “Cerebrum X Algorithm” yang mana “X” menyifatkan hubungan antara kedua-dua elemen tersebut.

Sekiranya tema tersebut boleh diparafrasakan sebagai “Manusia X Mesin”, maka ia boleh ditafsirkan secara umum sebagai interaksi antara “Kecerdasan Naqli (Asal)” dan “Kecerdasan Buatan (Tiruan)”. Selain daripada mempersoalkan bagaimana kita memperlakukan teknologi, bagaimana pula kita memperlakukan manusia?

Kecekapan kecerdasan asal terletak pada sifat kemanusiaan yang melangkaui kecerdasan intelek dan jauh melebihi keupayaan teknologi. Kecerdasan asal mampu memahami dan mencipta wawasan (seperti 4IR) dan juga termasuk kecerdasan dari segi rohaniah. Kecerdasan asal mampu mengalami penemuan diri yang membawa kepada kesedaran unggul yang tidak boleh dicapai dengan pemikiran sekular semata-mata. Kecerdasan asal dapat mengelak kesilapan di mana tumpuan sering diberikan kepada yang “buatan” dan mengabaikan “kemestian” yang dimiliki kecerdasan semulajadi, khususnya pengalaman metafizik yang mampu dialami oleh manusia (kerohanian dan nurani).

Tidak munasabah bagi kita sebagai manusia yang dikurniakan dengan kepintaran untuk menafikan emosi dan kesedaran kita terhadap persekitaran, berbanding mesin mahupun kecerdasan buatan.

Secara logik, Revolusi Manusia Kelima (5HR) perlu mendahului 4IR. Kebolehan mesin dengan kecerdasan buatan dan algoritma masih tidak setanding dengan fitrah asal. Pembangunan masa kini sepatutnya berlandaskan fitrah dan bukan kebolehan mesin dan kecerdasan buatan. Dengan fitrah asal sebagai landasan pembangunan, masa depan yang lebih berperikemanusiaan terjamin, dan masalah seperti perpindahan massa dapat ditangani.

Menjadikan fitrah asal sebagai landasan pembangunan amat penting kerana nilai-nilai belas kasihan, etika dan moral yang ditaksir berdasarkan kesedaran intrinsik dan bukan sahaja berdasarkan penunjuk prestasi ekstrinsik (misalnya KPI) yang membuatkan kita bertindak seperti mesin. Kesedaran intrinsik perlu dimantapkan sebelum 4IR boleh dikatakan menyumbang kepada pembangunan manusia.

Ia perlu melalui bahagian serebrum otak yang menghasilkan sebuah algoritma yang seterusnya beralih ke hati manusia – tempat di mana kerohanian dan nurani bertapak.

Jika difahami dengan mendalam dan dipupuk dengan sempurna, 5HR dapat mengilhamkan sebuah kehidupan masa depan yang berpaksikan nilai-nilai murni, harga diri serta perikemanusiaan. Kehidupan sebegini mampu menandingi stereotaip mekanikal-teknologi yang diketengahkan oleh 4IR. Sekiranya 5HR tidak dimantapkan, maka kita akan kembali ke pola kehidupan ibarat mesin yang hanya mementingkan prestasi secara robotik yang bersifat “one size fits all” tanpa mengambil kira nilai-nilai kemanusiaan. Oleh itu, kita mesti berani meletakkan kemanusiaan kita di hadapan dan tidak membenarkan diri diperhamba oleh teknologi yang menyahmanusiakan. Bak kata ahli falsafah Yunani, “kenali diri sendiri dahulu”.

Nantikan sambungan siri “ganggu gugat” menjadi manusia dalam artikel seterusnya.

Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak baru-baru ini menerima anugerah Tokoh Akademik Negara 2017. Beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) dan mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com

Related Articles

0 Comments

No Comments Yet!

There are no comments at the moment, do you want to add one?

Write a comment

Write a Comment

Your email address will not be published.
Required fields are marked *

*

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com