Rintangan Antibiotik – Sedarkah Anda ?

Oleh : Dr Ummul Hanan Mohamad
Felo Penyelidik
Institut Informatik Visual

Sejak berdekad lamanya, antibiotik telah menjadi antara ubat yang dapat merawat pelbagai penyakit yang dihidapi manusia secara efektif. Keadaan ini menyebabkan ramai yang mengambil mudah tentang kepentingan antibiotik dalam memastikan kesihatan diri dan masyarakat terjaga. Persoalannya kini adalah adakah situasi ini akan kekal berterusan dan apakah yang boleh terjadi pada masa hadapan jika antibiotik tidak lagi efektif?

APAKAH ITU ANTIBIOTIK?

Antibiotik merupakan sejenis ubat yang terhasil daripada tindakbalas mikroorganisma; contohnya sebagai mekanisma pertahanan kulat untuk mengawal pertumbuhan bakteria dalam suatu persekitaran. Antibiotik bertindak melalui dua cara iaitu dengan mematikan bakteria atau mengurangkan pertumbuhan bakteria. Justeru, antibiotik hanya berkesan untuk melawan penyakit bawaan bakteria dan tidak mempunyai kesan terhadap penyakit yang disebabkan oleh virus.

PENYALAHGUNAAN ANTIBIOTIK

Sehingga kini, ramai yang tidak menyedari bahawa keberkesanan antibiotik semakin menurun dan potensi untuk tidak lagi berfungsi pada masa hadapan adalah tinggi. Ini adalah kerana semakin hari, lebih banyak spesis bakteria telah mencapai rintangan terhadap antibiotik. Penyalahgunaan antibiotik boleh berlaku disebabkan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap fungsi antibiotik. Sebagai contoh, terdapat amalan yang menyumbang ke arah rintangan antibiotik seperti pesakit tidak mengambil antibiotik dalam keadaan sepatutnya, pesakit tidak menghabiskan antibiotik atau preskripsi antibiotik secara berlebihan oleh pengamal kesihatan.

RINTANGAN ANTIBIOTIK

Apabila antibiotik disalahguna, bakteria penyebab penyakit boleh menurunkan tahap sensitiviti terhadap tindakan antibiotik. Bahkan, kini terdapat spesis bakteria yang mempunyai rintangan terhadap pelbagai jenis antibiotik. Justeru, rintangan antibiotik didefinisikan sebagai “Keadaan di mana bakteria boleh menghalang tindakan antibiotik yang dahulunya mematikan atau mengurangkan pertumbuhan mereka”. Antara kesan rintangan antibiotik adalah kos rawatan meningkat serta prosedur perubatan biasa seperti pembedahan mungkin akan menjadi lebih berisiko. Lebih membimbangkan, setakat ini tiada penemuan antibiotik baru direkodkan sejak empat dekad lalu.

APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN?

Setiap orang boleh memainkan peranan masing-masing untuk menghalang rintangan antibiotik. Antaranya, pastikan anda menghabiskan antibiotik sepenuhnya apabila diberi oleh doktor. Apabila anda menghabiskan antibiotik, bakteria penyebab penyakit dapat dihapuskan secara sepenuhnya melalui tindakan antibiotik dan sistem pertahanan badan. Sebaliknya, jika anda tidak menghabiskan antibiotik sepenuhnya, bakteria penyebab penyakit tersebut berpeluang untuk mengatur strategi untuk mematahkan fungsi antibiotik dan menyebabkan rintangan antibiotik berlaku.

Selain itu, anda harus lebih peka bahawa fungsi antibiotik hanya berkesan untuk melawan penyakit bawaan bakteria. Justeru, jika anda menghidap penyakit seperti selsema, demam dan sakit tekak yang berpunca daripada virus, anda tidak perlu mengambil antibiotik kerana perkara ini akan menyumbang ke arah rintangan antibiotik. Anda juga tidak perlu meminta antibiotik sewenang-wenangnya daripada doktor anda.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengambil langkah demi langkah untuk menggunakan antibiotik dengan betul bagi mengurangkan kejadian rintangan antibiotik. Manfaat ini bukan sahaja terhad untuk diri sendiri dan keluarga, bahkan untuk generasi masa hadapan.

Kredit Foto :
Lightspring
ESB Professional
Kateryna Kon
ibreakstock

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.