Rocket Lancar Untuk Kali Ke Enam – JomLaunch Versi “Kita-kita Aje” Acara WWDC, I/O & Build

Tandakan kalender anda pada 22 September 2018. Sejarah akan tercipta sekali lagi apabila Syarikat permulaan, pembangun dan jurutera perisian tempatan melancarkan projek mereka di depan khalayak ramai. Jika Apple mempunyai WWDC Keynote , Google dengan I/O dan acara tahunan Microsoft yang dikenali sebagai Build, Malaysia mempunyai JomLaunch yang kali ini akan masuk edisi ke-enam.

Acara yang bertujuan bagi membantu projek-projek komuniti, sumber terbuka, projek persendirian mahupun komersil, edisi ke keenam ini bakal membentangkan antara 17-20 produk-produk yang melibatkan ICT yang mempunyai nilai-nilai komersil.

Terdapat 4 kategori yang terlibat pada acara tersebut, iaitu:

  • Sumber Terbuka, membina kod aturcara percuma dan ingin dikongsikan kepada umum
  • Peribadi, projek yang masih dalam pembinaan
  • Komuniti, projek siap untuk kegunaan orang ramai secara percuma
  • Komersil, produk siap yang mempunyai nilai komersil

Kali terakhri acara ini diadakan, seramai 19 projek diketengahkan pada 16 September 2017 dengan kehadiran sekitar 480 peserta, pempamer, pembentang projek dan penaja. Acara tahunan ini di jayakan dengan sokongan kuat oleh TM dan Persatuan Usahawan and Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF).  Turut memberi sokongan WebImpian dan RunCloud.

Jika anda adalah pengaturcara, techie dan pengiat ICT yang ingin mengubah landskap industri teknologi dan ICT di Malaysia, inilah tempatnya anda berbuat demikian. Tunjuk dan bentang kepada para penggiat  yang hadir, kelebihan dan keistimewaan projek anda yang bakal membuka mata para pengunjung. Anda boleh berbuat demikian dengan menghantar maklumat projek berkaitan di sini.

6 Sebab Kenapa Anda Perlu Tunjuk Dan Bentang Projek di JomLaunch 6.0

Memperkenalkan Syarikat

Tak kenal maka tak cinta. Tidak ada sesiapa mengenali syarikat permulaan anda jika anda tidak mendedahkan diri. Inilah masanya untuk keluar dari gua pertapaan dan menunjukan jurus silat yang telah dikuasai. Perkenalkan syarikat anda kepada hadirin.

Tunjukkan apa syarikat anda boleh lakukan dengan projek yang telah anda fokus pembangunanya sejak beberapa bulan yang lepas. Ini juga masanya untuk mengambil kesempatan terhadap kemasyuran dalam masa 15 minit.

Batu Loncatan

Antara syarikat-syarikat permulaan yang menggunakan JomLaunch sebagai pelantar untuk melonjak naik adalah Zepto yang baru-baru ini telah memenangi Anugerah Chairman’s Choice pada ASEAN Rice Bowl Startup Awards dan Runcloud yang memenangi Startup World Cup Malaysia Regional 2018. Siapa tahu, syarikat anda bakal menjadi “The Next Big Thing…”

Naik Pentas

Nak merasa bagaimana nak bentangkan produk di hadapan ramai orang seperti mana Steve Jobs memperkenalkan produk-produk keluaran Apple? Inilah masanya. Ianya juga masa untuk kongsikan idea-idea atau konsep-konsep hebat anda yang akan memberikan manfaat kepada para hadirin.

Tunjuk karisma anda kepada bakal-bakal pembangun muda yang bercita-cita tinggi. Seperti mana ramai tetamu undangan TED Talk yang banyak memberi inspirasi kepada golongan muda. Anda mungkin bakal menjadi idola mereka.

Teaser Projek atau Produk

Tahukah anda, rahsia syarikat-syarikat teknologi seperti Apple, dan Samsung, meraih berjuta-juta dolar pada hari pertama pembukaan jualan produk, adalah TEASER. Syarikat gergasi teknologi ini telah menunjukan keupayaan dan kebolehan sesuatu produk semasa konvensyen besar seperti WWDC, dan CES, 4 hingga 6 bulan lebih awal sebelum pengguna dapat membeli dan menggunakan produk mereka.

Tempoh masa ini digunakan dengan sebaiknya untuk menaikan “hype” produk. Pelantar JomLaunch adalah medium yang serupa untuk berbuat demikian. Anda boleh kongsikan fungsi dan ciri-ciri menarik produk anda pada acara tersebut untuk menaikan minat bakal pengguna mahupun pelabur.

Promosi Percuma

Apakah teknik promosi yang paling berkesan dan mendapat perhatian? “Word of Mouth.”Sebabnya ia adalah teknik promosi percuma untuk menyebarkan berita dan juga teknik yang paling mendapat kepercayaan orang ramai. Wartawan, bloggers dan social media aktivis akan turut hadir memeriahkan JomLaunch 6.0.

Mereka inilah yang akan bantu sebarkan maklumat-maklumat penting mengenai syarikat dan produk anda. Tarik perhatian mereka dan mereka akan bantu tarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi jika ia sohor kini di media sosial.

Membina Pelanggan, Rangkaian Kerjasama dan Pelabur

Ini alasan cliche, tetapi ia adalah antara sebab utama kenapa JomLaunch diperkenalkan. Salah satunya adalah menghubungkan kepakaran tempatan dengan komuniti dan pengiat teknologi ICT. Di mana lagi hendak anda mengambil kesempatan jika tidak disesebuah perhimpunan yang di hadiri oleh ramai individu-individu yang berbakat, pelabur berpotensi dan bakal pelanggan jika tidak di sebuah konvensyen yang besar seperti JomLaunch.

Ambil kesempatan untuk beramah-mesra dan bertukar-tukar pendapat dan pandangan. Jangan lupa bawa kad perniagaan. Siapa tahu, mungkin kerjasama akan terjalin di masa hadapan.

Kepada yang berminat untuk menjadi peserta, pempamer, mahupun penaja, layari Laman JomWeb atau Facebook page untuk maklumat lanjut.

sumber artikel : otakit.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.