Safari Tidak Memasang 16 API Web Baru Kerana Risau Mengenai Isu Privasi Pengguna

Sama ada kita sedar atau tidak, teknologi pelayar web semakin berkembang pesat setiap tahun. Walaupun begitu, tidak semua perkembangan teknologi ini menguntungkan pengguna, kerana banyak daripadanya dibangunkan untuk pihak pengiklan yang akan mengekori pergerakan atas-talian kita.

Diantara syarikat yang tidak menggunakan teknologi-teknologi baru ini ialah Apple. Sewaktu acara WWDC, mereka mengesahkan bahawa Safari tidak menggunakan sebanyak 16 API baru yang diperkenalkan oleh pelbagai pihak kerana kerisauan mengenai privasi pengguna.

Mereka berkata bahawa API-API ini terlalu memudahkan kerja pengiklan digital untuk mengesan trafik pengguna. Diantara ciri-ciri ini termasuklah Web Bluetooth yang membenarkan laman web disambungkan kepada peranti Bluetooth pengguna, Web NFC API yang membenarkan aktviti sama melalui NFC, Web USB yang membenarkan laman web menerima akses kepada peranti USB, User Idle Detection dimana laman web boleh mengetahui jika sesebuah komputer berada dalam keadaan lalai dan sebagainya.

Apple mengatakan bahawa dengan API-API ini, pengiklan bukan sahaja boleh mendapat tahu mengenai laman-laman web yang dilawati pengguna, tetapi juga jenis-jenis peranti yang digunakan, bersama-sama dengan waktu aktif pengguna sepanjang masa.

Apple sendiri mengatakan mereka juga telah cuba untuk mengurangkan kebolehan pengiklan untuk menjejak pengguna melalui pelayar web Safari.

Anda boleh membaca senarai 16 API yang tidak digunakan oleh Apple di sini.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*