Oleh : Dr. Mohd Uzair Rusli
Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu

Jika sebelum ini kami melaporkan analisa diet biawak yang mendiami kawasan santuari penyu (Ego Manusia Yang Sering Menyalahkan Biawak), kajian kali ni cuba memahami pergerakan mereka pula.

Diketahui bahawa biawak mempunyai kadar metabolisma yang amat tinggi berbanding haiwan yang berdarah sejuk lain, bermaksud mereka perlu makan dengan banyak untuk mendapatkan kalori yang tinggi, maka mereka berpotensi tinggi untuk menjadikan sarang-sarang penyu yang sedang dieram sebagai mangsanya.

Sebanyak 15 ekor biawak air, Varanus salvator, dari kawasan santuari penyu Pantai Chagar Hutang, Pulau Redang, telah berjaya ditangkap dan dipasangkan peranti penjejak yang menggunakan teknologi GPS, namun hanya lima ekor sahaja dapat memberikan data yang bermakna untuk dianalisa.

Kekurangan teknologi GPS ini adalah penyelidik perlu menjejak dan menangkap semula biawak ini untuk memuat turun data yang telah direkodkan. Alternatif teknologi pemasangan peranti satelit pada haiwan ini pula akan menelan belanja besar dan ketepatan data yang kurang kerana litupan hutan tebal dan struktur muka bumi berbukit menghalang pancaran isyarat.

Ringkasnya, analisa pergerakan biawak mendapati setiap biawak mempunyai ruang perayauan tersendiri, biawak besar tidak bergerak jauh berbanding yang kecil (0.015-0.198km persegi). Paling menarik, biawak hanya aktif selepas jam 11:00 pagi, jadi mereka ini mempunyai tidur yang amat panjang kerana tidak aktif langsung di sebelah malam.

Kesimpulannya, mereka yang bangun jam 11 pagi boleh disamakan dengan biawak. Patutlah orang tua-tua selalu cakap ibarat menanggung biawak hidup, bangun lewat dan makan pun orang tanggung.

Beberapa fakta menarik mengenai biawak:

  1. Biawak tidak mempunyai tabiat mengerdipkan mata dan dipercayai mempunyai penglihatan jarak jauh yang amat baik sehingga dipercayai mampu melihat pesawat yang sedang terbang di udara.
  2. Biawak tidak mampu bernafas dan berlari secara serentak kerana otot yang terlibat untuk kedua-dua proses ini adalah sama. Hati-hati jika anda sedang mengejar biawak, anda mungkin akan berpatah balik ketakutan jika biawak tersebut berhenti secara tiba-tiba untuk bernafas.
  3. Biawak mempunyai daya ingatan yang amat baik. Jika helah anda untuk menangkap biawak tidak berjaya untuk kali pertama, anda tidak boleh lagi menggunakan helah yang sama kerana mereka boleh mengingati anda dan helah anda.
  4. Seekor biawak jantan mampu untuk duduk pegun di satu tempat sehingga lebih dua bulan jika tidak mempunyai sumber makanan yang mencukupi untuk bergerak aktif. Hati-hati jika anda terlihat kelibat biawak yang tidak bergerak berhari-hari kerana mereka mungkin masih hidup dan mampu memberi ancaman.

Hubungi penulis di uzair@umt.edu.my untuk mendapatkan artikel penuh kajian ini yang diterbitkan di Zoological Science: Spatial Ecology of Asian Water Monitors Adjacent to a Sea Turtle Nesting Beach. Anda juga boleh menonton dokumentari RTM Simfoni Alam, penerbit Izwan Mohd Mokhtar melalui link: https://youtu.be/YkK5YI-ncis

Penyelidik Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu, Jayaganesh Mariappan sedang mengangkat biawak jantan dewasa seberat kira-kira 13kg sebaik sahaja selesai proses pengukuran saiz dan berat. Kredit foto: Mohd Uzair Rusli.
Biawak yang telah siap dipasangkan peranti penjejak di bahagian pangkal ekornya bagi mengelakkan risiko tertanggal yang tinggi jika dipasang di kepala kerana sifatnya yang gemar menggali dan bersembunyi di dalam lubang celahan batu. Kredit foto: Mohd Firdaus Shabbir Ahmad, RTM Simfoni Alam.
Biawak yang berjaya dikesan dengan menggunakan isyarat radio menjadikan pokok sebagai tempat berehat di sebelah malam. Foto kredit: Mohd Firdaus Shabbir Ahmad, RTM Simfoni Alam.

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.